Rabu, 6 Jun 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Ombak kuat melanda pantai sekitar Pulau Pinang

Posted: 06 Jun 2012 05:50 AM PDT

GEORGE TOWN: Ombak kuat sehingga mencapai ketinggian 3.5 meter didapati melanda pantai sekitar Pulau Pinang mulai 2 petang tadi.

Di Kampung Tsunami Tanjung Bungah, tidak kurang daripada 11 buah rumah
dimasuki air laut kesan pukulan ombak itu.


Seorang penduduk, Tan Eng Kee, 67, berkata air memasuk rumahnya
sehingga paras buku lali dan menyebabkan halaman rumahnya berbecak.


"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku sejak 20 tahun lalu dan ia

bencana kedua terburuk selepas kejadian Tsunami empat tahun lepas," katanya
kepada Bernama.

Katanya penduduk membina benteng pasir di sekeliling kediaman mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar Padang Kota Lama dan Persiaran Gurney yang berhampiran laut, mendapati air laut melimpah sehingga ke jalan raya di samping membasahi ruang pejalan kaki.

Namun bagi kaki pancing, Hamzah Sidik, 54, dia sedikit pun tidak bimbang dengan keadaan itu dan tetap meneruskan hobinya bersama isteri dan dua anaknya, biarpun keadaan ombak berkeadaan tidak seperti biasa.

"Waktu macam ini ikan banyak naik, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Jika keadaan berbahaya sudah tentu amaran menjauhi pantai dikeluarkan," katanya.

Di Batu Ferringhi dan Teluk Bahang pula keadaannya didapati agak lenggang apabila orang ramai menjauhi kawasan pantai sementara nelayan dikatakan tidak turun ke laut sejak semalam.

Namun aktiviti perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meterologi, Muhammad Helmi Abdullah menyifatkan kejadian itu adalah fenomena biasa kesan pertukaran angin dari monsun timur laut kepada monsun barat daya bermula 4 Mei lalu.

Katanya keadaan ombak turut dipengaruhi angin kuat yang bertiup dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam yang diramal berterusan sehingga Jumaat ini.

"Keadaan laut agak bergelora pada ketika ini. Walaupun masih pada kategori pertama, nelayan dinasihati supaya tidak turun ke laut sehingga keadaan reda," katanya. - Bernama




Dua sahabat maut, kereta bertembung lori

Posted: 06 Jun 2012 05:10 AM PDT

SEREMBAN: Dua sahabat maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 5, Jalan Seremban-Mantin di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Lim Chun Jie dan Siow Chang Seng, kedua-dua berumur 19 tahun yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Jalan Lobak di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan, kepala dan kaki.

Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Lim dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori tanpa muatan yang datang dari arah hadapan.

"Lori tersebut gagal mengelak menyebabkannya bertembung dengan kereta mangsa dan mengakibatkan Lim tersepit di bahagian kakinya manakala Siow terperosok ke bahagian belakang tempat duduk penumpang," katanya.


Katanya pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum mengeluarkan mayat mereka.


Menurut jurucakap itu, pemandu lori terbabit yang berusia lingkungan 50-an cedera parah akibat tersepit, bagaimanapun dia terselamat dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk dibedah siasat. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan