Rabu, 20 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bersatu jaga aset negara: PM

Posted: 20 Jun 2012 02:30 PM PDT

Nasional

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan ahli-ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM Ke-66 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan ahli-ahli Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM Ke-66 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Kestabilan politik tingkat keyakinan pelabur dalam pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: Kekayaan dan aset negara yang dikumpulkan selama ini akan terhakis jika semua pihak enggan bekerjasama untuk menjaga kestabilan dan kepastian politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tanpa kestabilan politik, negara akan berhadapan ancaman terutama terhadap kekayaan dan aset yang selama ini memberi manfaat kepada semua.

Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik. - Datuk Seri Najib Razak

Sehubungan itu, usaha perlu diperhebatkan untuk mengubah senario perniagaan dan keyakinan terhadap pasaran negara supaya dapat bertahan dan mengharungi suasana ekonomi global yang tidak menentu.

"Kita sudah bekerja keras mengumpul aset dan kekayaan tetapi ia boleh merosot jika tidak bekerjasama untuk memastikan kestabilan dan ketidakpastian politik," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-66 Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng Heng Jem; timbalannya, Datuk Lim Kok Cheong dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Ter Leong Yap.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, kestabilan dan kepastian politik tetap menjadi faktor utama bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam perniagaan dan pasaran domestik.
Katanya, krisis ekonomi Barat hingga mengakibatkan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah serta ketidakstabilan dan ketidakpastian politik yang memberi impak kepada Afrika Utara, harus dijadikan iktibar.

"Sebarang unsur ketidakstabilan atau ketidakpastian boleh membawa risiko perniagaan yang lebih besar, mengurangkan pelaburan langsung asing dan menjatuhkan nilai saham jatuh.

"Malah, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mengukuhkan daya saing produk dan perkhidmatan, selain meraih peluang baru di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport," katanya.

Najib juga meletakkan sektor swasta pada kedudukan penting untuk memastikan daya tahan negara diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran dan perubahan dalam ekonomi global.

Katanya, penyertaan mereka penting bukan saja bagi membolehkan Malaysia meneruskan transformasi, malah memastikan perubahan sebenar dilaksanakan.

Sementara itu, Heng Jem yang menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas sembilan tahun menerajui ACCCIM, mahu kerajaan memastikan kadar gaji minimum yang munasabah dan tidak membebankan majikan hingga mengakibatkan syarikat ditutup.

Katanya, kajian lebih menyeluruh perlu, selain melaksanakan keputusan itu secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada kerajaan serta sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau juga berkata, peningkatan kos pengeluaran diberi perhatian serius di dalam kalangan pelabur asing yang berminat dengan Program Transformasi Ekonomi yang dirangka kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad perlu memikirkan langkah terbaik mengurangkan kos menjana tenaga elektrik, selain harga gas untuk menyokong industri tempatan.

Beliau juga berpendapat, peruntukan sebanyak RM20 bilion untuk makanan dapat dikurangkan jika kerajaan meningkatkan penggunaan tanah untuk pertanian dan penternakan kerana setakat ini hanya 2.8 juta hektar tanah digunakan daripada 6.7 juta hektar untuk tujuan itu.


Kita bina kolej kesihatan di Baitulmaqdis

Posted: 20 Jun 2012 02:26 PM PDT

Nasional

NAJIB menerima cenderahati daripada Dr Moh’d Akram (lima dari kiri) ketika menerima lawatan Ahli Majlis Institut Antarabangsa Al Quds di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

NAJIB menerima cenderahati daripada Dr Moh'd Akram (lima dari kiri) ketika menerima lawatan Ahli Majlis Institut Antarabangsa Al Quds di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju menaja pembinaan Kolej Sains Kesihatan bernilai AS$5 juta (RM16 juta) di Institut Antarabangsa Al-Quds, Baitulmaqdis.

Komitmen itu dimaklumkan Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan dengan delegasi Ahli Majlis Institut Antarabangsa Al-Quds, di pejabatnya di bangunan Parlimen, semalam.

Kunjungan delegasi 10 anggota menemui Perdana Menteri itu berlangsung hampir sejam yang turut dihadiri Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia, Nasharudin Mat Isa.

Kami menghadapi kekurangan kelas dan sekolah di Baitulmaqdis. Ini semua perkongsian dan sumbangan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan kepemimpinan tertinggi Kabinet Malaysia kepada rakyat Palestin... terima kasih banyak-banyak kepada anda semua. - Dr Moh'd Akram Al-Adlouni, Ahli Lembaga Pengarah Institut Antarabangsa Al-Quds dan Ketua Jawatankuasa Hubungan Luar Palestin/Lubnan

"Pembiayaan itu adalah pencapaian utama delegasi berkenaan yang dijangka menamatkan lawatan Malaysia, semalam. Insya-Allah, kami akan menguruskan untuk dekan kolej itu datang dan menerima cek itu, tidak lama lagi.

"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri atas waktu berharga bersama beliau dalam pertemuan yang amat berhasil ini," katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Antarabangsa Al-Quds dan Ketua Jawatankuasa Hubungan Luar Palestin/Lubnan, Dr Moh'd Akram Al-Adlouni yang mengetuai delegasi itu pula berkata, mereka turut berbincang panjang dengan Najib mengenai keadaan rakyat di Palestin, terutama Baitulmaqdis.

Beliau berkata, Perdana Menteri amat memahami hati nurani dan prihatin penderitaan mereka, malah berjanji berkongsi dengan Kabinet dan rakyat Malaysia, terutama ahli perniagaan, supaya menyokong pembinaan sekolah di Baitulmaqdis.
"Kami menghadapi kekurangan kelas dan sekolah di Baitulmaqdis. Ini semua perkongsian dan sumbangan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan kepemimpinan tertinggi Kabinet Malaysia kepada rakyat Palestin... terima kasih banyak-banyak kepada anda semua," katanya.

Terdahulu, delegasi itu mengunjungi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan