Ahad, 10 Jun 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


BN kerajaan orang muda

Posted: 09 Jun 2012 03:37 PM PDT

MukaDepan

NAJIB menonton aksi sky roller pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B, semalam.

NAJIB menonton aksi sky roller pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B, semalam.

Transformasi ikut rentak, aspirasi mereka: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak membelakangkan golongan muda dan sentiasa memahami aspirasi mereka.

Perdana Menteri berkata, BN juga adalah kerajaan untuk orang muda dengan melaksanakan pelbagai transformasi mengikut rentak dan wahana generasi muda, terutama dalam menyediakan peluang dan mobiliti sosial untuk mereka. Katanya, kerajaan juga menyedari aspirasi dan kehendak generasi muda terhadap peluang pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan peluang menzahirkan kreativiti mereka.

"Kerajaan sentiasa sanggup melakukan perubahan dasar untuk memenuhi aspirasi golongan muda.

Golongan muda nak peluang pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kreativiti supaya masa depan lebih baik.

Justeru, Najib yang mempunyai 500,000 pengikut Twitter berkata, anggota pentadbiran dan ahli politik perlu melakukan perubahan dan mengadaptasi perubahan semasa bagi memahami orang muda.
"Kita tak boleh kaku dan kelu. Mesti sesuai ikut peredaran zaman," katanya merujuk kepada laman sosial seperti Twitter yang menjadi ikutan generasi muda.

Malah, Najib menekankan supaya lenggok orang muda, termasuk bahasa digunakan dalam laman sosial difahami. LOL, TGIF, OMG dan FYI, ini semua bahasa orang muda sudah jadi bahasa kita," katanya disambut tepukan hadirin yang kebanyakannya generasi muda.

LOL bermaksud laugh out loud, TGIF (thank God it's Friday), OMG (oh my God) dan FYI (for your information).

Sebelum itu, tindakan Perdana Menteri berpakaian santai mengeluarkan telefon pintar peribadinya untuk merakam gambar hadirin mendapat tepukan gemuruh sebelum beliau ditemubual dua pengacara stesen radio HotFM.

Dalam sesi itu, Perdana Menteri ditanya soalan oleh pengikut Twitter, antaranya mengenai pasukan disokong dalam Kejohanan Euro 2012, kumpulan muzik diminatinya, rancangan kerajaan terhadap generasi muda dan idola beliau.

Najib berkata idola adalah bapanya sendiri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengorbankan jiwa raga untuk negara.

Kepada soalan bagaimana mengekalkan kesihatannya, Perdana Menteri berkata beliau bersenam di gimnasium tiga hingga empat kali seminggu membabitkan senaman sejam setiap sesi yang dipantau jurulatih peribadinya.

Perdana Menteri meminta bantuan anaknya, Ashman yang juga DJ sambilan, ketika ditanya mengenai muzik selepas mengakui muzik diminatinya agak ketinggalan zaman.

Najib kemudian beredar ke perkarangan stadium selepas meluangkan masa sejam beramah mesra dengan pengunjung program dihadiri 10,000 orang.

Sementara itu, ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Kali Ke-36 dan Himpunan Evolusi Kelab Najib Razak (KNR) 4B Malaysia di Shah Alam, Najib Razak menggesa belia tidak terikut-ikut golongan menongkah arus menuntut perubahan dengan cara tidak betul.

Perdana Menteri berkata, ini kerana ada pihak cuba mempengaruhi belia dengan menjual idealisme tertentu dan tidak menjelaskan sepenuhnya agenda di sebaliknya.

Katanya, ketika semua mahukan pilihan raya adil, yang penting bukan saja matlamat, sebaliknya cara mencapainya juga penting.

"Matlamat tak menghalalkan cara. Kalau mereka hendak pilihan raya bebas dan adil, kita juga begitu. Kita tidak mahu menang kerana penipuan. Kita mahu menang kerana didukung rakyat," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan