Jumaat, 30 September 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


3 daripada 6 remaja terbabit seks bebas

Posted: 30 Sep 2011 02:55 PM PDT

Nasional

Peningkatan statistik hubungan luar nikah dorong kes pembuangan bayi

PUTRAJAYA: Setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini, kebanyakannya lulusan universiti didapati melakukan hubungan seks luar nikah bersama pasangan masing-masing kerana didorong perasaan ingin mencuba akibat menonton video lucah, sekali gus dikhuatiri menyumbang kepada kes pembuangan bayi.

Dapatkan naskhah Berita Harian hari ini untuk berita lanjut.

Pendidikan setinggi mana sekalipun tidak mampu menjamin ketinggian sahsiah diri. Usaha membangunkan nilai moral di kalangan belia bukan hanya terletak di bahu pendidik semata-mata, malah kita secara kolektif perlu bersama-sama bertanggungjawab. - Zakariah Md Sam, Ketua Pegawai Operasi IPPBM


Tiada sekolah kebangsaan bahasa Inggeris

Posted: 30 Sep 2011 02:50 PM PDT

Nasional

 MUHYIDDIN  berbual dengan peserta Majlis Dialog bersama Persatuan Akademik Universiti Putra Malaysia   ketika  melakukan lawatan kerja ke UPM, di Serdang, semalam.

MUHYIDDIN berbual dengan peserta Majlis Dialog bersama Persatuan Akademik Universiti Putra Malaysia ketika melakukan lawatan kerja ke UPM, di Serdang, semalam.

Kerajaan bersikap realistik 6 tahun PPSMI ramai gagal: Muhyiddin

SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kerana ia bertentangan dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyebut bahawa bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

"Tidak mungkin akan wujud sekolah (kerajaan) aliran bahasa Inggeris kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Mengulas cadangan pihak tertentu supaya kerajaan menubuhkan sekolah dua aliran, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, beliau berkata, dalam aliran kebangsaan hanya aliran bahasa Melayu dibenarkan tetapi pada peringkat swasta, semua aliran dibolehkan, termasuk bahasa Inggeris selain sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Ketika sesi soal jawab dengan warga UPM, beliau berkata, bahasa yang lebih mudah untuk diajar kepada anak khususnya pada peringkat rendah adalah bahasa ibunda, malah perkara itu dipersetujui pada mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, awal minggu ini.

"Sebab itu orang Cina mahukan sekolah (aliran) bahasa Cina, orang India nak bahasa Tamil, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai bahasa," katanya sambil menambah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dibuat bukan sebab kerajaan tidak suka kepada bahasa Inggeris.
"Kerajaan bersikap realistik kerana sepanjang enam tahun Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ramai gagal. Kita dapati pelajar terutama di luar bandar langsung tidak tahu berbahasa Inggeris, jadi sukar jawab soalan peperiksaan kerana lebih mahir bahasa ibunda masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengumumkan UPM bakal mempunyai hospital sendiri jika Kabinet bersetuju menyerahkan Hospital Serdang untuk dijadikan pusat pengajaran dan pembelajaran perubatan universiti itu melalui cadangan yang akan dikemukakan Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, beliau positif dengan cadangan itu, lebih-lebih lagi melihat sokongan warga UPM yang begitu komited untuk mempunyai hospital sendiri sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatannya, sekali gus meningkatkan kualiti dan mutu pengajaran dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Ketika ini, tiga universiti menawarkan program perubatan memiliki hospital pendidikan, iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM), manakala lima lagi mempunyai program sama tetapi menumpang hospital ialah UPM, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti Islam Malaysia.

Ketika berucap pada sesi pertemuan dengan warga UPM, Muhyiddin mengumumkan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM5 juta kepada Hospital Veterinar milik universiti terbabit bagi merangsang hospital itu menjadi pusat perubatan veterinar terkemuka di rantau ini dan global.

Beliau juga menyarankan UPM memberi tumpuan menjadi universiti utama dalam penyelidikan jaminan keselamatan makanan di negara ini serta serantau kerana kepakaran institusi itu wajar dikembangkan untuk membantu negara menjamin kecukupan makanan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan