Sabtu, 2 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tiada kompromi tepis ancaman keamanan: PM

Posted: 02 Jun 2012 02:31 PM PDT

Nasional

Tanggungjawab rakyat pertahan sistem beri manfaat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi dalam menepis sebarang ancaman, terutama yang menggugat ketenteraman hidup rakyat negara ini.

"Walaupun tidak disenangi sesetengah puak, termasuk kuasa asing, kita tidak akan sesekali tunduk pada mana-mana tekanan dan akan mengambil apa saja langkah yang wajar supaya hak majoriti rakyat untuk hidup rukun terus dilestarikan," kata Perdana Menteri. Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah tahniah pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Sambil menzahirkan setinggi-tinggi junjungan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Najib berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat tertinggi kerana kerajaan ini adalah sebuah kerajaan daripada rakyat untuk rakyat yang mendapat mandat majoriti rakyat selain barisan kepemimpinan dipilih secara demokratik.

"Makanya kita tidak boleh sewenang-wenang membiarkan asas terpenting demokrasi, iaitu keunggulan suara majoriti dimusnahkan oleh mereka yang mahu menegakkan kaedah rimba tidak bertempat dengan menganggap siapa paling lantang, siapa paling licik dan siapa paling ganas sebagai kudrat dan kebenaran. Cara gaya dan pegangan seperti ini, wajib ditolak sekeras-kerasnya," katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat yang cintakan keamanan, menjadi tanggungjawab setiap golongan untuk mempertahankan institusi serta sistem yang terbukti memanfaatkan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian apatah lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.
Justeru, kata Najib, rakyat hendaklah sentiasa menginsafi jerih payah kerajaan mentransformasikan negara dan jangan ada kelompok cuba memusnahkan pencapaian yang ada hanya kerana kepentingan jangka pendek.

Beliau berkata, dialog nasional yang sihat harus sentiasa digalakkan kerana perbezaan pendapat yang disalur secara membina adalah suatu rahmat kepada rakyat dan negara.

"Maslahat kebangsaan sewajarnya dibincangkan secara tertib bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya diluahkan secara tidak keruan lagi menggila di jalanan.

"Penggunaan taktik kotor yang tidak bertanggungjawab bagi mencapai objektif politik hanya merugikan rakyat dan negara. Beringatlah bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara," katanya.

Najib berkata, dewasa ini, umum makin mengetahui bahawa kewibawaan kerajaan secara sengaja terus cuba dipertikai dan diperlekeh sesetengah kelompok.

"Pendek kata, apa jua kejayaan yang dicipta oleh kita, mereka tidak akan memperakuinya dek kerana tidak mendatangkan laba atau keuntungan, malah merugikan mereka," katanya.

Beliau berkata, negara akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan jika terbelenggu oleh permasalahan serta perbalahan yang tiada hujungnya.
Perdana Menteri menegaskan walau apa jua halangan dan sehebat mana rintangan, kerajaan tidak sedikit pun terkesima dengan gangguan yang ditimbulkan, malah, akan tetap fokus, cekal lagi tabah bergerak di atas landasan kebenaran demi pertiwi.

"Pucuk pangkalnya, kerajaan Tuanku ini akan terus menegakkan syarat dengan undang-undang, menegakkan adat yang dipegang, menegakkan amanah yang disandang, menegakkan hukum ditimbang, menegakkan pusaka yang berbilang dan menegakkan janji yang ditimang," katanya. – BERNAMA


30 belia himpun di depan rumah Azmin desak jawab isu

Posted: 02 Jun 2012 02:22 PM PDT

Nasional

SEBAHAGIAN peserta demonstrasi berhimpun di hadapan rumah Azmin di Kuala Lumpur, semalam.

SEBAHAGIAN peserta demonstrasi berhimpun di hadapan rumah Azmin di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 belia dari Ampang, Gombak dan Pandan Indah berkumpul secara aman di hadapan rumah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali di Taman Tun Abdul Razak di sini, semalam mendesak pemimpin pembangkang itu menjawab segala tuduhan yang dikaitkan dengan dirinya.

Wakil mereka, Safarizul Mustapa, berkata Azmin perlu berani tampil membuat kenyataan sekiranya benar Ahli Parlimen Gombak itu tidak terbabit dengan kes rasuah yang ditimbulkan baru-baru ini.

"Jika sebelum ini Azmin banyak membicarakan mengenai soal keadilan maka sudah tiba masanya untuk beliau sekarang tampil menjawab perkara ini..., kami mencabar beliau supaya menjawab segala tuduhan itu.

"Kami bukannya kumpulan 'samseng' sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang," - Safarizul Mustapa, wakil belia.

"Kami bukannya kumpulan 'samseng' sebaliknya berkumpul secara aman tanpa merosakkan harta benda kerajaan menuntut jawapan daripada Azmin..., jika tiada jawapan maka kami akan berkumpul lagi pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, kumpulan itu berkumpul selama hampir 15 minit bermula pada jam 4 petang dengan memegang pelbagai sepanduk berbunyi 'Tolak PKR', 'Tolak Azmin' dan 'tolak pembangkang'.

Sementara itu, kelmarin isteri pemimpin kanan PKR terbabit, Shamsidar Taharin membuat satu laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang berhubung tindakan lebih 20 lelaki bermotosikal membuat kecoh hampir satu jam di hadapan rumahnya.

Pemuda terbabit dikatakan mula berkumpul di hadapan rumah Azmin dengan membuat pusingan beberapa kali sebelum disuraikan pihak polis.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat Shamsidar jam 11 malam kelmarin.

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk mengenal pasti punca sebenar tindakan pemuda berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan