Isnin, 26 September 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Semua diarah tutup mulut

Posted:

Semua diarah tutup mulut

Semua diarah tutup mulut

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


Mustafa Ali (tengah), Saifuddin Nasution (kanan) dan Anthony Loke Siew Fook pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, semalam. – utusan/Siti Rafeah Azanan


KUALA LUMPUR 26 Sept. – Semua pemimpin pakatan pembangkang diarah mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi isu pelaksanaan hukum hudud sehingga Rabu ini berkuat-kuasa serta merta.

Pada masa sama, pembangkang seperti biasa menyalahkan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan akhbar Utusan Malaysia sebagai pihak yang bertanggungjawab membangkitkan isu hudud sehingga membawa persengketaan antara Pas dan DAP.

Pada satu sidang akhbar bersama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali (gambar), Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dan wakil DAP, Anthony Loke Siew Fook menuduh UMNO, BN dan Utusan Malaysia yang mencetuskan isu hudud.

Bagaimanapun ditanya adakah UMNO, BN dan Utusan Malaysia yang mengarahkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mengeluarkan kenyataan, Saifuddin Nasution yang tiada jawapan berkata: "Jangan pula kata saya yang mengesahkan."

Terdahulu, Mustafa berkata, langkah mengarahkan seluruh pimpinan pembangkang mengunci mulut adalah bertujuan untuk mengelak isu berkenaan daripada terus diperalat oleh UMNO dan BN bagi melaga-lagakan Pas dengan DAP.

"Setelah beberapa hari isu ini dimainkan media dengan kenyataan yang pelbagai daripada semua pihak, kita membuat keputusan. Namun, kita tidak mahu salahkan orang yang membuat kenyataan kerana ia mungkin dibuat sebagai membalas kepada kenyataan terdahulu.

"Jadi kami telah memutuskan iaitu bermula sekarang (hari ini) sehingga 28 September ini tidak boleh ada lagi kenyataan yang dibuat oleh pimpinan Pas, PKR dan DAP berhubung isu hudud," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Menurut Mustafa, pembangkang hanya akan membuat pendirian rasmi berhubung isu hudud selepas mesyuarat khas pada Rabu ini dan pada masa yang sama, beliau memberi jaminan bahawa DAP tidak akan meninggalkan pakatan kerana isu tersebut.

Sementara itu, Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, DAP akan berusaha sedaya upaya untuk mencari formula terbaik bagi menyelesaikan pertelingkahan antara Karpal Singh dan Lim Guan Eng dengan Nik Abdul Aziz.

Katanya, walaupun pendirian DAP tetap tidak berubah dalam isu hudud tetapi ia tidak menghalang kedua-dua parti untuk berkerjasama seperti mana sudah dibuktikan kedua-dua parti itu sejak tiga tahun lalu.

Hudud: Pas dicabar tinggalkan DAP

Posted:

Hudud: Pas dicabar tinggalkan DAP

Hudud: Pas dicabar tinggalkan DAP

TANJONG KARANG 26 Sept. - Pas dicabar supaya meninggalkan pakatan dengan DAP sekiranya parti pembangkang itu mahu meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Pas sepatutnya tidak perlu tunduk dengan ugutan DAP yang mahu meletakkan jawatan mereka beramai-ramai sekiranya Pas tetap dengan pendirian mahu melaksanakan perkara itu.

"Kenapa Pas perlu takut ugutan DAP jika mereka mahu laksanakan undang-undang hudud. Apa yang jelas kita lihat ialah DAP menentang agenda Pas dan ini bermakna tidak wujud kesepakatan dalam pakatan pembangkang itu sendiri.

"Justeru, jika Pas ini ada prinsip serta maruah, mereka sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang, bukannya tunduk kepada ugutan DAP," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dan menyampaikan sumbangan kepada 128 orang bakal haji kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menegaskan pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletak jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Menurut Guan Eng, penegasan itu dibuat sebagai mengulangi pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang bagaimanapun yakin bahawa Pas tetap akan tunduk kepada ugutan DAP dengan melupakan hasrat mereka untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Mengambil contoh di Selangor, Pas sebenarnya amat bergantung kepada DAP untuk membolehkan parti itu terus menjadi kerajaan negeri pada hari ini.

Ini kerana katanya, bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Pas sebenarnya tidak cukup untuk parti itu mewujudkan kerajaan pimpinannya sendiri kerana hanya mempunyai lapan kerusi DUN dan bergantung kepada DAP yang mempunyai 13 kerusi dan 14 kerusi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Maka sebab itu saya yakin isu hudud Pas ini hanya gimik politik untuk pilihan raya, begitu juga dengan ugutan DAP yang bersifat retorik semata-mata.

"Pas, DAP dan PKR masing-masing bergantung kepada kerusi yang dimenangi mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri kerana tiga parti pembangkang ini masing-masing tidak mempunyai kerusi majoriti.

"Saya yakin Pas akan tunduk juga kepada ugutan DAP ini. Begitu juga dengan DAP yang bergantung harap kepada Pas untuk membolehkan mereka berkuasa," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan