Khamis, 7 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


50 rumah hangus

Posted: 06 Jun 2012 02:57 PM PDT

KUALA LUMPUR: Lebih 50 rumah di Kampung Segambut Bahagia, di sini, dan kawasan setinggan berhampiran musnah dalam kebakaran tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, 20 rumah membabitkan penduduk kampung dan 30 rumah lagi dari kawasan setinggan berhampiran hangus.


Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, M Letchumanan berkata, pihaknya menerima maklumat panggilan kecemasan pada jam 12.37 tengah hari dan menghantar sembilan jentera dengan 90 anggota serta pegawai ke tempat kejadian. "Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air berikutan kawasan itu tidak mempunyai pili bomba.

"Sumber air dari parit kecil berhampiran pula menyukarkan keadaan kerana air cetek hingga menyebabkan pam jentera sukar menyedut air," katanya.


Menurutnya, api dipercayai bermula dari bahagian tengah kawasan setinggan terbabit sebelum merebak ke kampung berhampiran.


Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 1.15 tengah hari," katanya.


Sementara itu, mangsa, S Mariayiee, 45, berkata, ketika kejadian, dia berada di tempat kerja dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan kebakaran itu oleh anak sulungnya.

"Walaupun rumah saya hangus, tetapi saya bersyukur kerana semua empat anak selamat," katanya.


Mangsa lain, Husmiati Ali, 38, berkata, dia dan keluarga sudah 19 tahun menetap di kawasan setinggan terbabit dan tidak menyangka dia kini tinggal sehelai sepinggang.


"Semua hasil pekerjaan saya termasuk barang kemas bernilai lebih RM5,000 musnah dalam kebakaran itu berikutan tiada sesiapa berada di rumah ketika kejadian," katanya Berikutan itu, semua mangsa dipindahkan sementara ke Dewan Sri Delima di Jalan Kepong, di sini.




Sorok-sorok jual pil cegah hamil

Posted: 06 Jun 2012 02:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pil pencegah hamil yang didakwa popular di kalangan amah Indonesia di sini didapati dijual secara sembunyi oleh beberapa peniaga ubat tradisional sekitar bandar raya ini.

Biarpun ramai peniaga tidak mengaku menjual ubat haram berkenaan di premis mereka, namun tembelang yang cuba disorok pecah apabila ada segelintir pembantu kedai yang terlepas cakap.


Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan tumpuan sekitar Chow Kit semalam mendapati, ramai yang cuba berbohong dengan mengatakan mereka tidak menjual pil berkenaan, sedangkan ada pihak memaklumkan sebaliknya.

Malah pertanyaan wartawan dijawab dengan nada kurang senang berikutan disangka anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan yang menyamar.


Selepas setengah jam berlegar di Jalan Chow Kit, seorang pembantu kedai dikenali sebagai Siti memberitahu pil berkenaan boleh dibeli di kebanyakan premis menjual ubat tradisional di kawasan terbabit.


Menurutnya, pil berkenaan bukan saja menjadi tumpuan wanita Indonesia, malah turut dibeli orang tempatan kerana didakwa berkesan untuk merancang keluarga.

"Ada pekedai yang menjual pil berkenaan dan biasanya mereka mudah berurusan dengan pembeli terutama pelanggan tetap," katanya.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman berkata, pihaknya tidak menerima aduan berhubung penggunaan pil berkenaan.

"Kami percaya orang ramai yang menggunakan pil ini masih tidak mengetahui ia diseludup dari negara jiran dan boleh memberi pelbagai kesan sampingan dalam jangka panjang," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan