Isnin, 26 September 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Seorang maut lori rempuh rumah

Posted:

Seorang maut lori rempuh rumah

Seorang maut lori rempuh rumah

Oleh AZMAN MD. NOOR
pengarang@utusan.com.my

SIK 26 Sept. – Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera apabila sebuah lori pasir terbabas lalu melanggar dua kereta sebelum merempuh sebuah rumah di Jalan Bukit Tupai dekat Batu Lima, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu, pemandu kereta, Abdul Rahman Jusoh, 56, yang berasal dari Kampung Bandar Hilir Mukim Teloi dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Sarimah Wamin, 46, cedera ringan.

Pasangan tersebut dalam perjalanan pulang dari arah pekan Batu Lima apabila dirempuh lori yang datang bertentangan dari arah Parit Panjang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zaidong Mustapha berkata, lori yang dipercayai dipandu laju itu, cuba mengelak sebuah kenderaan pikap yang membelok ke kiri jalan namun merempuh dan menyeret kereta mangsa.

"Lori tersebut seterusnya merempuh rumah milik warga emas, Maimunah Noh, 70, yang terletak kira-kira 15 meter dari jalan raya sehingga terperosok ke dalam ruang tamu dan bilik tidurnya," katanya.

Katanya, pemandu lori berkenaan, Mat Ghazali Abdul Kadir, 46, dari Aman Jaya, Sungai Petani turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sik.

Selain itu, menurutnya, pemandu kenderaan pikap, Lim Eee How, 55, cedera di bahagian kepala.

Katanya, Maimunah pula bernasib baik kerana sempat lari menyelamatkan diri sebaik sahaja ternampak lori berkenaan meluru ke arah rumahnya.

Maimunah ketika ditemui bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tersebut.

Katanya, semasa kejadian, dia sedang mengupas kelapa apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan tiba-tiba ternampak lori pasir berkenaan menghala ke arahnya.

"Saya bingkas berundur untuk mengelak sebelum lori berkenaan merempuh rumah saya," katanya.

"Mujurlah kejadian itu berlaku pada waktu siang kerana jika waktu malam, tiga cucu saya yang setiap malam tidur di bilik berkenaan mungkin menjadi mangsa rempuhan," katanya.

Jurujual gagalkan cubaan ragut

Posted:

Jurujual gagalkan cubaan ragut

Jurujual gagalkan cubaan ragut

JOHOR BAHRU 26 Sept. - Seorang jurujual wanita nekad mengejar dan menendang motosikal ditunggang seorang lelaki yang meragut beg tangan miliknya menyebabkan suspek diberkas di Jalan Maju, Taman Pelangi, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, mangsa, Cindy Tan, 52, dalam perjalanan ke sebuah kedai percetakan untuk menempah kad perniagaan dengan menaiki motosikal Yamaha Ego.

Katanya, tiba-tiba dia dihampiri sebuah motosikal Kawasaki KR150 dari arah belakang sebelum peragut berkenaan bertindak meragut beg tangannya yang diletakkan di bahagian letak kaki hadapan motosikal berkenaan.

"Saya terus kejar lelaki itu kira-kira 30 meter dan menendang dari tepi menyebabkan kami berdua terjatuh.

"Lepas itu saya terus bangun dan capai beg tangan saya dan lari ke dalam restoran berhampiran untuk mendapatkan bantuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Cindy berkata, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan orang ramai yang melihat kejadian itu segera memberi bantuan sebelum menyerahkan lelaki tersebut kepada polis.

Katanya, kejadian ragut itu merupakan kali kedua menimpanya dengan kali pertama berlaku di Taman Megah Ria, dekat sini pada 2005.

"Dalam insiden pertama, suspek sudah ditangkap dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan