Rabu, 28 September 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Tragedi cuci revolver

Posted: 27 Sep 2011 12:33 PM PDT

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau bagi seorang anggota polis berpangkat konstabel yang bertugas di bahagian rondaan tugas am apabila peluru terakhir dalam revolver .38 miliknya menyebabkan dia parah di kepala.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa, Syaiful Nizam Zamaluddin, 24, sedang mengosongkan revolver selepas tamat bertugas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata ketika mangsa sedang membersihkan revolver, lapan anggota lain sedang memerhatikannya menghala revolver ke arah bawah di hadapan setor senjata.

"Dengan tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dan nampak keadaan mangsa dalam keadaan parah.

"Mangsa tertembak di bahagian kanan kepala sebelum peluru tembus keluar dari atas kepalanya," katanya ketika ditemui di Hospital Kajang, di sini.

Beliau berkata, peluru berkenaan adalah yang terakhir dalam revolver mangsa dan kejadian berkenaan dipercayai adalah kemalangan.

Katanya, anggota berkenaan sudah berkhidmat lebih daripada dua tahun di IPD Kajang dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, baru saja berkahwin dan isterinya kini hamil tujuh bulan.

Sehingga ini, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Campak nenek dalam kolah

Posted: 27 Sep 2011 12:30 PM PDT

KAJANG: Seorang nenek bukan saja ditikam di leher, tetapi kepalanya turut dihentak dengan objek keras sebelum tubuhnya diseret dan dicampakkan dalam kolah bilik mandi di rumahnya di Kampung Pasir Baru Peringkat, Jalan Sungai Lalang di sini, semalam.

Pembunuhan kejam itu dipercayai bermotifkan samun, tetapi jumlah kerugian belum diketahui berikutan polis belum dapat menemubual keluarga mangsa yang masih trauma.

Mayat mangsa, S Danaletchemee, 64, ditemui berlumuran darah oleh anak keempatnya sebaik lelaki berusia 36 tahun itu pulang daripada kerja pada jam 12 tengah hari.

Menantu mangsa, N Murugan, 35, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian oleh isterinya dan bergegas ke rumah ibu mentuanya itu dari tempat kerjanya.


Menurutnya, sebaik tiba, isterinya K Yasotha, 35, memberitahu abang iparnya, K Krishnan, 36, menemui mayat mangsa berlumuran darah dalam bilik mandi.

"Krishnan memberitahu leher ibu saya ditikam manakala kepalanya dihentak dengan sesuatu. Mungkin ibu mentua dibunuh di dalam biliknya sebelum diseret ke bilik air," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Murugan berkata, sebelum mayat mangsa ditemui, Krishnan sangsi dengan keadaan pintu pagar dan rumah yang tidak berkunci selain terkejut melihat ruang tamu dan bilik berselerak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis menerima panggilan telefon daripada keluarga mangsa pada jam 1 tengah hari memaklumkan seorang warga emas ditemui mati di dalam tandas.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa disamun dan ditikam di leher selain terdapat kecederaan akibat dihentak objek tumpul di dahi.

"Polis percaya jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang suspek. Pasukan forensik tidak menemui sebarang kesan umpilan pada pagar dan pintu rumah berkenaan dan ini menunjukkan suspek mungkin mengenali mangsa kerana jenayah dilakukan terancang.

"Polis turut menemui parang yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa di dapur manakala sebilah pisau ditemui di dalam laci rak di dapur yang siap dicuci," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ab Rashid berkata, polis turut menemui kesan darah mangsa dari kawasan bilik tengah hingga ke dapur dan dipercayai suspek mengheret mangsa untuk ditelungkupkan dalam kolah air selepas dibunuh.

Katanya, pasukan forensik sudah mengambil kesan cap jari pada senjata berkenaan dan polis akan merakam keterangan keluarga mangsa dalam masa terdekat.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang (HS) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai bunuh dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kelibat individu mencurigakan di kawasan rumah mangsa sebelum kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan