Isnin, 26 September 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Jika hudud dilaksana, pemimpin DAP letak jawatan

Posted:

Jika hudud dilaksana, pemimpin DAP letak jawatan

Jika hudud dilaksana, pemimpin DAP letak jawatan



KUALA LUMPUR 25 Sept. – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletak jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Beliau mengulangi kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

"Jika anda berkata sebarang perkataan dalam prinsip bersama dalam Buku Jingga itu menyebut tentang hudud atau negara Islam, saya fikir bukan sahaja saya tetapi semua anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan meletakkan jawatan.

"Kami adalah parti yang berprinsip dan pemimpin berpegang pada prinsip, jadi tidak ada jalan bagi pemimpin yang berkata selepas memegang tampuk kuasa di Putrajaya akan melaksanakan hudud dan menubuhkan kerajaan Islam. Tidak mungkin kerana ia bukanlah dalam rangka dasar bersama.

"Pendirian kami jelas, kami tidak menerima hudud ataupun sebuah negara Islam," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu semasa merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, mengadakan hukum hudud atau sebuah negara Islam tidak pernah disebut dalam Buku Jingga pakatan dan ketiga-tiga parti hanya bersetuju menyatukan rakyat Malaysia di bawah prinsip bersama yang antara lain bagi tujuan kebebasan, keadilan dan demokrasi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, pemimpin tertinggi pakatan pembangkang akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan rancangan Pas melaksanakan hukum hudud.

Beliau berkata, isu berkenaan akan dibincangkan di kalangan pemimpin pembangkang itu pada mesyuarat bulanan mereka di Ibu Pejabat Pas di sini yang dijadualkan bermula pukul 8 malam.

"Mesyuarat itu pada mulanya untuk membincangkan Bajet Pakatan 2012, tetapi oleh kerana ada isu lain yang perlu diberi tumpuan, adalah wajar bagi pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkannya pada mesyuarat tersebut," katanya di sini, hari ini.

Pemain mesin judi boleh dipenjara

Posted:

Pemain mesin judi boleh dipenjara

Pemain mesin judi boleh dipenjara

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.


POLIS menunjukkan sebahagian daripada peralatan untuk permainan judi yang dirampas daripada beberapa individu semasa sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 25 Sept. - Bagi membendung kegiatan perjudian di premis kafe siber daripada berleluasa di negeri ini, selain penganjur dan penjaga premis, polis akan turut mengheret para pemain ke muka pengadilan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata, mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Katanya, di bawah peruntukan undang-undang itu, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.

"Sebelum ini, hanya penganjur dan penjaga premis sahaja didakwa manakala mereka yang bermain mesin judi pula dibebaskan selepas kenyataan diambil. Mereka diperlukan sebagai saksi dalam kes itu.

"Namun kini polis akan usahakan supaya pemain mesin judi di kafe siber juga akan turut didakwa seperti mana yang dibuat kepada pemain judi di tempat terbuka.

"Peruntukan undang-undang itu memang sudah sedia ada, cuma kita belum laksanakannya lagi," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahrudin Abdullah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Dalam perkembangan berkaitan, Ayub berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi 'panas' aktiviti perjudian di negeri ini dan telah menjalankan operasi bagi membanteras gejala itu.

Katanya, operasi berterusan itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Tumpuan utama adalah lokasi-lokasi di tiga daerah iaitu Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Jaya Tengah (SPT) dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian sering dijalankan.

"Kita juga turut menjalankan operasi di lokasi-lokasi yang pernah diserbu kerana aktiviti berkenaan masih dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, menurut Ayub, terdapat peningkatan dari segi rampasan mesin judi yang direkodkan pihaknya antara Januari dan Ogos lalu berbanding tempoh yang sama pada 2010.

"Tahun ini, sebanyak 6,416 set mesin judi dirampas berbanding 1,976 set pada tahun lalu. Kita juga menahan seramai 631 orang tahun ini berbanding 271 orang tahun lalu" ujarnya.

Adil membangunkan pendidikan – Najib

Posted:

Adil membangunkan pendidikan – Najib

Adil membangunkan pendidikan – Najib

Oleh ROKIAH ABDULLAH
dan AZELI ALI
utusanpenang@yahoo.com.

PULAU PINANG 25 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan untuk sentiasa mengamalkan dasar adil dan saksama dalam membangunkan bidang pendidikan negara ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen tersebut telah menjadi teras dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini yang terus memberi tumpuan terhadap pendidikan tanpa meminggirkan mana-mana kaum termasuk untuk sekolah jenis kebangsaan Cina.

Menurut beliau, bantuan dan sokongan itu diberi kerajaan secara berterusan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi sebagai sebahagian daripada program membangunkan negara ini.

''Bila kita bercakap soal pendidikan untuk anak-anak, kita kena ketepikan falsafah dan fahaman politik yang mungkin mempunyai perbezaan kerana setiap anak ini adalah aset dan warisan masa depan negara.

''Sama ada sekolah Cina, India atau sekolah agama, semuanya kita perlu bantu untuk berjaya. Hanya menerusi pendidikan sahaja kita boleh mengatasi semua halangan yang datang dan mencapai kemakmuran yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menamatkan kayuhan sejauh enam kilometer dari Straits Quay ke persimpangan Jalan Gurney di sini hari ini.

Sebanyak RM16 juta berjaya dikutip pada program anjuran bersama 1Malaysia Development Berhad itu yang dianjurkan bagi mengutip dana membantu 10 buah sekolah menengah jenis kebangsaan dan lima buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Pulau Pinang.

Najib berkata, dalam menjadikan pendidikan lebih baik di Malaysia terutamanya untuk sekolah Cina, beliau telah membuat langkah berani dengan memansuh Seksyen 21 (2) Akta Pendidikan 1961 semasa menjadi Menteri Pelajaran.

Menurut beliau, pemansuhan itu adalah atas keprihatinannya terhadap bantahan kuat masyarakat Cina kerana akta tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk menukar status sekolah jenis kebangsaan (SJK) kepada sekolah kebangsaan (SK).

''Ternyata, tindakan berani saya itu telah berjaya menghasilkan satu anjakan kepada pendidikan negara khususnya sekolah Cina. Salah satu hasil positif berkenaan termasuklah kemampuan sekolah aliran itu menarik hampir 56,000 pelajar bumiputera daripada jumlah keseluruhan pelajarnya sebanyak 612,000 orang ketika ini.

''Nampaknya, pada hari ini, lebih ramai orang Melayu sudah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin jika dibandingkan sebelum ini. Transformasi yang berlaku ini sebenarnya amat baik dalam membantu kita menerokai perniagaan dengan China yang merupakan antara kuasa besar ekonomi global," katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau amat berbangga dengan kejayaan berkenaan yang turut dicapai hasil daripada peranan dan sumbangan yang telah dimainkan kaum Cina negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan