Selasa, 5 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Selamat GRO 15 tahun

Posted: 04 Jun 2012 01:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang remaja warga Vietnam berusia 15 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia bawah umur diselamatkan dalam Ops Noda dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah restoran di Dataran Prima, Damansara, di sini, petang semalam.

Premis terbabit yang berselindung di sebalik papan tanda kononnya beroperasi sebagai restoran itu dikesan menawarkan pakej makan bersama GRO sebagai tarikan istimewa.


Tarikan itu menyebabkan premis berkenaan menjadi tumpuan pengunjung seawal jam 3 petang untuk berhibur dengan wanita GRO yang rata-rata warga asing.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila restoran itu diserbu sepasukan polis D7 IPK Selangor bermula jam 6.30 petang semalam. Ketua operasi, Inspektor Othman Mahat ketika ditemui di lokasi selepas serbuan itu berkata, lapan GRO warga asing termasuk remaja berkenaan ditahan. Beliau berkata, ketika serbuan, remaja bawah umur berkenaan asyik melayan pelanggan dengan menuangkan minuman keras dalam ruang gelap di tingkat satu premis dua tingkat itu. "Siasatan awal mendapati remaja warga Vietnam itu turut dijadikan pemuas nafsu pelanggan. "Siasatan mendapati pelanggan yang mahu melanggani GRO di premis itu perlu membeli beberapa jug minuman keras dan GRO terbabit akan mendapat tips bagi setiap jug minuman keras dipesan. Untuk perkhidmatan seks pula, bilik khas disediakan di tingkat dua premis itu dengan bayaran RM150," katanya.


Menurutnya, lima daripada GRO yang ditahan itu ialah warga Vietnam, dua warga Indonesia dan seorang lagi warga Thailand yang berumur 15 hingga 25 tahun. "Ops Noda ini dilaksanakan selepas risikan dibuat selain aduan awam dan premis terbabit pernah diserbu tiga kali tahun lalu.


"Kami sudah membuat intipan ke atas premis terbabit selama beberapa hari untuk mengenal pasti pekerja dan pelanggan sebelum menyerbu," katanya. Menurutnya, pemeriksaan terhadap GRO itu mendapati dua daripada mereka memiliki pasport, ada yang menggunakan slip 6P dan selebihnya tidak mempunyai pasport. Turut ditahan ialah seorang lelaki dipercayai penjaga premis itu iaitu warga Myanmar berusia 30-an. "Dalam operasi itu juga, lima lelaki yang melanggan GRO dalam premis itu ditahan sementara untuk diambil keterangan. "Semua GRO dan penjaga premis yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya. Othman berkata, untuk mangsa bawah umur yang diselamatkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang (Atip).




2 peragut diberkas atas motor

Posted: 04 Jun 2012 12:57 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tidak sampai tiga bulan aktif melakukan pelbagai jenayah ragut dan pecah kereta sekitar Cheras, dua penganggur warga tempatan berumur 20 hingga 30-an diberkas polis ketika menunggang motosikal di Taman Cheras, di sini.

Kedua-dua mereka ditahan pada jam 12 tengah malam 12 Mei lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hasil maklumat awam serta intipan.


Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, polis merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera digital, dua Smart Tag, jam tangan pelbagai jenis dan sebuah motosikal Yamaha yang dipercayai hasil daripada kegiatan ragut dan pecah kereta.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan polis masih menyiasat sekiranya suspek terbabit sama aktiviti pecah rumah di Cheras.


"Kedua-dua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda," katanya ketika sidang media di IPD Cheras, semalam.


Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohan Singh berkata, polis menahan dua pengawal peribadi yang terbabit pergaduhan di sebuah kelab berhampiran Jalan Pudu, di sini, yang mengakibatkan seorang jurujual cedera di kepala akibat dihentak menggunakan pistol, Jumaat lalu.

Beliau berkata, suspek yang berumur 37 dan 45 tahun itu melepaskan dua das tembakan ketika ingin melarikan diri dan kini direman sehingga 6 Jun bagi membantu siasatan.


"Walaupun seorang daripada suspek mempunyai lesen senjata api, tetapi perbuatannya yang mencederakan orang serta melepaskan tembakan di kawasan awam salah di sisi undang-undang. "Tiada kehilangan nyawa dicatatkan, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, pistol yang digunakan suspek dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan