Jumaat, 8 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


50,000 orang sambut PM di Kulim sempena program JJD

Posted: 08 Jun 2012 02:00 AM PDT

Mutakhir

KULIM: Padang Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), di sini dibanjiri kira-kira 50,000 hadirin dari seluruh daerah negeri ini dan Pulau Pinang bagi meraikan program Jelajah Janji Ditepati Peringkat Kedah anjuran Media Prima Bhd (Media Prima).

Selain menyaksikan pelbagai bahan pameran, mereka yang hadir seawal jam 8 pagi turut berpeluang mendengar amanat disampaikan Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan program berkenaan pada jam 4 petang.

Meskipun terpaksa bergelut dengan keadaan padang agak becak, mereka tidak mahu melepaskan peluang menimba pelbagai ilmu disediakan di ruang pameran pelbagai jabatan kerajaan, syarikat swasta dan Media Prima sendiri. Walaupun terpaksa berjalan kira-kira satu kilometer dari tempat meletak kenderaan, pengunjung tidak menjadikannya halangan semata-mata untuk merebut peluang menemui Perdana Menteri, selain mendengar sendiri penjelasan beliau mengenai pelbagai program transformasi kerajaan.

Sebanyak 25 kementerian dan tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil bahagian dalam program sehari berkenaan, iaitu yang ketiga diadakan selepas di Batu Pahat dan Kuching sebelum ini.

Acara kemuncak program itu adalah minum petang Perdana Menteri bersama rakyat.


Petronas jangka harga minyak turun

Posted: 08 Jun 2012 01:53 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjangka harga minyak mencatatkan penurunan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutifnya (perniagaan hiliran), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

"Kami tidak begitu yakin bagi suku-suku akan datang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan China serta India juga mula menunjukkan pertumbuhan lemah," katanya kepada pemberita di pelancaran penyelesaian teknologi minyak dan gas baharunya di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu diadakan di hari terakhir Persidangan Gas Sedunia ke-25. Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata Petronas berupaya menampung bekalan minyak bagi loji penapisnya susulan sekatan ke atas Iran bermula lewat bulan ini.

"Kami mempunyai sumber kami. Selagi kami boleh mendapatkan jenis minyak yang betul dan berkualiti bagi loji penapis kami, kami masih boleh bertahan," katanya.

Beliau berkata, margin penapis akan berada di bawah tekanan tetapi Petronas akan memastikan pengurusan kos operasi yang lebih baik.

"Margin penapisan akan berdepan dengan banyak cabaran, tetapi selagi kami mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pesaing kami, itulah yang kami sasarkan," katanya.
Petronas memperkenalkan lima penyelesaian teknologi dan teknikal baharu berkaitan industri yang akan mengoptimumkan nilai pengeluaran hidrokarbon dan meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti dan keselamatan dalam persekitaran operasi minyak dan gas.

Lima penyelesaian itu adalah dalam bahagian penghapusan pencemar, sistem pembaikan saluran paip, pengesanan gas merbahaya dan kebakaran, sistem penyeliaan meter tepat masa dalam talian dan sistem pengasingan cecair dan gas bersepadu.

Penyelesaian terbabit, Branded HycaPure Hg, Pipeassure, FnGmap, Smartcen dan Sep -- iSys, dibangunkan oleh Petronas dengan rakan kongsi teknologi strategiknya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan