Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Ahli Pas tolak hudud ditempelak

Posted:

Ahli Pas tolak hudud ditempelak

Ahli Pas tolak hudud ditempelak

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 30 Sept. - Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyelar sikap sesetengah pihak dalam parti itu sendiri yang marah apabila kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membangkitkan isu hukum hudud.

Mohd. Amar yang juga Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Kebudayaan Kelantan berkata, adalah tidak wajar golongan ini bersikap sedemikian atas alasan bimbang menakutkan orang bukan Islam dan menyebabkan mereka lari daripada menyokong Pas.

Beliau berkata, sikap sebegini yang lebih mengutamakan laba politik seolah-olah menunjukkan Pas sanggup menang pilihan raya biarpun dalam kemurkaan Allah kerana tidak serius memperjuangkan hukum-Nya.

"Adakah kita sendiri pula mahu menang pilihan raya dengan keredaan Allah atau kerana mahukan keredaan orang bukan Islam, maka kita sanggup ketepikan hukum Allah?

"Politik satu hal, tapi jangan kerana mabuk mahu menguasai Putrajaya, maka kita meninggalkan perjuangan sebenar Pas, walhal orang lain (DAP) sampai sekarang berpendirian teguh menegakkan idea sekular mereka, tapi kita sendiri kenapa pula nak tinggalkan perjuangan kita?

"Saya bukanlah hendak bergaduh dengan sesiapa tetapi pelaksanaan hukum hudud adalah tuntutan agama dan ini adalah amanah rakyat yang mengundi Pas sejak 21 tahun lalu," katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.

Selain menempelak sikap dalam kalangan partinya sendiri, Mohd. Amar berkata, semua pihak yang menentang terutamanya Pengerusi DAP, Karpal Singh sepatutnya menghormati pendirian Pas dalam isu ini kerana ia hanya melibatkan penganut agama Islam.

Beliau berkata, peluang sepatutnya diberi kepada kerajaan Kelantan yang pada dasarnya sudah bersedia termasuk Mahkamah Syariah negeri melalui Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad yang dikatakan bersetuju melaksanakannya bila-bila masa.

"Saya hairan kenapa Karpal Singh mahu bising kerana hukuman ini adalah untuk orang Islam yang melakukan kesalahan, jadi kenapa mereka takut, begitu juga dengan Kerajaan Persekutuan, kita hanya minta ia dilaksanakan di negeri Kelantan terlebih dahulu yang boleh menjadi 'makmal' amali untuk dicontohi negeri lain," katanya.

Beliau berkata, walaupun kini pelaksanaannya terhalang kerana kekangan dalam Akta Mahkamah Syariah 1965 yang perlu dipinda di Parlimen terlebih dahulu, Pas dan kerajaan negeri akan terus bersabar dan tetap bercakap mengenai hudud meskipun tidak disukai sekutu sendiri dalam pakatan pembangkang.

Katanya, sekiranya rakyat memberikan sokongan sepenuhnya kepada Pas di peringkat negeri dan Parlimen, tidak ada alasan lagi untuk hukum hudud dihalang pada masa hadapan.

Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam

Posted:

Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam

Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Majlis Peguam menyeru semua pihak untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menghentikan semua retorik mengenai pelaksanaan hudud yang boleh menyebabkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.

Presidennya, Lim Chee Wee berkata, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan melalui kerangka Perlembagaan dan perundangan semasa kerana ia bertentangan dengan peruntukan kesamarataan dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Hudud akan mengakibatkan kaedah-kaedah prosedur keterangan dan hukuman yang berkaitan dengan kesalahan jenayah yang terpakai kepada orang Islam berbeza berbanding dengan orang bukan Islam.

"Orang Islam juga akan terdedah kepada dua pendakwaan atau sabitan berasingan iaitu di bawah hudud dan di bawah Kanun Keseksaan di mana ia bertentangan dengan Artikel 7 (2) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau juga memberi contoh kes Che Omar Che Soh melawan Pendakwa Awam (1988) dengan Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa undang-undang di Malaysia tidak perlu mematuhi prinsip-prinsip Islam dan ia mengesahkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Chee Wee juga berkata, kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah juga adalah terbatas mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"Akta ini memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah di semua negeri tidak boleh menjalankan bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh menghukum pesalah dengan penjara melebihi tempoh tiga tahun atau melebihi RM5,000 atau melebihi enam sebatan atau dengan mana-mana kombinasi daripadanya.

"Oleh itu bidang kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah jelas terbatas dan tidak termasuk hukuman yang diperuntukkan di bawah hudud," jelasnya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang melibatkan kesalahan keluar daripada agama Islam, yang bertentangan dengan prinsip Islam dan hukuman yang berkaitan.

Bagaimanapun ujarnya, setiap undang-undang yang hendak digubal mestilah selari dengan hak asasi manusia yang menjamin semua warganegara termasuk orang Islam selaras dengan bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan