Ahad, 10 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gaji amah rakyat tempatan

Posted: 09 Jun 2012 03:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Menggunakan pembantu rumah warga tempatan dilihat jalan terbaik bagi menggantikan amah warga asing yang dibawa masuk ke negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, sistem terbabit akan dapat mengurangkan masalah penggantungan khidmat tenaga asing, seterusnya menyelesaikan masalah itu.


"Ini cara terbaik untuk mencari penyelesaian dalam pelbagai masalah yang wujud berkaitan pembantu rumah warga asing.

"Menerusi sistem ini, kita akan mengambil kira bidang kerja, jenis latihan dan kebajikan pembantu rumah tempatan jika ia dapat dilaksanakan," katanya selepas merasmikan majlis Semai Kasih dan Pengiktirafan Usahawan Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU), di sini, semalam.




Pusat Islam RM19.8j

Posted: 09 Jun 2012 03:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pembinaan sebuah Pusat Islam khas buat saudara baru di Jalan Sentul, di sini, bakal menjadi pusat khusus bagi golongan itu untuk mendalami Islam dan bukan sekadar penginapan sementara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kompleks berharga RM19.8 juta yang dijangka siap pada 2014 itu akan menyediakan kemudahan buat saudara baru merangkumi penginapan, makanan dan pendidikan yang lebih tersusun dan selesa.


"Ia bukan lagi sekadar penginapan sementara sebelum dihantar ke beberapa tempat di pelbagai negeri. Golongan saudara baru juga tidak perlu bimbang jika diusir keluarga kerana memeluk Islam hingga terpaksa menumpang di rumah kebajikan atau rakan kerana kita menyediakan kemudahan ini untuk mereka.

"Kita juga menyediakan kemudahan pengajian Islam dengan silibus lebih tersusun dalam membantu mereka menjadi orang Islam yang benar-benar ada pengetahuan dan amalan Islam," katanya.


Terdahulu, Jamil Khir yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2012 serta melancarkan projek penulisan direktori 'Who's Who' Saudara Muslim di Pusat Islam, di sini, semalam.


Hadir sama, Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) merangkap Pengerusi Konvensyen Saudara Muslim, Datuk Dr Mustapha Ma; Naib Yang Dipertua 1 Perkim, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Muhammad Rais Abdul Karim.

Jamil Khir berkata, kerajaan cuba membantu golongan berkenaan dalam bentuk kewangan dengan memberi peruntukan kepada semua cawangan Perkim dan pusat untuk aktiviti dakwah yang bakal dijalankan.


"Ia sebagai galakan untuk mereka mendalami Islam selepas mengalami kepayahan kerana membuat keputusan meninggalkan pegangan agama masing-masing, gaya hidup, mental termasuk halangan keluarga," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir dalam ucapannya menyokong cadangan Perkim untuk mengguna media baru dalam berdakwah kepada bukan Islam.


"Media baru menerusi Internet kini menjadi gelanggang penting pertembungan agama, budaya, pemikiran, politik, perniagaan dan sebagainya. Rugi jika Perkim tidak mengambil manfaat daripada kemajuan teknologi," katanya.


Beliau berkata, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberi sokongan untuk program berkenaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan