Rabu, 6 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rugi RM4j setahun akibat sampah

Posted: 05 Jun 2012 02:48 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sikap rakyat Malaysia yang membuang sampah dalam sungai menjadi punca utama banjir kilat sering melanda sehingga rekod mencatatkan dua kejadian banjir besar berlaku di ibu kota dalam tempoh singkat iaitu pada Mac dan Mei baru-baru ini.

Malah, disebabkan masalah itu, Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) menanggung kerugian hampir RM4 juta setahun bagi menanggung kerosakan untuk menyelenggara infrastruktur dan komponen perangkap sampah yang rosak akibat sampah.


Pengarahnya, Nor Hisham Mohd Ghazali berkata, setiap kali berlakunya banjir besar pelbagai sampah kelihatan menyebabkan berlakunya banyak kerosakan pada sesetengah komponen yang menyokong sistem Smart.

"Kami berusaha mempertingkatkan kaedah penyelenggaraan dengan baik bagi mengurangkan kos namun sampah yang ditemui terlalu banyak sehingga tidak mampu menampung peralatan yang digunakan, malah ada yang rosak dan pecah.


"Usaha menangani masalah ini akan dilakukan berterusan dengan mendekatkan diri kepada masyarakat terutama yang berada di kawasan ulu dan penganjuran program kesedaran turut diadakan bagi menjaga kebersihan sungai yang diharap memberi manfaat kepada orang ramai," katanya ketika ditemui, semalam.


Beliau ketika ditemui selepas sesi taklimat media di Pusat Kawalan Smart (SCC), di sini, berkata, Smart bukan saja menanggung kerugian, malah terpaksa membelanjakan hampir RM150,000 setahun bagi menguruskan sampah yang tersekat dan terperangkap pada sistem perangkap automatik.




Ekori polis elak kena tetak

Posted: 05 Jun 2012 02:46 PM PDT

HULU SELANGOR: Kehadiran dua anggota polis yang melalui tempat kejadian menyelamatkan seorang lelaki berusia 37 tahun daripada ditetak sekumpulan lima lelaki dalam pergaduhan di sebuah bengkel di Hulu Bernam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa menyelamatkan diri apabila mengekori anggota polis berkenaan sebelum menceritakan kejadian terbabit dan tampil membuat laporan polis.


Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan mahu bertemunya di bengkel berkenaan kononnya untuk berbincang mengenai wang.

"Sebaik tiba di bengkel berkenaan, mangsa berbincang dengan rakannya serta dua lelaki lain. Namun, ketika berbincang, dua lagi lelaki datang ke bengkel itu sebelum mangsa dibelasah bertubi-tubi oleh kumpulan lelaki terbabit termasuk membaling kerusi dan menendang kaki menyebabkan mangsa terjatuh dan menahan kesakitan," katanya.


Menurutnya, kumpulan penyerang itu turut mengugut mangsa supaya menyerahkan wang puluhan ribu dipercayai ada kaitan dengan bengkel berkenaan.


"Bagaimanapun, mangsa yang tidak mempunyai wang mengajak kumpulan lelaki itu berbincang, namun tidak diendahkan menyebabkan seorang daripada penyerang itu mengacukan parang ke arah mangsa," katanya.

Katanya, tindakan lelaki terbabit bagaimanapun dihalang rakan lain sebelum dua anggota polis yang melakukan rondaan melalui kawasan bengkel itu dan terdengar bunyi pertengkaran.


Beliau berkata, terkejut melihat kehadiran anggota terbabit, mereka berpura-pura berbincang selain membuat isyarat memberi amaran kepada mangsa supaya tidak memaklumkan insiden itu kepada polis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. "Polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan mengesannya bagi membantu siasatan lanjut kejadian itu," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan