Selasa, 26 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Murid ponteng sekolah ditemui mati lemas

Posted:

Murid ponteng sekolah ditemui mati lemas

26/06/2012 7:51pm

KUANTAN – Seorang murid tahun tiga yang ponteng sekolah dan mandi di sebatang sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya, ditemui mati lemas.

Muhammad Nur Norshahrin, 10, murid Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, mandi bersama abangnya yang berusia 15 tahun dan seorang rakan abangnya yang juga berumur 15 tahun, di sungai Sai, dekat Padang Tengku, Kuala Lipis, tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan ketika dihubungi berkata, abang mangsa yang turut ponteng sekolah dan mandi bersama adiknya cuba menyelamatkannya tetapi gagal.

"Selepas gagal menyelamatkan adiknya, abang mangsa berlari pulang ke rumah meminta bantuan penduduk kampung," katanya.

Mayat Muhammad Nur ditemui kira-kira sejam selepas itu dalam operasi mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung.

"Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Padang Tengku namun disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mayat murid itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya dikebumikan. – BERNAMA

Laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam

Posted:

Laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam

26/06/2012 7:47pm

KUALA LUMPUR – Seorang peguam hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan berkaitan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.

Mohd Khairul Azam Abd Aziz, yang datang berseorangan, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi dan berada di balai itu selama sejam.

Mohd Khairul ketika ditemui pemberita berkata, kenyataan Chee Wee yang ditemui di laman web badan peguam berkenaan disifatkan beliau sebagai satu unsur hasutan yang boleh mengundang kepada kebencian terhadap fatwa oleh mufti atau Jawatankuasa Fatwa Negeri.

"Saya ada bertanyakan tiga perkara kepada Lim mengenai kenyataan beliau iaitu siapa yang memberikan autoriti untuk mengeluarkan kenyataan tersebut, adakah ada sebarang mesyuarat sebelum kenyataan itu dikeluarkan dan adakah terdapat permintaan rasmi untuk mengeluarkan kenyataan itu.

"Saya memberikan Chee Wee masa tujuh hari untuk menjawab namun baru semalam beliau memberi jawapan iaitu kerana kami berbeza pandangan justeru jawapan Chee Wee itu tidak menjawab soalan saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Sebelum ini, Majlis Peguam menyuarakan kekesalan dan kebimbangan terhadap pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 baru-baru ini, yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan menyifatkannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. – BERNAMA

Pengurus syarikat maut dirempuh kereta sendiri

Posted:

Pengurus syarikat maut dirempuh kereta sendiri

26/06/2012 7:41pm

IPOH – Seorang pengurus syarikat pembinaan maut selepas kereta pacuan empat roda yang diparkirnya bergerak sendiri lalu merempuhnya di kawasan pembinaan di Falim di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12.00 tengah malam itu, Chang Wing Khoon, 58, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah akibat dirempuh oleh kenderaan jenis Toyota Hilux milik syarikatnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Ahmad Termizi Abd Haq berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan oleh patah tulang belakang dan pendarahan dalaman.

"Ketika kejadian mangsa tidak menyedari kenderaan itu bergerak sendiri ke arahnya lalu merempuh mangsa sehingga terperosok ke dalam longkang di kawasan pembinaan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan