Isnin, 18 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


5 pelajar maut serangan bom dalam bas di Pakistan

Posted: 18 Jun 2012 02:39 AM PDT

Mutakhir

QUETTA: Lima pelajar maut manakala lebih 50 lagi cedera apabila bom meletup di dalam sebuah bas di barat daya Pakistan, hari ini.

Serangan bom itu berlaku di Bandar Quetta, ibu negeri Wilayah Baluchistan.

Polis bagaimanapun enggan mengesahkan siapa suspek terbabit dalam serangan bom terbaru di wilayah berkenaan. Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan ke Baluchistan University of Information Technology yang terletak di pinggir bandar Quetta.

Pegawai Polis Wilayah, Mir Zubair Mahmood, berkata lima pelajar terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala mereka yang cedera dibawa ke hospital oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan. - AP


Buruh binaan maut kena tiga das tembakan

Posted: 18 Jun 2012 02:36 AM PDT

Mutakhir

KOTA BHARU: Seorang buruh binaan ditemui mati dipercayai akibat terkena tembakan, di sebuah tapak projek perumahan di Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.

Mayat Mamat Omar, 58, yang berlumuran darah ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan stor pejabat syarikat perumahan itu oleh penyelia tapak projek berkenaan, Azizul Izwan Abdullah, 32, pada jam 11.35 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa yang beralamat di Kampung Simpangan, Tumpat itu, baru dua bulan bekerja di tapak projek berkenaan sebagai tukang kayu. "Terdapat kesan tembakan pada mangsa iaitu di pipi sebelah kanan, leher dan belakang kepala.

"Bagaimanapun, tiada kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian dan dipercayai senjata digunakan adalah daripada jenis Revolver," katanya dalam khidmat SMS kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat ialah pada jam 8 malam ketika berada di dalam biliknya di rumah kongsi berdekatan tempat kejadian.

Azham berkata, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai lima anak itu berasal dari Kampung Chenerong, Thailand tetapi menetap di Malaysia sejak 22 tahun lepas. Anggota keluarganya menetap di Thailand.
"Dia juga tidak tinggal tetap di rumah kongsi itu, sebaliknya sentiasa berulang alik ke rumahnya di Kampung Simpangan, Tumpat," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati saksi yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran tapak projek itu terdengar bunyi letupan sebanyak tiga kali.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan