Jumaat, 30 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Muhyiddin gesa UPM bantu soal jaminan makanan yang cukup

Posted: 30 Sep 2011 03:19 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Selain terus menjadi universiti berteraskan pendidikan dan pembangunan pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menguruskan soal jaminan kecukupan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, soal itu kini menjadi isu nasional kerana sudah banyak inisiatif kerajaan dijalankan untuk memastikan negara mencapai tahap sara diri bagi beberapa komponen makanan.

"Pengalaman ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dahulu, telah menggariskan beberapa strategi dan melakarkan pelan untuk menentukan negara mampu mengeluarkan sejumlah hasil makanan diperlukan atas kadar berpatutan, dan kalau boleh mencukupi. "Lima tahun di situ, saya kira sampai hari ini sasaran itu masih belum dicapai lagi. Masalah itu bukan hanya di negara kita malah turut berlaku di peringkat gobal," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke UPM di Serdang dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berpendapat peranan UPM amat kritikal dan penting dalam membantu menjalankan penyelidikan untuk memodenkan sektor pertanian dan berharap usaha tersebut terus dipertingkatkan.

"Selain dapat menghasilkan penyelidikan pelbagai baka beras, amalan pengurusan tanaman bersifat lestari, kajian mengenai usaha pengurangan jurang penghasilan tahap sara diri juga perlu dipertingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata, menjadi satu cabaran besar kepada UPM untuk membantu menjadikan sektor pertanian dapat bertahan secara lestari dengan tenaga manusia yang harus menjadi penggerak utamanya.
"Apakah sektor pertanian benar-benar boleh dimodenkan untuk meningkatkan hasil, walaupun ia melibatkan kos besar tetapi untuk jangka masa panjang ia lebih ekonomik dan mengeluarkan hasil yang banyak," katanya.

Timbalan Perdana berkata, peranan Hospital Veterinar juga perlu diperluaskan lagi kerana dengan kepakaran yang ada, ia berupaya membantu mengembangkan sektor penternakan negara.

"Ia sekali gus dapat memastikan bekalan daging dalam negara mencukupi. Lebih baik jika dapat dipertingkatkan untuk masa depan, kerana sekarang keluaran daging negara sekitar 80 peratus, selebihnya terpaksa diimport," katanya. - BERNAMA


Kes Sosilawati: Peguam pertikai ketepatan rekod panggilan DiGi

Posted: 30 Sep 2011 03:11 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Isu ketepatan rekod panggilan yang dikeluarkan sebuah syarikat telekomunikasi menjadi tumpuan pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Makamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan, mencabar kesahihan rekod panggilan itu selepas menemui beberapa kesilapan pada dokumen yang dicetak pegawai Unit Siasatan dan Penipuan, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Mohd Feisal Zakaria, 43.

Manjeet mendakwa, salah satu nombor, 0168438478 yang direkodkan dalam dokumen itu tidak mempunyai nama pemilik berdaftar. "Nombor ini didaftarkan di bawah nama siapa," soal Manjeet.

"Ia tidak dicatatkan," jawab Mohd Feisal.

"Terdapat 'tanda soal' di bawah pemilik berdaftar, adakah ini dilakukan oleh komputer," soal Manjeet.

"Ya", jawab Mohd Feisal.
Manjeet turut mempersoalkan catatan di dokumen itu yang menunjukkan bahawa nombor telefon bimbit berkenaan didaftarkan sejak 1900 dan sambil tersenyum beliau berkata: "Saya tidak tahu DiGi telah beroperasi selama 111 tahun dan Akta Syarikat juga belum wujud pun lagi (pada tahun itu)."

Hakim Datuk Akhtar Tahir turut berjenaka menyatakan bahawa pada tahun itu komputer juga masih belum wujud.

"Adakah ini kesilapan dilakukan oleh komputer," soal Manjeet dan Mohd Feisal menjawab beliau tidak tahu bagaimana kesilapan itu berlaku.

"Awak tidak bertanggungjawab atas kandungan dokumen ini dan awak tidak tahu jika ada kesilapan pada dokumen ini," soal Manjeet dan saksi itu menjawab

"benar".

"Kalau komputer melakukan kesilapan kamu tidak bertanggungjawab ke atasnya,"
soal Manjeet dan Mohd Feisal menjawab "benar".

Ketika ditanya Akhtar adakah beliau berusaha mencari maklumat yang tidak lengkap di dalam dokumen itu selepas mencetaknya, saksi ke-55 pendakwaan itu menjawab beliau tidak berbuat demikian kerana terus menyerahkannya kepada pihak polis.

Pathmanabhan, 42, bekas peguam, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21 dan R Kathavarayan 31, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian itu didakwa berlaku di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Meraka didakwa mengikut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-39 bersambung pada 10 Oktober depan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan