Isnin, 25 Jun 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Kes culik peniaga pasir selesai, lima lagi ditahan

Posted:

Kes culik peniaga pasir selesai, lima lagi ditahan

25/06/2012 7:01pm

SHAH ALAM – Kes penculikan membabitkan seorang peniaga pasir serta pekerjanya di Ijok, Kuala Selangor dekat sini pada 11 Jun lepas, dianggap selesai dengan tertangkapnya lima lagi suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, kelima-lima lelaki berumur 31 dan 45 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Tangkapan terakhir adalah pada Rabu lepas di Labu, Negeri Sembilan dan kita percaya dengan penahanan lima lagi suspek ini, membantu mempercepat penyelesaian ke atas kes penculikan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

"Saya jangka dalam tempoh terdekat, siasatan kes ini akan ditutup (berjaya diselesaikan) dan kita akan dapat mengetahui motif sebenar kes dan dalang di sebalik kejadian ini," kata Mohd Adnan.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, peniaga pasir dan pekerjanya diculik berhampiran kilang pasir milik peniaga itu.

Kumpulan penculik kemudian meminta wang tunai berjumlah RM2 juta daripada anggota keluarga peniaga terbabit sebagai wang tebusan bagi membebaskan kedua-dua lelaki berkenaan. – BERNAMA

3 lelaki larikan RM93,000 wang stesen minyak

Posted:

3 lelaki larikan RM93,000 wang stesen minyak

25/06/2012 6:57pm

IPOH – Tiga lelaki bersenjata mengambil masa dua minit melarikan wang tunai berjumlah RM93,000 daripada tiga pekerja sebuah stesen minyak di Manjung, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, DSP Ahmad Mat Isa berkata, dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, tiga pekerja stesen minyak itu menaiki sebuah kereta dan dalam perjalanan ke sebuah bank untuk menyimpan wang hasil kutipan stesen minyak berkenaan.

"Ketika berhenti di simpang empat lampu isyarat di bandar Manjung, sebuah kereta yang mengekori mereka berhenti dan tiga lelaki masing-masing bersenjata kapak, parang dan batang besi memecahkan cermin hadapan kereta yang dinaiki mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad berkata, seorang daripada suspek merampas dan melarikan beg berisi wang tunai yang dipegang salah seorang mangsa yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta itu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa, dua daripadanya wanita masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an hanya cedera ringan akibat terkena serpihan cermin kereta dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Polis sedang memburu kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu, katanya. – BERNAMA

Wanita dipercayai ”bookie” Euro 2012 ditahan

Posted:

Wanita dipercayai "bookie" Euro 2012 ditahan

25/06/2012 6:53pm

PORT DICKSON – Polis menahan seorang wanita dipercayai "bookie" perlawanan bola sepak Euro 2012 ketika sedang melakukan urusan perjudian haram di rumahnya di Bukit Pelandok, dekat sini, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, ketika ditahan pada kira-kira pukul 10.15 malam, wanita berumur 29 tahun itu dikatakan sedang asyik menerima tempahan membabitkan perlawanan England menentang Itali yang berlangsung awal pagi ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,000, satu unit komputer riba, satu unit jalur lebar, dua telefon bimbit, kertas putih mengandungi catatan pertaruhan dan alat tulis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan