Berita Harian: Nasional |
Posted: 29 Sep 2011 03:19 PM PDT Nasional Platform satukan NGO Bumiputera galak pembangunan mapan, berkesanKUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), dilancarkan malam tadi untuk memayungi seluruh badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu sedia ada dalam usaha memartabatkan ekonomi masyarakat itu pada abad ke-21. Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen, berkata MTEM yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi platform untuk menyatukan NGO ekonomi Melayu pada peringkat nasional bagi menggalakkan pembangunan ekonomi Melayu yang mapan dan berkesan. "Ia dijangka mampu untuk merapatkan jurang antara dasar dan komuniti serta membantu menyampaikan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) kepada akar umbi," katanya pada sidang media mengenai MTEM di sini, semalam.Rizal Faris berkata, usaha untuk mentransformasikan ekonomi Melayu melalui MTEM itu dijangka dianggotai 100 organisasi dan membabitkan lebih sejuta ahli. Ia terdiri daripada pemimpin sivik, ahli-ahli NGO, usahawan Gen-X (generasi yang dilahirkan sekitar tahun 1970-1985), kelas profesional, usahawan baru muncul Generasi Y (generasi yang tumbuh seiring dengan berkembangnya komunikasi massa dan internet). Beliau menegaskan bahawa MTEM hanya mewakili kepentingan Melayu dan bukan sebuah agensi kerajaan kerana tidak akan bertanggungjawab kepada mana-mana entiti kerajaan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) atau Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
"Idea ini tercetus memandangkan keadaan di mana 80 peratus daripada 40 peratus penduduk Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 adalah komuniti Melayu. "Satu-satunya cara untuk membetulkan ketidakseimbangan ini adalah dengan meningkatkan pendapatan mereka melalui bidang keusahawanan kerana kita tidak mahu mereka masih mundur menjelang 2020," katanya. Sementara itu, Rizal Faris berkata tidak wujud jawatan ketua kerana keputusan kepemimpinan badan itu dibuat oleh ahli-ahli majlis MTEM, berdasarkan prinsip konsensus dan terangkum. Bagaimana pun, Presiden DPMM dilantik sebagai pengerusi tetap MTEM kerana ini adalah keputusan ahli-ahli Protem kerana Presiden DPMM kebiasaannya secara rasmi diiktiraf sebagai Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia. Presiden DPMM kini ialah Syed Ali Alattas. – BERNAMA |
Pengganti ISA patut lebih anjal Posted: 29 Sep 2011 03:18 PM PDT Nasional PUTRAJAYA: Sebarang undang-undang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus utamakan perlindungan hak asasi dan kebebasan individu serta ketenteraman awam selain tidak terlalu tegar seperti undang-undang yang diguna pakai di Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK) sekarang.Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam di bawah Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata akta baru itu harus mengimbangi kepentingan semua pihak dan bukannya sesuatu yang mirip kepada ISA yang sudah lama dikritik sebagai 'zalim lagi kejam.' "Undang-undang gantikan ISA ini perlu lebih anjal daripada Akta Patriot di AS atau Akta Anti-Keganasan di United Kingdom. "Kluster ini ingin melihat undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam yang tidak terlalu cenderung kepada undang-undang AS atau UK yang sangat tegas berhubung penahanan seseorang individu," katanya pada sidang media, di sini, semalam.Difahamkan, pihak Peguam Negara masih menggubal dua akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun draf awal akta antikeganasan dan keselamatan negara itu sudah dibentangkan kepada Kabinet, 21 September lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dipetik berkata setakat ini, akta baru itu menerima input aspek keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diwakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diwakili Ketua Setiausahanya, Tan Sri Mahmood Adam. Antara lain, Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam mengesyorkan dihapuskan undang-undang yang menafikan semakan kehakiman terhadap budi bicara menteri dan skop penahanan dijelaskan dengan terperinci supaya kuasa tidak dicabul dengan sewenang-wenangnya.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan