Jumaat, 8 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tertekan pemaju muflis

Posted: 07 Jun 2012 03:14 PM PDT

AMPANG: Ibarat jatuh ditimpa tangga, bekas penduduk setinggan Kampung Perak, di sini, terus tertekan apabila tidak mendapat ganti rugi berikutan pemaju perumahan Pangsapuri Sri Mutiara diisytiharkan muflis pada April lalu.

Peguam mereka, Azwan Jamlus berkata, walaupun pemaju berjanji untuk menyiapkan pangsapuri berkenaan dan menyerahkan kunci rumah pada Februari lalu, tetapi melalui pengisytiharan muflis berkenaan menyebabkan penduduk tidak mendapat ganti rugi.


"Mengikut undang-undang, biasanya badan kewangan seperti bank diutamakan terlebih dulu untuk mendapat ganti rugi berbanding penduduk," katanya.

Bulan lalu, lebih 100 penduduk terdiri daripada ibu tunggal dan golongan miskin terpaksa berpindah ke bangunan berkenaan walaupun belum siap sepenuhnya.


Ini kerana pemaju yang bertanggungjawab membayar sewa di rumah transit gagal melakukannya menyebabkan sebahagian besar penduduk dihalau penyewa selepas mempunyai tunggakan sewa sehingga ribuan ringgit. Lebih menyedihkan apabila beberapa keluarga termasuk golongan tua yang sakit dan kanak-kanak berkongsi satu dewan untuk dijadikan tempat tinggal sejak lebih sebulan lalu, manakala sebahagian pula tinggal di ruang yang dibina untuk kedai.


Malah, penduduk juga terpaksa mengambil risiko keselamatan dengan tinggal di bangunan terbabit dan dijangka lebih 100 keluarga berpindah ke sini sehingga hujung bulan ini.

Pengerusi persatuan penduduknya, Mohd Shah Akbarsha, 40, berkata, kesukaran hidup penduduk yang terpaksa menanggung bayaran pinjaman bank, ketiadaan rumah dan masalah kewangan bertambah apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meminta mereka menjelaskan cukai pintu lebih RM4,000 untuk pangsapuri berkenaan.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, berlaku sedikit kesilapan berhubung cukai taksiran yang diterima penduduk.

"Selepas melakukan pemeriksaan, MPAJ belum mengeluarkan sijil layak menduduki sama ada secara tetap atau sementara kepada pemaju yang membolehkan cukai dikenakan," katanya.




Guru hilang ditemui di ladang

Posted: 07 Jun 2012 03:07 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.

Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.


"Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.


"Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma," katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan