Berita Harian: Nasional |
Polis Johor kecewa, tersinggung Posted: 27 Sep 2011 03:35 PM PDT Nasional Kenyataan Guan Eng pertikai tahap keselamatan beri implikasi tidak sihatJOHOR BAHRU: Polis Johor kecewa dan tersinggung dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mempertikaikan tahap keselamatan negeri ini hingga menyifatkannya tidak selamat dikunjungi warga Singapura kerana mereka mudah menjadi mangsa penculikan. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata kenyataan Guan Eng berdasarkan rakaman audio disiarkan TV3 itu, disifatkannya sangat keterlaluan. Beliau berkata, kenyataan terbabit secara tidak langsung menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin itu. Dakwaan kononnya rakyat Singapura akan diculik di Johor, tidak boleh diterima kerana polis berusaha gigih sepanjang masa mengekang sebarang perbuatan jenayah di negeri ini.Malah, jenayah di Johor juga menunjukkan penurunan dan kita terus berusaha memastikan pelancong dan sesiapa saja di negeri ini selamat menjalani kehidupan masing-masing. Sebagai ketua mengawal selia undang-undang dan penguatkuasaan di Johor, saya sangat kecewa dengan tohmahan itu, katanya pada sidang media di sini, semalam. Kelmarin, TV3 menyiarkan rakaman audio suara didakwa milik Guan Eng yang kedengaran berkata: Anda tidak perlu bimbang tentang keselamatan apabila datang ke Pulau Pinang. Di Johor, jika anda seorang warga Singapura, anda mungkin diculik.
Mohd Mokhtar berkata, semua pihak sepatutnya membuat kenyataan lebih bijaksana dan berwaspada kerana kenyataan negatif seperti itu bakal memberi implikasi tidak sihat kepada kegiatan ekonomi dan keharmonian umum. Seramai kira-kira 40,000 rakyat Singapura ke negara ini setiap hari, malah Iskandar Malaysia sudah membawa masuk RM76 bilion pelaburan asing dengan 40 peratus daripadanya sudah direalisasikan. Ini jelas membuktikan Johor selamat untuk menarik pelabur asing dan sebarang kenyataan tanpa keterangan atau bukti konkrit mengenai negeri ini amat mengecewakan, katanya. Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan, pula mendesak DAP mengambil tindakan terhadap Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kerana tindakannya sama seperti Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan yang mencemarkan imej negara dengan mengeluarkan kenyataan bendera Jalur Gemilang perlu ditukar. Jawatankuasa Disiplin DAP menggantung keahlian parti Manoharan enam bulan kerana berpendapat ulasannya adalah serius. Sementara itu, Setiausaha Akhbar II Ketua Menteri Pulau Pinang, Wong Kim Fei, berkata BERNAMA perlu menarik balik laporan berhubung dakwaan Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan Johor bukan negeri yang selamat kerana penuh dengan jenayah. Sehubungan itu, katanya, BERNAMA perlu memohon maaf tanpa syarat dengan serta-merta, termasuk menyiarkan permohonan maaf itu jika tidak ingin tindakan undang-undang diambil terhadap agensi berita berkenaan. Katanya, Guan Eng juga menafikan dihubungi portal berita tempatan, The Mole mengenai dakwaan itu dan menyatakan beliau enggan mengulas seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan. |
Golongan muda bantah umur bersara 60 tahun Posted: 27 Sep 2011 03:30 PM PDT Nasional Idea mengarut sekat naik pangkat, tambah pengangguranKUALA LUMPUR: Kebanyakan golongan muda, termasuk dari sektor swasta dan awam membantah cadangan melanjutkan umur persaraan pekerja swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang. Mereka menyifatkan usaha itu sebagai mengarut, menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkat kadar pengangguran, masalah sosial dan jenayah serta memperlihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), badan yang diamanah untuk menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum, tidak mempunyai wang dan mempunyai agenda sendiri. Menaikkan kadar umur persaraan juga bagi mereka dilihat memberi lebih banyak kesan negatif kepada ekonomi negara berikutan produktiviti tenaga pekerja lanjut usia semakin menurun dengan kerajaan dan pembayar cukai terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Sehubungan itu, mereka menggesa golongan berkenaan meluangkan sisa masa yang ada bersama keluarga dan ibadat harian.Pembaca Berita Harian yang memberi maklum balas berkenaan melalui laman sosial Facebook juga memberi mesej sekiranya cadangan untuk menggubal undang-undang baru itu yang dikenali Akta Umur Persaraan Sektor Swasta tidak diteliti semula, ia pasti memberi kesan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Seorang pembaca, Ghazali Hussin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melayan kehendak golongan berkepentingan termasuk KWSP, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyokong usul berkenaan yang jelas menjejas peluang golongan muda mendapat peluang kerja atau kenaikan pangkat. Kesian anak-anak muda, ada ijazah tapi tidak dapat peluang kerja. Datuk Seri Najib jangan ikut sangat sambung umur persaraan, ia ada kesan pada pengundi muda pada PRU-13 nanti, katanya sebagai mengulas laporan KWSP berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang.
Berikutan kenyataan itu, ramai memberi reaksi dengan menuduh KWSP mempunyai kepentingan tertentu serta mempersoal kewibawaan badan itu yang tidak mengurus dana pencarum secara berhemah dengan menawarkan pulangan dividen yang tinggi berbanding institusi lain meskipun mencatat keuntungan besar. Azhar Rosli berkata, walaupun alasan diberikan KWSP agak munasabah, namun ia akan menambah masalah pengangguran sedia ada. Lanjut umur bersara 58 tahun atau 60 tahun adalah sesuatu yang mengarut, pada saya jika hendak dinaikkan kadar umur persaraan, mulakan dengan umur 56 tahun dulu serta selesaikan masalah pengangguran dengan lebih terperinci, katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan