Rabu, 6 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Cadangan wajibkan guru miliki ijazah disokong

Posted: 06 Jun 2012 02:13 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua guru baru memiliki ijazah menjelang 2020 sebagai syarat menyertai profesion perguruan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata langkah tersebut bagi memastikan guru baru yang terpilih untuk mengajar di sesebuah sekolah adalah mereka yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik.

"Ia cadangan yang bagus malah pada saya tempoh 2020 wajar diawalkan kepada 2017 berdasarkan sistem pendidikan yang jauh lebih baik disediakan kerajaan pada hari ini, sebagai contoh peluang yang disediakan kepada bakal guru untuk menyambung pengajian tanpa perlu membuat sebarang bayaran. "Justeru, sebaik sahaja tamat pengajian dalam tempoh tiga hingga empat tahun mereka (guru baru) boleh keluar dan terus mengajar di tempat yang ditetapkan dengan kelayakan ijazah yang diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung beberapa cadangan yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Strategik Interim: Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.

Antara kandungan laporan tersebut ialah mewajibkan setiap guru baru memiliki ijazah menjelang 2020 serta pemberian biasiswa pendidikan kepada guru cemerlang yang mendapat purata gred 3.0 ketika pengajian bermula tahun depan.

Ia turut menyentuh mengenai khidmat bantuan jurulatih kepada guru baru, program latihan yang membabitkan agensi tempatan dan antarabangsa, menggalakkan guru baru menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan serta pendidikan formal kanak-kanak seawal usia lima tahun.
Hashim turut mengalu-alukan cadangan kerajaan memberikan bantuan jurulatih dan biasiswa pendidikan kepada bakal guru yang memperoleh keputusan cemerlang ketika pengajian kerana ia menggalakkan golongan tersebut menjadi pendidik yang bertanggungjawab dan berdaya saing.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan menyediakan pendidikan formal seawal usia lima tahun bagi kanak-kanak di negara ini, Hashim berkata ia adalah pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka pada usia yang lebih awal atau sebaliknya ke sekolah.

"Pendidikan adalah bebas dan bersifat pilihan individu...maka ia terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka sewal usia lima atau enam tahun ke sekolah bergantung kepada kemampuan dan juga keupayaan kanak-kanak itu sendiri.

"Saya menyokong sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan formal seawal usia lima tahun namun dalam masa yang sama tahap keupayaan setiap kanak-kanak adalah berbeza...dalam isu ini unsur paksaan tidak harus berlaku terhadap anak-anak oleh ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata cadangan mewajibkan semua guru baru mempunyai ijazah menjelang 2020 adalah satu pendekatan yang positif kerana pendidikan adalah intipati penting dalam pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam konteks dasar langit terbuka pada hari ini peranan pendidik sangat diperlukan bagi membantu ibu bapa memantau aktiviti anak mereka terutama ketika berada di kawasan sekolah.

"Jika kita masih mengambil guru yang kurang ilmu, saya bimbang mereka tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik sekaligus tidak dapat menangani masalah dan memimpin murid ke arah yang lebih baik.

"Mengenai pemberian biasiswa, ia adalah inisiatif yang baik kerana di samping menghargai kecemerlangan mereka, kita juga secara tidak langsung berupaya melahirkan golongan pendidik yang mampu bersaing dengan kelebihan yang ada pada pendidik negara luar seperti di Singapura, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Mohamed Sabri turut menasihatkan guru-guru baru diberikan pendedahan yang lebih meluas dalam isu kemasyarakatan bagi mengelakkan mereka menghadapi sebarang kesulitan apabila dihantar bertugas ke sesebuah daerah apabila diarahkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata sama ada seorang guru baru itu mempunyai ijazah atau tidak bukanlah menjadi perkara utama sebaliknya sikap dan profesionalisme golongan itu yang wajar dijadikan keutamaan.

"Pihak kami tidak mempunyai halangan berhubung cadangan tersebut namun apa yang penting adalah sikap guru itu sendiri yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik berasaskan tiga perkara iaitu ASK 'Attitude, Skills dan Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan)'.

"Profesionalisme seorang guru sangat penting kerana bukan ijazah berjela yang kami pihak PIBG pandang tapi tahap dedikasi mereka terhadap profesion perguruan termasuklah dalam aspek mengajar, kesabaran serta proaktif," katanya.

Mohd Ali berkata, mempunyai ijazah asas dalam jurusan sama seperti yang diajar juga perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan guru berasa terbeban dan keliru dengan mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, katanya, guru baru sememangnya diharapkan dapat melibatkan diri mereka dalam bidang kemasyarakatan kerana tugas sebagai pendidik bukan sahaja terhad di sekolah. - BERNAMA


Kaedah e-filing meningkat 15 peratus

Posted: 06 Jun 2012 12:16 AM PDT

Mutakhir

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima 2.1 juta Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dihantar menerusi kaedah e-filing sejak awal tahun sehingga kini, berbanding 1.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan kira-kira 15 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Shukor Mahfar, berkata trend positif daripada segi pertambahan dalam penghantaran borang secara e-filing itu menampakkan perkembangan corak yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, 1.7 juta daripada jumlah itu adalah mereka yang "makan gaji", yang perlu menghantar borang anggaran cukai selewat-lewatnya hujung April lalu agar tidak dikenakan penalti kerana lewat, manakala yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan perlu menghantarnya sebelum akhir bulan ini. "Perkembangan trend kutipan sepanjang lima bulan lalu nampak positif, sama seperti tahun lalu yang menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan tidak begitu terjejas berbanding negara lain, seperti negara Eropah Timur," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Kesihatan Hasil SeMalaysia di ibu pejabat LHDN di sini, yang berlangsung sejak awal minggu ini sehingga 11 Jun.

LHDNM, dalam satu kenyataan pertengahan bulan lalu, menyatakan ia menjangka 2.5 juta BNCP diterima melalui kaedah e-Filing menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata orang ramai harus sedar bahawa kerajaan dapat mengutip hasil yang baik menerusi pungutan cukai disebabkan kestabilan politik dan ekonomi negara.
Tahun lalu LHDN mengutip cukai berjumlah RM109.674 bilion, pertambahan kira-kira RM23 bilion berbanding tahun sebelumnya dan ia dianggap pencapaian luar biasa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa beliau merasmikan Menara Hasil pada Mac lalu.

Mohd Shukor berkata, angka itu memang boleh dianggap luar biasa kerana belum pernah pertambahan kutipan menjangkau lebih RM23 bilion sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menjangka kutipan tahun ini akan mencapai tahap "luar biasa" seperti tahun lalu.

"Kalau tahun ini juga luar biasa, ia bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan pungutan tahun-tahun sebelumnya, saya tidak menjangkakan pencapaian luar biasa ini akan berlaku lagi tahun ini," katanya dan menambah pertambahan kutipan sebelum ini hanya sekitar enam atau tujuh bilion.

Katanya, secara peribadi beliau berpendapat kenaikan mendadak tahun lalu membantu kerajaan mengurangkan defisit, membolehkan kerajaan memiliki bajet "tambahan" untuk perbelanjaan, contohnya dengan pelaksanaan projek Bantuan Rakyat 1Malaysia dan pemberian bantuan baucar buku untuk pelajar.

Awal bulan lalu, LHDN menyatakan ia mensasarkan pungutan cukai berjumlah RM110 bilion tahun ini, berbanding kutipan RM109.674 bilion tahun lalu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan