MukaDepan
Raja Nazrin gesa prinsip asas Perlembagaan tidak dikompromiKUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah menegaskan prinsip asas, terutama yang menyentuh Islam dan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara tidak boleh dikompromikan sama sekali.
Baginda bertitah semua pihak tidak seharusnya menggunakan sebarang alasan, muslihat dan matlamat jangka pendek untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menggadaikan nasib ummah.
Ummah wajib berdiri teguh, berpendirian tegas dan tidak berundur ke belakang walaupun setapak, titah baginda pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia yang julung kali diadakan, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam. Raja Nazrin juga bertitah, tafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia amat penting diingatkan semula, manakala semua persetujuan yang sudah dicapai harus dihormati.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan bahawa penghakisan martabat Islam bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat, baik dari dalam mahupun dari luar negara.
Jika dihalusi, usaha pencerobohan terhadap Islam bukan saja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan, satu nyanyian, satu perkhemahan, satu lawatan yang mungkin bermula dengan segenggam garam setahil emas. Ia juga mungkin bermula dengan satu kalimah satu ceramah, titah baginda.
Menurut baginda, Islam akan terhakis apabila tanggungjawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas kerana Islam kini mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara prinsip yang menyentuh aqidah.
Hari ini, nama suci Allah dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam, tanpa mengendahkan potensi yang boleh mengelirukan akidah anak Islam, tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah, titah baginda.
Justeru, Raja Nazrin bertitah, peranan majlis agama Islam negeri yang kini semakin kritikal perlu dibersihkan daripada pengaruh, campur tangan dan pembabitan politik kepartian.
Baginda menegaskan Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik kerana lensa itu boleh berubah dan majlis agama Islam negeri adalah institusi bukan politik, sebaliknya bertanggungjawab secara langsung kepada Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama negeri.
Majlis agama Islam negeri juga wajib keluar daripada kepompong pendekatan usang dan berani mencabar tradisi jumud dengan melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar kurungan ciptaan Barat serta mencelikkan pandangan untuk merangka rancangan dan tindakan lebih substantif.
Baginda juga mencadangkan keanggotaan majlis tidak disertai individu yang aktif dalam bidang politik kecuali diperkenan Raja dan dilantik atas jawatan bagi mewakili pihak berkuasa negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada majlis.
Turut dicadangkan majlis dikemas kini untuk membolehkannya berfungsi secara berkesan, memiliki autonomi dan bertanggungjawab kepada Allah dan Raja.
Raja Dr Nazrin turut mencadangkan pelantikan keanggotaan yang lebih representatif di kalangan mereka yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak yang berupaya melaksanakan aktiviti ekonomi dan pendidikan dalam usaha membangunkan sosioekonomi umat, sekali gus melindungi kesucian Islam.
Titah baginda, majlis agama Islam negeri perlu dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja serta bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan Islam, selain sebagai penghubung antara umat Islam dengan Raja, umat Islam dengan kerajaan dan antara umat Islam dengan bukan Islam.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen
Abdul Ghaffar Husain
Saya sebagai rakyat sgt bersetuju dan sedia berkhidmat demi negara tercinta
Yangretibase
Patik bersetuju sangat dengan titah Tuanku, lebih-lebih lagi kepatuhan terhadap "Perlembagaan Allah SWT" wajib diutamakan sebaik-baiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan