Khamis, 29 September 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Bangunkan segera flat Kerinchi

Posted:

Bangunkan segera flat Kerinchi

Bangunkan segera flat Kerinchi

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusan.com.my


Keadaan flat empat tingkat Kampung Kerinchi di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang tidak lagi sesuai untuk dihuni. – UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI


KUALA LUMPUR 29 Sept. – Penduduk flat empat tingkat Kampung Kerinchi, Lembah Pantai yang bersetuju dengan projek pembangunan semula perumahan itu berharap projek tersebut dapat dimulakan dengan segera.

Penduduk yang telah bersetuju dengan projek itu ketika ini tinggal di kediaman transit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dan PPR Cempaka, dan mereka yang ditemui baru-baru ini menyambut baik dengan berita projek pembangunan itu dijangkakan bermula pada awal tahun depan.

Projek itu tertangguh kerana pihak kerajaan dan pemaju masih dalam proses untuk mengadakan rundingan seterusnya dengan baki penduduk yang enggan berpindah, yang kini telah memakan masa lebih setahun.

Seorang pesara kerajaan, Mohd. Syed Ahmad, 64, berkata, majoriti penduduk sememangnya berharap agar projek itu dapat dimulakan dengan segera kerana mereka telah menunggu begitu lama untuk merasai nikmat tinggal di rumah baru yang lebih selesa dan moden.

Katanya, selama menunggu rundingan tersebut dilaksanakan, terdapat beberapa rakan mereka yang telah meninggal dunia dan tidak sempat untuk melihat rumah baru mereka dibina.

"Selama ini kami tinggal di rumah yang daif dan tidak selesa. Apabila dapat pindah ke rumah transit ini pun kami sudah merasakan sangat bersyukur dan tidak sabar untuk rumah baru siap.

"Saya cukup berbangga dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengambil berat nasib kami dan memperjuangkan pembangunan semula rumah itu," katanya.

Sebelum ini, Raja Nong Chik telah mengumunkan bahawa kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian akan mengambil alih urusan pengambilan tanah di situ selepas urusan rundingan yang mengambil masa terlalu lama.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Idris Md. Isa, 64, yang turut gembira dengan berita tersebut juga meminta agar penduduk yang masih berdegil agar berpindah bagi memberi laluan kepada projek itu dilaksanakan.

"Mereka ini jenis yang degil dan tidak mahu berpindah sedangkan harga rumah yang mereka tinggal sekarang ini juga tidak tinggi.

"Kerana keengganan mereka ini telah menyusahkan penduduk lain yang menyokong pembangunan tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Ramli Md. Desa, 71, berkata, dia berasa seronok dengan cadangan perubahan yang akan dilaksanakan pada kawasan penempatan mereka itu yang telah didiaminya sejak tahun 1965.

Namun begitu, dia berasa sedih apabila melihat nasib kawan-kawannya yang tidak mahu berpindah dan masih tinggal di rumah yang sempit dan hanya mempunyai satu bilik.

"Ada juga saya cuba memujuk mereka tetapi mereka tidak mahu. Mereka tidak mahu pindah dan membuat tuntutan yang tidak berpada," jelasnya.

Ibu tunggal harap diberi kedai, lesen

Posted:

Ibu tunggal harap diberi kedai, lesen

Ibu tunggal harap diberi kedai, lesen


Rodiah Mohd. Yusop menunjukkan surat permohonan dan surat sokongan bagi permohonan lesen perniagaan yang masih tidak diluluskan, di pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 29 Sept. - "Saya tidak minta duit. Saya cuma mahu kedai yang boleh disewa ikut kemampuan saya supaya dapat ambil lesen untuk berkerja dan mencari rezeki sendiri."

Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh seorang ibu tunggal, Rodiah Mohd. Yusop, 52, yang sudah tiga bulan berusaha dengan pelbagai cara bagi mencari kedai yang dalam kemampuannya serta sesuai untuk dijadikan kedai jahitnya.

Ibu yang cekal itu pada ketika ini sudah pun menjalankan kerja mengambil upah menjahit pakaian dengan beroperasi di sebuah rumah sewa di Jalan Merpati yang dijadikan kedainya.

Bagaimanapun, sejak tiga bulan lalu dia bertekad untuk memiliki sebuah kedai sebenar dengan mempunyai lesen yang sah supaya tidak menyalahi undang-undang agar tidak berhadapan dengan masalah di kemudian hari.

"Saya tidak mahu berniaga tanpa lesen. Saya takut nanti kalau ada operasi semua barang-barang dan mesin jahit saya kena rampas.

"Kalau kena rampas nanti bagaimana saya nak berkerja dan menyara dua orang anak saya yang kurang upaya (OKU)," katanya ketika datang ke ibu pejabat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia pernah memohon lesen untuk kedainya sekarang, namun tidak diluluskan kerana dia kini berniaga di sebuah rumah sewa dan lesen tidak dapat dikeluarkan kerana reka bentuk bangunan yang tidak bersesuaian.

Rodiah memberitahu, dia sudah pun memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan sebuah kedai untuknya menjalankan perniagaan tapi masih belum berjaya.

"Sudah pelbagai surat yang saya hantar. Saya turut mencari kedai yang kosong, namun apabila saya jumpa tempat itu dan menghubungi DBKL mereka mengatakan tempat itu sudah mempunyai pemilik.

"Tempat yang dicadangkan sebelum ini pula sewanya terlalu tinggi untuk saya. Kalau setakat RM400 ke RM500 saya boleh usahakan, tapi kalau lebih daripada itu saya tidak mampu," jelasnya sambil menitiskan air mata menceritakan nasibnya.

Dalam pada itu, dia berkata, sebelum ini dia berkerja sebagai tukang cuci tetapi terpaksa berhenti dan berkerja sendiri kerana kesihatan anak bongsunya yang mengidap penyakit saraf memerlukan perhatian yang lebih daripadanya.

Bayar pampasan kepada keluarga Noramfaizul

Posted:

Bayar pampasan kepada keluarga Noramfaizul

Bayar pampasan kepada keluarga Noramfaizul

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Kementerian Pertahanan menuntut Kesatuan Afrika (AU) membayar pampasan serta ganti rugi kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika membuat liputan penderitaan rakyat Somalia pada 2 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, AU juga perlu memohon maaf kepada Kelab Putera 1Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan serta rakyat Malaysia di atas kejadian berkenaan.

Katanya, rakyat Malaysia reda dengan apa yang berlaku, tetapi tidak boleh menerima kenyataan bahawa tembakan itu dilepaskan ke arah pasukan yang membantu penduduk Somalia.

"Ini bukan misi pertama kita. Kita sentiasa di depan jika bercakap mengenai misi kemanusiaan sebab Malaysia memang ikhlas mahu membantu.

"Kita buat secara ikhlas tetapi tembakan pula yang dilepaskan ke arah kita. Jadi kita mahu menuntut pampasan serta ganti rugi untuk keluarga Allahyarham daripada pihak AU," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan NGO Malaysia malam tadi.

Majlis tersebut juga bertujuan meraikan jasa petugas media yang mengikut misi kemanusiaan di Somalia baru-baru ini.

Turut hadir balu Allahyarham Noramfaizul, Norazrina Jaafar dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan membekalkan jaket kalis peluru kepada wartawan serta sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan terutama di negara bergolak.

Katanya, jaket tersebut akan dibekalkan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu, jemaah menteri telah memutuskan supaya wartawan dan sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan di luar negara diberi latihan serta kursus oleh ATM.

"Jemaah menteri juga telah memutuskan agar wartawan yang mengikuti misi kemanusiaan perlu menganggotai Unit Media Wataniah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan