Khamis, 7 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan tidak pernah abai tanggungjawab kepada rakyat: TPM

Posted: 07 Jun 2012 03:07 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk memastikan ekonomi negara sentiasa berkembang pesat serta mampu menyediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada rakyat bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, Malaysia beruntung kerana pucuk pimpinan negara tidak pernah mengetepikan kepentingan untuk menyediakan peluang-peluang ekonomi kepada rakyat, khususnya golongan muda, bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjamin.

"Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kini, banyak negara termasuk Amerika Syarikat dan Eropah berhadapan dengan masalah kewangan yang amat dahsyat, menjadi bankrap dan pertumbuhan ekonomi mereka begitu lembap, selain tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh rakyat. "Dalam situasi ini Malaysia beruntung kerana kerajaan sentiasa bertanggungjawab menentukan negara kekal makmur, pelbagai inisiatif diambil untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, dan rakyat, terutamanya anak-anak muda mempunyai peluang pekerjaan yang terjamin, boleh ada pendapatan tetap," katanya.

Berucap pada majlis ramah mesra bersama warga Gombak anjuran Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Gombak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati di sini, hari ini, Muhyiddin berkata pertumbuhan pesat ekonomi negara pada kadar 5.1 peratus tahun lalu dan 4.7 peratus untuk penggal pertama tahun ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan. - BERNAMA


Bomba selamat 5 mangsa termasuk 2 bayi

Posted: 07 Jun 2012 03:03 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kecekapan bomba berjaya menyelamatkan lima nyawa daripada lemas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah bengkel kereta di bangunan kedai dua tingkat, di Jalan Taman Intan Baiduri, Batu Caves, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Mohd Fuzi Ismail, berkata ketika kejadian 11.40 pagi itu, dua wanita, seorang lelaki berumur 20 hingga 55 tahun dan dua bayi perempuan berusia tujuh serta 19 bulan terperangkap di bahagian atas bangunan berjaya dikeluarkan melalui tangga.

Semua mereka tidak cedera hanya sesak nafas dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. Mohd Fuzi berkata, tujuh jentera bomba dari Jinjang, Jalan Hang Tuah, Sri Hartamas, Sentul dan Gombak Selatan dengan 56 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 11.48 pagi.

"Api membakar dengan marak menyebabkan bengkel itu hangus namun dapat dipadamkan setengah jam kemudian dan disekat merebak ke kawasan rumah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan namun ada saksi mengatakan terdengar bunyi letupan daripada salah sebuah kereta yang berada dalam bengkel dan ini disahkan oleh pemilik bengkel, Alan Ong, 42.

"Saya terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat disusuli percikan api daripada enjin sebuah kereta di dalam kedai. Pada masa itu saya dan dua lagi pekerja sedang membaiki kereta di bahagian belakang.
"Kami cuba memadamkan api menggunakan beberapa alat pemadam namun tidak berjaya dan terus melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pekerjanya berjaya menyelamatkan dua kereta yang sedang dibaiki diparkir di belakang kedai.

Ong menganggarkan kerugian dialaminya sekitar RM40,000. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan