Ahad, 17 Jun 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Malas nak layan gosip

Posted: 16 Jun 2012 01:31 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Perkara lepas biarkan berlalu. Saya tak mahu ia mengganggu kerjaya saya yang baru saja bermula. Saya tak nafikan mengenali gadis terbabit, tapi saya bukan playboy.

"Buat masa ini, saya tak mahu layan apa-apa gosip atau kontroversi membabitkan nama saya. Orang boleh kata apa saja, tapi saya tahu kebenarannya," kata bintang muda bola sepak negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 17, mengenai penyebaran beberapa gambar gadis di Internet yang didakwa teman wanitanya.

Carian dan semakan Metro Ahad mendapati sekurang-kurangnya dua gadis dikaitkan dengan pemain itu yang baru saja menandatangani kontrak lumayan dengan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar, baru-baru ini.

Kebanyakan gambar itu membabitkan aksi mesra Nazmi bersama seorang gadis yang dikatakan kekasih barunya dikenali sebagai Tengku F.


Tidak cukup dengan itu, beberapa gambar wanita lain turut dikaitkan dengannya, termasuk seorang dikenali sebagai N, sehingga membuatkan Nazmi digelar 'playboy' di kalangan pengkritiknya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Tragedi hari lahir

Posted: 16 Jun 2012 01:28 PM PDT

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, Muhammad Faris Faizal Noor Hissham dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya, Saufi Abd Wahab, 42, yang juga anggota polis selepas selesai majlis kenduri kahwin ibu saudaranya, Syakirah Rifa'in, 25, sehingga tertembak kepalanya.


Difahamkan, peluru daripada pistol itu menembusi kepalanya dan terkena dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.

Murid tahun satu, Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung, Pasir Mas itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh, manakala Helmi yang juga kerani dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).


Jenazah Muhammad Faris yang juga anak sulung daripada dua beradik dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang semalam.


Ibu Muhammad Faris, Fadhilah Rifa'in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya dan pada masa sama sempat menyambut hari lahir anaknya dengan majlis kecil-kecilan.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di luar rumah mengemas meja dan kerusi sementara menanti pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan adiknya.


"Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Sebaik masuk ke rumah, saya lihat anak saya terkulai di di atas lantai.

"Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada," katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II, semalam.


Menurutnya, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.


Katanya, masih terngiang-ngiang keletah anaknya apabila secara tiba-tiba bersolat sambil menjadi imam kepada adik lelakinya berusia lima tahun untuk tempoh tujuh hari berturut-turut, seminggu sebelum kejadian.


"Sambil bersolat, anak saya meletakkan buku panduan solat di depannya sambil membaca beberapa bacaan solat di dalam buku itu.


"Masih terngiang-ngiang juga betapa arwah anak yang baik apabila membentang 'selimut toto' setiap kali hendak tidur dan menyediakan pinggan untuk meletakkan makanan setiap kali pulang daripada pasar malam," katanya sebak.


Fadhilah yang juga guru Yayasan Islam Kelantan dan mengajar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah di Pasir Mas berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya turut mengungkapkan ayat yang membuatkan dia terharu.


"Anak saya menyebut 'kalau umi ada masalah, umi bagitahulah'.


"Betapa terharunya saya apabila anak sekecil itu mampu mengungkapkan ayat sedemikian kepada ibunya," katanya.


Menurutnya, anaknya bijak kerana ketika berusia lima tahun sudah pandai membaca akhbar.


"Pelajarannya juga cemerlang sehingga guru dan guru besar bertanya apa rahsia saya memiliki anak sebijak itu. Apapun, saya reda dengan pemergiannya," katanya.


Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam dan dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan diam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan