Jumaat, 30 September 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


3 kampung tiada talian telefon

Posted:

3 kampung tiada talian telefon

3 kampung tiada talian telefon

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

JERANTUT 30 Sept. - Penduduk di tiga kampung di sepanjang Jalan Jerantut-Benta dekat sini melahirkan rasa kecewa kerana kawasan mereka masih belum mendapat rangkaian talian telefon selular.

Kampung terbabit ialah Kampung Sungai Par, Kampung Sungai Lekuk dan Kampung Lata Kasah.

Penghulu Kampung Sungai Par, Mohd. Nasir Abdullah Sani berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu tetapi sehingga kini masih belum mendapat liputan.

Beliau berkata, masalah lapuk itu sepatutnya sudah lama diatasi kerana penempatan mereka terletak di laluan utama Jerantut-Benta.

"Kawasan penempatan Orang Asli di Lembah Kiol yang terletak jauh dari jalan utama pun ada rangkaian talian, inikan pula kami yang berada di tepi jalan utama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, penduduk di kampung terbabit kecewa kerana masalah tersebut berlarutan sedangkan telefon bimbit merupakan alat telekomunikasi yang penting pada masa kini.

Mohd. Nasir memberitahu, penduduk di kawasan berkenaan perlu ke kawasan berhampiran dengan jarak hampir satu kilometer untuk membuat panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Sampai bila kami harus berdepan masalah ini dan berharap agar perkara itu dapat diatasi segera kerana ia merumitkan penduduk terutama ketika berdepan situasi kecemasan," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, pegawai dari SKMM dan pengendali syarikat telekomunikasi telah membuat pemantauan di kawasan tersebut baru-baru ini.

"Saya mendapat maklumat bahawa kawasan berkenaan menghadapi masalah rangkaian talian kerana terletak di kawasan berbukit dan pihak yang bertanggungjawab akan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin," katanya.

Lori lima tan jadi dapur bergerak

Posted:

Lori lima tan jadi dapur bergerak

Lori lima tan jadi dapur bergerak


ISHAK Muhammad (kanan) melihat perkakasan memasak yang terdapat di dalam dapur bergerak yang dipasang pada sebuah lori lima tan semasa merasmikannya di Kuantan, kelmarin. - BERNAMA


KUANTAN 30 Sept. - Seorang pengusaha makanan mengambil inisiatif mengubahsuai sebuah lori lima tan menjadi dapur bergerak bagi memenuhi permintaan pelanggan di negeri ini.

Idea kreatif tersebut adalah ilham pemilik restoran Era Gemilang Caterer di Indera Mahkota di sini, Mohd. Shukor Othman, 38, berikutan sering menerima tempahan memasak secara terbuka oleh pelanggan.

Menurutnya, bermodalkan kira-kira RM200,000, akhirnya dia berjaya merealisasikan impiannya tersebut dan kini perniagaannya bertambah maju dan lebih dikenali ramai.

"Perniagaan itu adalah yang pertama di pantai timur dan saya turut menerima tempahan pelanggan dari daerah Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh.

"Melalui konsep itu faktor keselamatan dan kebersihan menjadi keutamaan selain kualiti serta kesegaran makanan kerana ia dimasak pada masa itu juga," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian 'mobile kitchen' di sini, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhammad.

Hadir sama, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Muhamad Sharif Al-Din Ahmad.

Mohd. Shukor berkata, lori tersebut turut dilengkapi empat dapur dan menempatkan empat tukang masak serta mampu menyediakan makanan untuk 1,000 tetamu dalam satu masa.

"Kita menerima tempahan tanpa memilih tempat mengikut kesesuaian dan masa. Tempahan diambil minimum 50 tetamu dengan bayaran hanya RM10 seorang sahaja mengikut kesesuaian menu makanan," katanya.

Jelasnya, dia merancang untuk mengubahsuai lori 10 tan dengan kos kira-kira RM400,000 untuk dijadikan dapur bergerak dan sasarannya di seluruh negara bermula di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Sementara itu, Ishak berkata, idea kreatif tersebut wajar dijadikan contoh kepada peniaga restoran lain di sini dan ia menjadi satu inovasi perniagaan yang baik.

Tambahnya, cara tersebut dilihat sebagai satu perubahan berani dalam perniagaan berkaitan industri penyediaan makanan.

1,290 graduan UMP terima ijazah

Posted:

1,290 graduan UMP terima ijazah

1,290 graduan UMP terima ijazah

KUANTAN 30 Sept. – Seramai 1,290 graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan menerima ijazah dalam bidang masing-masing sempena Majlis Konvokesyen kali ke-enam di Kompleks Sukan universiti itu, esok.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, daripada jumlah itu seramai 10 graduan akan menerima ijazah sarjana kedoktoran (PhD) diikuti ijazah sarjana (25) ijazah sarjana muda (866) dan diploma (389).

Menurut beliau, majlis itu akan disempurnakan Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang akan berlangsung selama dua sesi pada hari tersebut.

"Dua graduan akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang akan disampaikan sendiri oleh Tengku Mahkota Pahang pada majlis itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Daing berkata, selain anugerah tersebut, 11 lagi graduan akan menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan termasuk sumbangan industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya menambah lagi Anugerah Hadiah Industri baru yang disumbangkan oleh Telekom Malaysia (TM) Berhad.

"Ia merupakan anugerah tambahan kerana sebelum ini UMP turut menerima sumbangan penyertaan daripada syarikat korporat dan NGO pada konvokesyen tersebut," katanya.

Serentak dengan itu, katanya, pesta konvokesyen diadakan bermula semalam di pekarangan pejabat Canselori di sini yang diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar universiti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan