Jumaat, 15 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Hanya kerajaan berpengalaman mampu jamin masa depan: TPM

Posted: 14 Jun 2012 05:54 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hanya kerajaan yang berpengalaman serta banyak menabur bakti dan jasa kepada negara mampu memberi masa depan yang lebih baik kepada rakyatnya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, berkata sebagai kerajaan yang mempunyai perancangan jelas dan hala tuju, pelbagai inisiatif di bawah program transformasi sudah dilaksanakan BN bagi memastikan masa depan rakyat terjamin.

"Kita beri jaminan, selagi BN mendapat sokongan rakyat, usaha-usaha seperti mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan jumlah pendapatan rakyat akan diteruskan. Inilah jaminan kita, beri sokongan padu pada pilihan raya nanti. "Kerjasama antara rakyat dan kerajaan adalah paksi untuk menjamin masa depan yang lebih baik," katanya pada majlis sepetang bersama rakyat di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong-Kuala Lumpur, di sini.

Program itu adalah sempena lawatan kerja sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, gelombang baru juga telah wujud berikutan keupayaan BN untuk melaksanakan perubahan yang lebih baik.

Katanya, ini dapat dilihat apabila ribuan penduduk PPR Kampung Muhibbah menyambut kedatangan pemimpin BN ke kawasan itu berbanding hanya ratusan sahaja yang hadir apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengunjunginya.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat harus bijak dalam membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang ditimbulkan pembangkang.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1.6 juta untuk pembinaan surau dan dewan serbaguna bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.

Lebih 10,000 orang daripada pelbagai kaum mendiami PPR Kampung Muhibbah sejak 2003. - BERNAMA


Azmi nafi dakwaan PAC cuba tutup kes penting

Posted: 14 Jun 2012 05:43 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid menafikan dakwaan bahawa jawatankuasa itu sengaja tidak mengadakan mesyuarat kerana cuba menutup beberapa isu penting yang melibatkan kepentingan negara.

Azmi berkata pada persidangan Dewan Rakyat April lalu, beliau telah memaklumkan kepada kesemua anggota PAC untuk mengadakan mesyuarat namun tiada maklum balas yang diterima.

"Apabila kita panggil untuk adakan mesyuarat, mereka (anggota PAC) termasuk wakil daripada pembangkang tidak hadir jadi tidak dapatlah diadakan mesyuarat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw dan beberapa Anggota Parlimen pembangkang berhubung kegagalan PAC mengadakan mesyuarat sejak tiga bulan lepas bagi membincangkan kes berkaitan.

Empat kes itu ialah perbelanjaan Pusat Fidlot Nasional (NFC), kos pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baharu atau KLIA 2, pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pelupusan hutang bekas Pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli.

Azmi berkata beliau telah mengarahkan sekretariat PAC memanggil kesemua anggota PAC untuk mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan bagi membincangkan isu berkenaan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan