Selasa, 19 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Mahkamah putuskan Nallakaruppan bertanggungjawab buat kenyataan berunsur fitnah terhadap Anwar

Posted: 19 Jun 2012 03:37 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Presiden Parti India Malaysia (MUIP) Datuk S.Nallakaruppan bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan pembelaan Nallakaruppan.

Peguam Latheefa Koya, yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita Hakim Su turut memerintahkan Nallakaruppan, seorang senator, membayar ganti rugi dan kos kepada ketua pembangkang itu, yang akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar. Latheefa berkata Anwar membuat permohonan itu kerana Nallakaruppan gagal memberi butiran terperinci berhubung dakwaannya terhadap ketua pembangkang berkenaan.

Beliau juga berkata peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Nallakaruppan, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan mengemukakan rayuan, dan Hakim Su memerintahkan peguam itu memfailkan permohonan rasmi bagi menggantung keputusan itu.

Pada 25 Ogos 2008, Anwar memfailkan saman berhubung kenyataan Nallakaruppan yang didakwa berunsur fitnah dalam artikel bertajuk 'Anwar terima RM60 juta', yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian.

Dalam pembelaannya, Nallakaruppan berkata beliau tidak berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan itu dan berada di bawah perlindungan bersyarat. - BERNAMA


4 peneroka dapat kebenaran cabar status Mohd Isa

Posted: 19 Jun 2012 03:35 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Empat peneroka Felda Jengka di Pahang hari ini mendapat kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan mengekalkan keanggotaan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF).

Hakim Mahkamah Tinggi, Abang Iskandar Abang Hashim membenarkan permohonan empat peneroka itu selepas mendengar hujahan peguam kedua-dua pihak.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin mewakili pemohon Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Noor Atan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden iaitu Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SKM, dan KPF. Mohamed Hanipa memberitahu wartawan bahawa Hakim Abang Iskandar berpendapat permohonan oleh empat peneroka itu mempunyai merit untuk didengar dan dan ianya bukan satu kes yang remeh.

Beliau berkata mahkamah juga membenarkan permohonan pemohon untuk mendapatkan perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF di bawah Seksyen 36(1)(b) Undang-Undang Kecil KPF, bagi tujuan pengesahan mesyuarat agung perwakilan KPF yang akan diadakan pada 20 Jun ini dan juga sehingga keputusan penuh semakan kehakiman.

Mohamed Hanipa berkata mahkamah juga menolak bantahan awal Pejabat Peguam Negara yang mewakili responden terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Beliau berkata antara alasan yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara itu ialah peneroka Felda bukanlah pihak yang terjejas dengan keputusan responden dan mereka juga tidak ada 'locus standi' untuk menfailkan saman itu dan isu itu bukan melibatkan undang-undang awam.
"Tarikh untuk pendengaran penuh semakan kehakiman belum ditetapkan oleh mahkamah," katanya.

Pada 12 Jun lalu, keempat-empat peneroka itu menfailkan permohonan itu bagi memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama dan kedua iaitu Panel Pertikaian SKM, SKM, bertarikh 23 Mei lepas, yang mengekalkan keanggotaan Mohd Isa adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Mereka juga memohon mahkamah membatalkan keputusan itu dan perintah 'mandamus' supaya KPF membatalkan keanggotaan Mohd Isa dalam KPF.

Mereka juga memohon perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF.

Pemohon mendakwa berdasarkan Peraturan 11(1)(c) yang dibaca bersama Peraturan 2 Undang-Undang Kecil KPF, Mohd Isa tidak layak menganggotai KPF kerana beliau bukan kakitangan yang dilantik secara tetap oleh Felda.

Mereka berkata Mohd Isa adalah pengerusi Felda yang dilantik secara kontrak dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan