Isnin, 18 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Hala tuju pendidikan makin jelas

Posted: 18 Jun 2012 02:54 PM PDT

Nasional

Profesionalisme, kebajikan, kemahiran guru agenda paling popular DNPN

KUALA LUMPUR: Profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran guru menjadi topik paling popular dalam siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dan perbincangan meja bulat yang diadakan di seluruh negara setakat ini.

Kira-kira 27 peratus responden terbabit dalam lapan siri DNPN dan tujuh perbincangan meja bulat sejak April lalu, menyentuh aspek itu, manakala 14 peratus lagi mengenai aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan.

Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Topik popular lain ialah kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus), kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), kemahiran bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan dapatan awal DNPN itu, Kementerian Pelajaran mendapati profesionalisme perguruan, aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan dan kemenjadian murid perlu diberi perhatian utama dalam transformasi pendidikan negara.

Seramai 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan, termasuk wakil agama menyertai DNPN setakat ini.

"Masih ada lima siri dialog sehingga pertengahan bulan depan. Saya harap mereka memanfaatkan peluang itu untuk memberi input dan pandangan," katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, semalam.
Selain DNPN, Muhyiddin berkata, tujuh perbincangan meja bulat sudah diadakan mengikut kumpulan seperti penggerak masyarakat, ahli akademik, tokoh dan pemimpin masyarakat, termasuk kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, kebanyakan isu dibangkitkan pada meja bulat itu menyentuh persoalan hampir sama dalam siri DNPN, termasuk kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, pembabitan ibu bapa dan pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Lapan lagi sesi perbincangan akan diadakan sebelum pertengahan bulan depan.

Di samping itu, pertubuhan, persatuan, kesatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi serta cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara.

"Rangka tindakan pendidikan itu kemudian akan dibentangkan semula kepada rakyat untuk mendapat maklum balas akhir. Rangka yang sudah dimurnikan akan dibentang kepada Kabinet untuk dilulus dan dilaksanakan.

"Apabila selesai pembinaan hala tuju pendidikan yang baru, kementerian akan menyediakan pula pelan tindakan bersesuaian untuk menterjemahkan hasrat hala tuju pendidikan itu dalam bentuk inisiatif baru," katanya.


Cadang majikan anjur latihan prapersaraan

Posted: 18 Jun 2012 02:51 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan dan organisasi swasta disaran menyediakan latihan prapersaraan kepada pekerjanya bagi memastikan sumber manusia digu-nakan secara optimum.

Sejajar peningkatan umur persaraan swasta dari 55 tahun kepada 60 tahun, menjadi keperluan bagi kelompok terbabit dilatih untuk mengekalkan produktiviti, memaksimumkan kepakaran dan pengalaman pekerja serta menetapkan matlamat kehidupan selepas tempoh bersara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Dr Maznah Hamid, berkata latihan sebelum persaraan diamalkan di kebanyakan negara maju. Pekerja dilatih dalam lima tahun sebelum bersara.

Pekerja yang menghampiri umur persaraan, misalnya 55 tahun, boleh dilatih menjadi mentor atau jurulatih kepada tenaga kerja muda. Ia boleh dilakukan dalam sektor kerajaan dan swasta. - Dr Maznah Hamid, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce

Katanya, dalam tempoh itu, majikan akan mengenal pasti pekerja yang produktif dan sebaliknya untuk dilatih ke tahap optimum.

"Latihan ini penting supaya pekerja berasa relevan, diperlukan dan pintar.
"Pekerja yang menghampiri umur persaraan, misalnya 55 tahun, boleh dilatih menjadi mentor atau jurulatih kepada tenaga kerja muda. Ia boleh dilakukan dalam sektor kerajaan dan swasta.

"Pekerja ini mempunyai pengalaman, kematangan dan kepakaran yang boleh diturunkan kepada tenaga kerja muda, sekali gus akan memberi nilai tambah kepada individu terbabit," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Maznah yang juga Pengerusi Biro Keusahawanan Wanita UMNO berkata, ketika ini latihan prapersaraan hanya dilaksanakan dalam perkhidmatan tentera dengan anggota yang bersara awal diberi latihan keusahawanan untuk menjalani kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

Katanya, berbeza dengan tentera, latihan bagi pekerja swasta dan kakitangan awam menumpukan terhadap usaha memaksimumkan keupayaan individu yang dilatih.

"Kebanyakan pekerja, khususnya kakitangan awam bersara sebelum tempoh persaraan sebenar.

"Ini satu kerugian kerana mereka adalah sumber manusia berharga yang mempunyai pengalaman, kematangan dan kemahiran yang boleh digunakan," katanya.
Maznah mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dan kementerian berkaitan melihat keperluan mengadakan latihan prapersaraan dalam kalangan kakitangan awam.

Katanya, inti pati penting kepada latihan prapersaraan itu adalah melihat kepada kemampuan organisasi terbabit dan mengambil kira minat dan kecenderungan pekerja yang bakal bersara itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan