Sabtu, 2 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Pelik murah sangat’

Posted: 01 Jun 2012 01:39 PM PDT

TAIPING: Sindiket curi kenderaan ditumpaskan polis Sabtu lalu di Simpang Empat, di sini, dikesan memperoleh puluhan ribu ringgit sebulan hasil kegiatan melapah dan menjual semula komponen lori curi kepada orang ramai.

Sindiket didalangi tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki Bangladesh itu dikesan memisahkan komponen lori dicuri sebelum dijual dengan harga murah seolah-olah alat ganti terpakai.


Setakat ini, polis mengenal pasti identiti lima lori dilaporkan dicuri sebelum ini berdasarkan nombor casis ditemui di bengkel rahsia sindiket itu yang diserbu, Sabtu lalu.

Seorang pekerja kilang dikenali sebagai Ahmad, 30-an, berkata, dia tidak menyangka pemilik bengkel itu dalang sindiket curi kenderaan berikutan premis berkenaan sering dikunjungi orang ramai yang mahu membeli alat ganti terpakai pada harga murah.


Menurutnya, dia sering ke bengkel itu membeli alat ganti lori syarikatnya kerap rosak dan perlu diperbaiki segera.


"Hati saya pernah terdetik perasaan pelik apabila alat ganti dijual di bengkel itu separuh daripada harga pasaran. Namun, ramai sanggup datang dari jauh termasuk Kedah dan Pulau Pinang untuk membeli alat ganti di bengkel itu. "Baru sekarang saya tahu bengkel itu menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang," katanya.

Difahamkan, hasil pemeriksaan dilakukan mengenal pasti lima lori pernah dilaporkan dicuri di di Rawang, Jinjang, Ampang dan Sungai Buluh, Selangor.


Sumber polis berkata, empat enjin lori disiasat itu didapati sengaja dipadamkan nombor casis pada enjin bagi menyukarkan polis mengenal pasti identiti asal lori berkenaan.




Tunggu dihalau

Posted: 01 Jun 2012 01:20 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dia akan melahirkan anak kelapan, tetapi kehidupannya dirundung malang apabila bakal dihalau keluar dari ruma sewa kerana bayaran sudah lama tertangguh.

Kesempitan hidup yang dialami Mazlina Ibrahim, 32, bertambah rumit apabila suaminya, Ahmad Riza, 39, gagal mendapatkan pekerjaan berikutan status bekas penagih dipegangnya.


Bagi meneruskan kelangsungan hidup terutama menyekolahkan lima anak dan menjaga emaknya, Hasnah Baba, 64, yang menghidap kencing manis, Mazlina terpaksa mengambil upah menjaga empat anak jiran dengan pendapatan tidak menentu manakala bantuan zakat RM350 sebulan.

Mazlina ketika ditemui di Flat Sri Cempaka, Persiaran 12, Sri Damansara, di sini, berkata, sebelum ini dia terpaksa menerima rawatan di hospital kerana pendarahan dan menurut doktor perkara itu disebabkan tekanan yang dihadapi.


"Tipu jika saya tidak tertekan dan sedih dengan apa yang berlaku, tetapi demi masa depan anak yang makin membesar, saya terpaksa gagahkan diri untuk bekerja.


"Suami pula bukan tak nak kerja, tetapi setiap permohonannya gagal. Awal bulan lalu motosikalnya ditarik dan dia terpaksa tumpang kawan atau naik bas untuk cari kerja," katanya.

Dia ditemui selepas menerima bantuan RM200 daripada Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).


Mazlina berkata, rumah itu disewa RM400 sebulan dan kini tertunggak RM3,200. Sementara itu, katanya, dia memperuntukkan RM30 setiap hari bagi keperluan harian termasuk kos menjaga ibunya yang terlantar sakit sejak empat tahun lalu.

Dia berkata, walaupun anaknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun kerap memberontak, tetapi dia memahami situasi mereka kerana tertekan melihat rakan seusianya hidup senang.


"Saya juga pernah memohon bantuan melalui eKasih pada 2009, tetapi sehingga kini keputusannya belum diketahui," katanya.


Sementara itu, Presiden Desmma, Mohd Fazil Abdullah, berharap isu itu tidak dipolitikkan memandangkan keluarga berkenaan cukup daif dan memerlukan pertolongan sewajarnya.


Manakala Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pihak pengurusan zakat perlu turun padang melihat sendiri situasi yang berlaku.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan