Sabtu, 16 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


RM235j bina loji rawatan air

Posted: 16 Jun 2012 03:02 PM PDT

Nasional

NAJIB bersalaman dengan peminat cilik sambil diperhatikan Rosmah ketika tiba untuk merasmikan Pusat Kraftangan Sabah  di Keningau, semalam.

NAJIB bersalaman dengan peminat cilik sambil diperhatikan Rosmah ketika tiba untuk merasmikan Pusat Kraftangan Sabah di Keningau, semalam.

Langkah jangka panjang atasi masalah 200,593 penduduk Keningau

KENINGAU: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM235 juta untuk membina sebuah loji rawatan air baru di daerah ini sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah bekalan air dihadapi penduduknya ketika ini, yang memberi manfaat kepada kira-kira 200,593 orang.

Datuk Seri Najib Razak berkata, projek loji baru itu antara lain membabitkan kerja pembinaan lima tangki simpanan air dan pemasangan paip air mentah sepanjang empat kilometer serta paip transmisi sepanjang 42.8 kilometer.

Projek ini dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa 35 bulan untuk disiapkan. Apabila siap nanti, ia akan memberi faedah kepada kira-kira 200,593 orang, termasuk pengguna baru menjelang 2030. - Datuk Seri Najib Razak

Kata Perdana Menteri, proses reka bentuk projek itu sudah disiapkan dan kini dalam proses penyediaan dokumen tender.

"Projek ini dijangka dimulakan dalam masa terdekat dan mengambil masa 35 bulan untuk disiapkan. Apabila siap nanti, ia akan memberi faedah kepada kira-kira 200,593 orang, termasuk pengguna baru menjelang 2030," katanya ketika merasmikan Pusat Kraftangan Sabah di sini, semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri sabah, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal serta Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Mengenai Pusat Kraftangan Sabah, Najib berkata, pembinaannya satu contoh bagaimana rakyat Sabah terus mendapat manfaat hasil kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Pusat.
Beliau berkata, rakyat Sabah memang layak memiliki kemudahan itu sejajar kekayaan kreativiti, kesenian dan bakat rakyat negeri ini yang berpotensi dibangunkan hingga ke peringkat lebih tinggi.

"Potensi negeri ini amat besar. Sebab itu, kita mempunyai agenda besar untuk Sabah, kita mempunyai perancangan yang jitu dan jelas," katanya.

Menerusi proses transformasi, katanya, ia turut disasar membawa keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar serta menegakkan keadilan sosial dalam negara, termasuk memastikan rakyat di pedalaman menikmati pendapatan dan kemudahan asas yang lebih baik.

Di SOOK, Najib melancarkan Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) yang dibangunkan di tanah seluas 834 hektar di daerah ini, membabitkan pelaburan bernilai RM763 juta.

Sementara itu, Najib bagi pihak Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada Kerajaan Arab Saudi dan Raja Abdullah berikutan kemangkatan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Nayef Abdul Aziz Al Saud.

Najib berkata, Putera Mahkota adalah antara pemimpin yang prihatin dalam usaha mengekalkan hubungan antara Kuala Lumpur dan Riyadh.

"Saya masih ingat layanan istimewa diberikan kepada saya ketika mengerjakan ibadat haji musim lalu.

"Pemergiannya sebagai satu kehilangan besar dalam konteks hubungan Malaysia dan Arab Saudi)," katanya.


Kementerian serah kepada polis siasat kes serang sekolah

Posted: 16 Jun 2012 02:56 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat serta mengambil tindakan lanjut terhadap kejadian sekumpulan 10 pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, dicederakan sekumpulan 30 remaja.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau mendapat tahu mengenai insiden itu menerusi akhbar dan masih belum menerima maklumat daripada Jabatan Pelajaran Selangor.

Katanya, berikutan insiden berlaku di luar kawasan sekolah, siasatan terhadap kes itu secara automatik berada di bawah tanggungjawab polis. "Kementerian tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana ia tidak berlaku dalam kawasan sekolah.

"Bagi kementerian, langkah seterusnya hanya boleh memberi penerangan kepada pelajar sekolah mengenai apa yang perlu dilakukan apabila berdepan situasi begini.

"Maksudnya apabila pelajar diserang 'orang luar', apakah yang perlu mereka lakukan iaitu sama ada terus berada berada di luar kawasan sekolah ketika diserang atau cepat masuk ke perkarangan sekolah sebagai langkah keselamatan," katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya tindakan boleh diambil kementerian terhadap penyerang antaranya dipercayai bekas pelajar sekolah itu, katanya tindakan disiplin membuang mereka sudah menggugurkan mereka dari status sebagai pelajar.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Cheras Perdana, Chin Choong Fuan menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu kes terpencil.

Katanya, insiden itu mungkin dicetuskan segelintir pelajar bermasalah yang kemudian mengheret pembabitan orang luar.

"Kita amat mengambil berat perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan guru, namun kita percaya pihak sekolah sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan perkara ini tidak berulang pada masa depan.

"Buat masa ini, pihak PIBG masih belum tahu apakah punca sebenar pergaduhan itu. Justeru, kita serahkan pada polis untuk menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan pihak sekolah berhubung insiden terbaru itu bagi mencari jalan penyelesaian bersama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan