Sabtu, 2 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kawan jadi pembunuh

Posted: 01 Jun 2012 01:34 PM PDT

KUANTAN: Akibat dipengaruhi alkohol, empat lelaki warga Myanmar dipercayai membelasah seorang rakan mereka hingga mati dalam satu kejadian di rumah kongsi Kampung Belukar, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Pasrtum, 34, yang juga berasal dari Myanmar maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya ditemui terbaring di dalam rumah.


Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan bertandang ke rumah kongsi yang didiami tiga lelaki lain dengan niat mahu berbual memandangkan mereka semua datang dari negara sama.

Bagaimanapun, ketika rancak berbual, berlaku perselisihan faham antara mereka dan mula bertengkar sebelum kejadian itu disedari jiran berhampiran.


Difahamkan, pergaduhan kelima-lima lelaki itu disedari salah seorang jiran yang terdengar bunyi kuat dari dalam rumah berkenaan sebelum melihat empat lelaki bergegas keluar melarikan diri.


Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Deputi Superintendan Azmi Jaafar, berkata sepasukan anggota polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepalanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui sebatang kayu panjang di sisi mangsa yang dipercayai digunakan oleh keempat-empat rakannya untuk membelasah dan memukul kepala mangsa sehingga mati.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa masuk ke negara ini dengan menggunakan dokumen perjalanan sah sejak setahun lalu dan bekerja sebagai nelayan.

"Kita turut memanggil Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Unit Anjing Pengesan (K-9). Kita turut meredah hutan berhampiran bagi mengesan semua suspek dalam kejadian itu.


"Hasil soal siasat ke atas beberapa individu, polis berjaya menahan seorang daripada suspek berusia 31 tahun yang ketika itu berada di dalam sebuah teksi untuk ke utara.


"Kita percaya lelaki itu hendak melarikan diri ke negeri lain dan menyewa sebuah teksi dalam usahanya untuk berbuat demikian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, polis masih memburu tiga lagi suspek yang dikenali sebagai Ouk, Osimi dan Atik yang masing-masing berusia 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.


Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Zukri Muhammad di talian 09-5132222 sambungan 2064.




Georgetown dilanda banjir

Posted: 01 Jun 2012 01:33 PM PDT

GEORGETOWN: Ribuan pekerja dan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan luar biasa apabila beberapa laluan utama sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak awal pagi, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan paling teruk dilanda adalah sekitar Jalan Sungai Pinang dan Jalan P Ramlee hingga hampir menenggelamkan perkampungan di kawasan rendah.


Sementara itu, di Jalan Perak, tekanan air kuat menyebabkan permukaan jalan rosak dan berlubang selain beberapa pokok tumbang.

Seorang kerani swasta, Norsaadiah Mat, 23, berkata dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja terpaksa berpatah balik selepas motosikalnya mengalami kerosakan.


"Ketika itu saya berada di Jalan Perak dan dalam perjalanan ke tempat kerja di Pulau Tikus tetapi selepas 10 minit meredah banjir, motosikal rosak selepas terperangkap dalam air," katanya.


Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar raya ini mengalami kesesakan teruk.

Pegawai Bencana dan Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Timur Laut, Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata, hujan lebat sejak jam 4 pagi menyebabkan air naik satu meter pada jam 6.30 pagi.


Menurutnya, antara kawasan dilanda banjir kilat itu adalah Jalan P Ramlee, Kampung Makam, Jalan Perak, Jalan Sungai Pinang, Jalan Logan, Jalan Anson dan Jalan Petani.

Katanya, bagaimanapun tiada penduduk dipindahkan kerana keadaan terkawal, tetapi jika keadaan buruk, pihaknya sudah bersiap sedia dan mereka terjejas dipindahkan ke tempat selamat.


"Kami sudah menempatkan anggota di kawasan dilanda banjir dan jika keadaan buruk kita akan segera memindahkan mangsa ke kawasan selamat," katanya.


Seorang mangsa, Saiful Abdul Wahab, 24, yang tinggal di Sungai Pinang berkata, sudah lama kawasan itu tidak dilanda banjir dan nasib baik dia sudah bersedia dan memindahkan barang berharga lebih awal.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan