Utusan Online - Kota |
Posted: Kampung Kerinchi jadi contohOleh NUR NAZLINA NADZARI KUALA LUMPUR 27 Sept. - Projek pembangunan semula rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi akan menjadi contoh kepada pembangunan kawasan usang lain di ibu negara apabila ia berjaya kelak. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kejayaan pembangunan semula tersebut amat penting kerana masih banyak lagi kawasan usang di Kuala Lumpur yang perlu dibangunkan. Namun, beliau terkejut kerana masih terdapat segelintir pihak yang menaruh syak wasangka serta tidak percaya projek tersebut akan berjaya menyebabkan mereka berkeras tidak mahu berpindah. "Sudah kira-kira setahun kerajaan berusaha tetapi masih ada golongan yang seolah-olah menuduh kerajaan mahu mempermainkan penduduk. Malah ada yang tidak bersetuju kerana dikatakan akan ditipu. "Kita ingin memastikan supaya penduduk mendapat nikmat dari pembangunan negara di masa depan iaitu daripada rumah mereka yang kini mempunyai nilai antara RM40,000 ke RM50,000 akan naik sehingga lebih dari RM200,000," katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Meraikan Bakal Haji 2011 anjuran pemaju projek pembangunan semula Kampung Kerinchi, Suez Domain Sdn. Bhd. di rumah transit penduduk tersebut di Blok F, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, kelmarin. Turut hadir, Pengarah Suez Domain Sdn. Bhd., Yasran Hussain dan Abdul Hadi Ahmad. Sementara itu, Raja Nong Chik yang bertekad untuk memperjuangkan pembangunan Kampung Kerinchi itu sehingga berjaya berharap agar mesej tersebut sampai kepada golongan yang tidak bersetuju. "Kalau ikut undang-undang, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian boleh mengambil rumah dan tanah mereka dan diberikan pampasan yang setimpal. "Namun begitu, sebaik-baiknya kalau boleh, biarlah mereka bersetuju supaya tiada masalah yang lebih besar akan timbul," jelasnya. |
OKU selesa guna TBS-BTS - Shahrizat Posted: OKU selesa guna TBS-BTS - ShahrizatShahrizat Abdul Jalil (tiga dari kiri) berbincang dengan Ahli Jawatankuasa OKU selepas Mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 27 Sept. - Tahap kebolehcapaian aspek fizikal dan pengurusan untuk orang kelainan upaya (OKU) di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) untuk kemudahan golongan tersebut mencapai tahap 75 peratus. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perkembangan itu adalah satu permulaan yang baik kerana ia memberi keselesaan kepada OKU yang menggunakan terminal tersebut. Menurutnya, laporan itu diperoleh hasil pembentangan laporan audit akses oleh Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina di bawah Majlis Kebangsaan bagi OKU yang dijalankan di TBS-BTS pada 22 September lalu. Audit akses itu dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), RapidKL, Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB), Express Rail Link (ERL) dan OKU. "Ia juga bertujuan memeriksa bangunan TBS-BTS daripada aspek fizikal dan pengurusan berdasarkan senarai semak yang ditetapkan, fungsi harian bangunan, jenis bangunan, penyelenggaraan dan keselamatan. "Kemudahan di Terminal ERL adalah baik manakala di Terminal KTM yang sedang dinaik taraf akan mengambil kira keperluan OKU," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU di sini, hari ini. Pasukan audit yang disertai 85 peserta itu turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kemudahan untuk diserahkan kepada pihak pengurusan TBS-BTS dan KTMB bagi tindakan pelaksanaan. |
Posted: Lagi cerita tentang sampahOleh ROSLAH OTHMAN SIKAP suka mengambil kesempatan dan ambil mudah adalah antara punca kawasan Perumahan Awam Hang Tuah sentiasa dipenuhi longgokan sampah. KUALA LUMPUR 27 Sept. - Mampukah ibu negara menjadi sebuah bandar raya bertaraf dunia jika sikap dan mentaliti masyarakat terutama yang tinggal di perumahan bertingkat masih tidak bersedia dalam soal kebersihan? Perumahan Awam Jalan Hang Tuah di sini adalah antara lokasi yang jelas dapat dilihat sikap buruk itu. Persekitaran perumahan itu dipenuhi sisa makanan, sisa bahan binaan, perabot buruk, malah kenderaan rosak juga dicampakkan di situ. Paling memalukan ialah apabila pemandangan buruk itu boleh disaksikan oleh orang ramai termasuk pelancong asing yang menaiki transit aliran ringan (LRT) dan monorel yang melalui berhampiran perumahan itu. Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Hang Tuah, Mohd. Ismail Abdullah, 47, ternyata sangat kecewa apabila ditanya tentang situasi itu dan tidak menafikan isu sampah sudah lama menjadi masalah utama penghuni di situ. Namun, tegas beliau, ia bukan disebabkan oleh pihak lain, sebaliknya sikap segelintir penghuni flat itu sendiri dan keadaan bertambah teruk apabila ada pihak luar yang mengambil kesempatan menjadikan lokasi di situ sebagai tempat pembuangan sampah. "Saya fikir pada tahun ini program gotong-royong membersihkan kawasan tidak perlu diadakan memandangkan kesedaran tentang isu ini dilihat semakin baik, namun jangkaan saya meleset," katanya yang 'terpaksa' merancang program itu pada November ini. Mohd. Ismail berkata, Alam Flora tidak wajar dipersalahkan kerana isu sampah di situ berpunca daripada sikap tidak ambil mudah yang sudah menjadi budaya di kalangan segelintir penghuni terutama warga asing. Utusan Malaysia difahamkan, flat dua blok setinggi 16 tingkat itu yang mempunyai kira-kira 789 unit itu, hampir 20 peratus disewakan kepada warga asing. Budaya suka membuang sampah sesuka hati yang sukar dikikis di kalangan mereka didakwa menjadi penyumbang utama kepada masalah timbunan sampah di situ. Sementara itu, seorang warga kota, Shazrul Ahmad Muaz, 26, yang menggunakan LRT untuk ke tempat kerja di Bukit Bintang berkata, melihat sampah bertimbun di Perumahan Awam Hang Tuah adalah pemandangan biasa setiap hari. Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana lokasi itu dekat dengan stesen pengangkutan awam yang turut dinaiki oleh pelancong asing. "Saya hairan, bagaimana penduduk di kawasan itu boleh berdepan dengan perkara itu setiap hari. Tidak adakah keinginan di hati mereka untuk membersihkan sampah itu. "Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa dan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang membuang sampah di situ," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan