Utusan Online - Kota |
Posted: Jalan rosak, simpang bahayaOleh ROSLAH OTHMAN KEADAAN kelam-kabut di persimpangan antara Pandan Cahaya dan Ampang Mewah berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat dan juga permukaan jalan rosak. AMPANG 1 Sept. - Permukaan jalan yang rosak di persimpangan Jalan Pandan Cahaya 1 hingga Ampang Mewah di sini sangat meresahkan pengguna terutama penunggang motosikal dan pejalan kaki. Keadaan lebih bahaya pada waktu malam kerana keadaan jalan gelap menyebabkan pengguna tidak nampak kawasan jalan yang rosak, seterusnya mengakibatkan mereka melanggarnya. Selain masalah jalan rosak, ketiadaan lampu isyarat di persimpangan di situ menambahkan lagi keresahan pengguna yang mendakwa berdepan risiko terlibat dalam kemalangan setiap kali melalui simpang itu. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, permukaan jalan yang menjadi laluan utama menghubungkan Pandan Cahaya, Ampang Mewah dan Pandan Indah itu bukan sahaja tidak rata tetapi juga terdapat banyak lubang kecil dan sederhana besarnya di sana sini. Seorang pengguna, Ahmad Sabri Zainuddin, 43, berkata, walaupun sudah biasa dengan keadaan jalan di situ, ada ketikanya dia tidak dapat mengelak daripada memasuki lubang. Katanya, jika hari hujan, risikonya berganda kerana semua orang mahu cepat sampai ke rumah sehingga mengabaikan keselamatan diri dan orang lain. "Ketiadaan lampu isyarat di persimpangan ini menambahkan lagi kesesakan di sini," ujarnya yang tinggal di Ampang Mewah dan bekerja di Cheras itu. Bagi S. Ravidran, 54, pula, keadaan jalan yang rosak di kawasan itu bukan perkara baru dan sudah beberapa kali dibaiki. Namun, bapa kepada lima anak itu berkata, walaupun sudah beberapa kali dibaiki tetapi jalan yang elok itu hanya bertahan untuk seketika sahaja. "Dalam masa tidak sampai sebulan, keadaan jalan kembali teruk. Ini kerana mereka hanya menampal bahagian jalan yang berlubang sahaja dan tidak melibatkan keseluruhan jalan di situ," katanya. Seorang penunggang motosikal, Ahmad Talib Sabi, 23, golongan seperti dia perlu lebih berhati-hati apabila melalui kawasan berbanding mereka yang berkereta. "Walaupun belum ada kemalangan maut berlaku setakat ini tetapi pihak berkuasa perlu memandang serius perkara yang melibatkan keselamatan di jalan raya," katanya. |
Posted: Rayu jangan roboh premisOleh NUR NAZLINA NADZARI BLOK bangunan rumah kedai ini juga termasuk dalam kawasan yang terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek laluan bawah tanah MRT. KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pemilik premis di Jalan Sultan, berhampiran Jalan Petaling di sini memohon agar bangunan mereka tidak dirobohkan berikutan projek pembinaan My Rapid Transit (MRT) yang melibatkan 20 lot tanah dan premis di kawasan tersebut. Pemilik yang ditemui pada dasarnya menentang usaha pengambilan tanah dan premis mereka itu, yang kemudiannya akan dirobohkan atas tujuan keselamatan kerana menganggap kawasan itu merupakan antara warisan penting kaum Cina. Seorang pemilik hotel, Judy Tan berkata, Jalan Petaling merupakan sebahagian daripada warisan kaum Cina dan membawa banyak makna kepada kaum itu. Katanya, mereka tidak membantah pembinaan MRT, namun berharap agar lot tanah dan premis mereka tidak diroboh kerana ia merupakan warisan yang sepatutnya dipelihara. "Saya berharap MRT dapat dibina di tempat lain yang tidak melibatkan lot bangunan di Jalan Petaling dan Jalan Sultan. "Kami bukan bercakap soal wang. Ini merupakan warisan yang tidak dapat dibeli," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff, Pengarah MMC-Gamuda JV (PDP), Datuk Azmi Mat Nur dan Pengurus Perhubungan Korporat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Leong Shen Li. Sementara itu, Timbalan Ketua Pasukan Petugas 1Malaysia MCA Wilayah Persekutuan, Frankie Gan berkata, peniaga telah menerima surat daripada Unit Perancangan Ekonomi baru-baru ini yang meminta peniaga mendengar taklimat mengenai projek itu pada 7 September nanti. Beliau berkata, sebanyak 34 rumah kedai akan terlibat dalam pengambilalihan itu sedangkan peniaga berpendapat, ada tapak lain iaitu di belakang premis mereka yang boleh dijadikan tapak projek MRT itu. "Peniaga mencadangkan supaya projek MRT itu dibina di sebuah kawasan di Jalan Panggung iaitu berdekatan dengan sebuah tempat meletak kereta," jelasnya. Pada sesi taklimat itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang turut hadir telah menyerahkan surat bantahan pengambilan tanah dan premis yang terlibat dalam projek MRT kepada Zulkifli. Kui Lun juga meminta agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengambilan tanah milik swasta tersebut kerana ia merupakan kawasan warisan. Beliau turut mengutarakan pandangan supaya pembinaan MRT bawah tanah itu dapat dilakukan tanpa merobohkan bangunan dengan mengambil contoh pembinaan seperti di United Kingdom. |
Undang-undang tidak benarkan – Prasarana Posted: Undang-undang tidak benarkan – PrasaranaPasukan Petugas 1Malaysia MCA Wilayah Persekutuan mengadakan bantahan aman terhadap cadangan merobohkan bangunan yang berada dalam laluan projek MRT, baru-baru ini. KUALA LUMPUR 1 Sept. – Pengambilalihan tanah dan premis di Jalan Sultan di sini harus dilakukan kerana tiada cara lain yang dapat dilakukan bagi melaksanakan projek pembinaan My Rapid Transit (MRT) di kawasan itu. Pengarah Bahagian Pembangunan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, bukan Jalan Sultan sahaja yang menerima kesan daripada pembinaan MRT itu, malah banyak tempat lain turut menerima nasib yang sama. Menurutnya, dalam melaksanakan sesebuah pembangunan, ada kalanya pengorbanan harus dibuat dan dalam kes MRT, ia perlu dibina demi memenuhi keperluan pengangkutan awam negara. Katanya, soal pembinaan terowong bawah tanah di luar negara yang masih mengekalkan bangunan lama di atasnya seperti yang dibangkitkan oleh penduduk terbabit, tidak termaktub di negara ini. "Ia bergantung pada undang-undang di sesebuah negara. Kami sudah mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara mengenai perkara ini dan undang-undang di sini tidak membenarkan bangunan di atas projek terowong dikekalkan," katanya. Zulkifli berkata, pengambilalihan harta awam di Jalan Sultan akan melibatkan sejumlah 20 lot tanah dan premis di atasnya. Menurutnya, pembinaan MRT sepanjang 51 kilometer yang melibatkan 31 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah itu akan bermula pada November ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan