Rabu, 20 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kualiti udara di Lembah Klang bertambah baik

Posted: 20 Jun 2012 05:15 AM PDT

KUALA LUMPUR: Status kualiti udara di Lembah Klang bertambah baik dengan tiada kawasan direkod memiliki bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini berkata kualiti udara yang direkod dalam tempoh 24 jam lepas menunjukkan 11 kawasan berada di tahap baik, 40 kawasan di tahap sederhana manakala hanya sebuah stesen di Seberang Jaya, Pulau Pinang berada pada tahap tidak sihat (IPU 103).

Menurut kenyataan tersebut, kemerosotan kualiti udara dengan trend peningkatan IPU pula direkodkan di kawasan pantai barat di utara Semenanjung pada 11 pagi hari ini, yang berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Kenyataan itu menyebut perintah larangan pembakaran terbuka di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan Sabtu lepas masih berkuatkuasa.


Orang ramai terus diminta agar tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.


Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. - BERNAMA


Malaysia biaya pembinaan kolej sains kesihatan QII di Baitulmaqdis

Posted: 20 Jun 2012 02:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan membiayai pembinaan sebuah kolej sains kesihatan dengan kos US$5 juta di Institut Antarabangsa Al-Quds (QII) di Baitulmaqdis.

Ketua jawatankuasa Hubungan Luar Palestin/Lubnan QII, Dr Moh'd Akram Al-Adlouni mengumumkan perkara itu selepas satu perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Menyifatkan pembiayaan itu sebagai satu sumbangan luar biasa oleh rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, Dr Moh'd Akram berharap ia akan dilaksanakan segera.

"Kami mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Perdana Menteri, berbincang mengenai keadaan rakyat di Palestin terutama di Baitulmaqdis. Beliau sangat sedar mengenai kebimbangan dan penderitaan di sana.


"Selain itu, Perdana Menteri juga berjanji untuk berkongsi dengan anggota Kabinetnya dan beberapa rakyat Malaysia terutama ahli perniagaan bagi menyokong pembinaan sekolah-sekolah yang berbeza di kawasan Baitulmaqdis kerana kami menghadapi kekurangan kelas-kelas di sekolah-sekolah di Baitulmaqdis," katanya.


Sebelum itu, Dr Moh'd Akram, yang mengetuai delegasi terdiri daripada wakil-wakil QII dan Yayasan Al-Quds Afrika Selatan, mengadakan perjumpaan hampir sejam dengan Najib.

Turut hadir pada perjumpaan itu ialah Pengerusi Yayasan Al-Quds Malaysia Nasharudin Mat Isa.

Pada Isnin, lapan anggota delegasi mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena pelancaran Yayasan Al-Quds Malaysia oleh Muhyiddin di Putrajaya, pada hari yang sama.

Yayasan Al-Quds Malaysia merupakan satu yayasan kebajikan untuk rakyat Palestin dan antara aktivitinya ialah mendidik masyarakat mengenai isu di negara bergolak itu selain membantu rakyat Palestin.

Dr Moh'd Akram berkata mereka juga berbincang mengenai isu pembiayaan dan Perdana Menteri berjanji beliau akan membincangkannya dengan anggota Kabinetnya terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk mengkaji projek itu.

Sementara itu, Nasharudin, bagi pihak QII yang berpangkalan di Beirut dan Yayasan Al-Quds Malaysia, berterima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen kerajaan dalam membiayai pembinaan kolej sains kesihatan.

Beliau berkata mereka akan mengatur supaya Dekan kolej itu untuk datang dan menerima cek itu secepat mungkin.

Sebelum itu, delegasi itu juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabatnya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan