Khamis, 7 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


62 hektar sawah padi Kedah, Perlis rosak akibat ombak besar

Posted: 07 Jun 2012 03:11 AM PDT

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan mengepam segera air laut yang masuk ke sawah padi berikutan kejadian ombak besar dan air pasang luar biasa di tiga kawasan pesisir pantai di Kedah dan Perlis bermula esok.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata akibat fenomena ombak besar tengah hari semalam, kira-kira 62 hektar sawah padi di Kampung Alor Akoi dan Sungai Padang di Perlis serta Kampung Padang Garam, Sungai Dua, Kampung Kuala Kuar dan Kampung Jeruju, semuanya di Kuala Kedah terjejas.

"Mada dah kenal pasti kawasan yang terlibat dan akan buang air laut keluar dari sawah dengan menggunakan air empangan untuk ganti semula air itu," katanya kepada pemberita selepas melawat sawah padi dan jeti nelayan di Kampung Kuala Kuar, Kuala Kedah dekat sini hari ini.

Katanya, beliau akan berbincang dengan kementeriannya terlebih dahulu sebelum menyediakan bantuan dalam bentuk padi benih kepada petani sekiranya padi yang baru ditanam rosak akibat ditenggelami air laut.


Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk membina semula ban batu yang ketika ini adalah 0.9 meter.


Mohd Johari, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, berkata ban batu kawasan terbabit ketika ini adalah rendah menyebabkan air laut masuk ke sawah padi apabila ombak besar berlaku.

Katanya beliau akan membawa cadangan tersebut kepada kementeriannya dan akan mengkaji kos pembinaan ban tersebut dalam masa terdekat.

Mengenai tembok penghadang ombak yang diminta nelayan Kuala Kedah, Mohd Johari berkata perkara itu dalam proses perbincangan pihaknya dan akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Kementerian Kewangan.

Katanya kementerian akan mengkaji terlebih dahulu perkara tersebut sebelum memutuskan untuk membina benteng penahan ombak supaya ombak besar tidak merosakkan bot nelayan.

Beliau berkata bagi nelayan yang mengalami kerosakan bot, Jabatan Perikanan Kedah dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia menyediakan bantuan bencana alam serta akan membaiki semula jeti pendaratan ikan yang rosak. - Bernama




Polis perluas skop rondaan ke sekolah di Lembah Klang

Posted: 07 Jun 2012 03:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri akan memperluaskan skop rondaan bersama di antara Polis Diraja Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ke sekolah-sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata rondaan akan dijalankan pada waktu puncak persekolahan.

Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan terbabit, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga sebagai meneruskan kejayaan inisiatif omnipresence di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan