Utusan Online - Rencana |
Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia Posted: Mahasiswa: Gerak untuk MalaysiaOleh Khaled Nordin DIANGGARKAN 1.2 juta orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Jumlah ini boleh dikatakan satu jumlah besar dan dilihat sebagai kuasa atau kelebihan yang menguntungkan negara. Seperti negara-negara lain, Malaysia yang mahu melangkah ke tahap negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang 2020 amat bergantung kepada modal insan yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru, jumlah 1.2 juta orang mahasiswa ini sebenarnya aset dan harta yang bernilai; bukan sahaja menjadi modal insan semata-mata sebaliknya modal intelektual untuk Malaysia. Melihat kepada kelebihan dan kekuatan yang ada pada jumlah mahasiswa di IPT ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara mesti melibatkan peranan golongan mahasiswa. Mereka bukan sahaja golongan cerdik pandai, tetapi yang lebih penting mempunyai rangkaian atau rantaian besar juga meluas dalam negara. Bayangkan, jika 1.2 juta orang mahasiswa memainkan peranan masing-masing untuk membantu Malaysia, kita sebenarnya mempunyai kekuatan yang boleh menyerlahkan lagi pembangunan dan kemajuan negara. Umum mengetahui bahawa kemajuan negara ditentukan oleh beberapa program transformasi, antara yang utamanya adalah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Kejayaan melaksanakan GTP dan ETP akan menentukan kejayaan Malaysia mentransformasikan negara ke tahap maju. Sudah pasti agenda besar transformasi ini memerlukan dukungan semua pihak termasuk golongan mahasiswa. Mereka harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif, proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungannya secara lestari. Ini bermakna, mahasiswa yang ingin kita lahirkan bukan hanya dapat berperanan secara aktif dalam sebuah negara maju dan berjaya, tetapi berjaya bersaing dan hidup dengan serasi dalam masyarakat global yang kompetitif dengan kepelbagaian budaya serta nilai. Tidak dinafikan, pendedahan mahasiswa terhadap proses transformasi negara khususnya maklumat-maklumat tentang GTP dan ETP amat penting. Ini menjadikan mahasiswa kita seorang warganegara yang prihatin dan cintakan negara kerana ia melatih mereka berfikir dan melahirkan idea tentang persoalan negara dan bertindak bagi menentukan masa depan Malaysia itu sendiri. Kuasa idea ini tidak seharusnya dipandang remeh. Di seluruh dunia membuktikan bahawa pelbagai program yang asalnya merupakan idea dan gerakan kecil daripada golongan mahasiswa dan belia akhirnya menjadi fenomena di seluruh dunia. Sebagai contoh, Program Teach for America yang dijana hasil idea mahasiswa berjaya merubah landskap kesedaran pendidikan bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di seluruh dunia. Meskipun GTP dan ETP adalah perancangan pembangunan oleh kerajaan untuk keseluruhan rakyat, ia bukanlah satu perkara eksklusif yang hanya melibatkan kerajaan dan pihak yang berkepentingan sahaja. Sebaliknya, rakyat khususnya golongan mahasiswa juga mempunyai peranan tersendiri untuk merealisasikan ia. Hal ini bertepatan dengan realiti masa kini di mana era kerajaan mengetahui segala-galanya telah pun berakhir. Justeru adalah penting golongan mahasiswa didedahkan dengan GTP dan ETP supaya ia menimbulkan kesedaran dan sense of belonging (rasa kepunyaan bersama), dan dengan itu, GTP dan ETP boleh diperjuangkan secara kolektif. Mungkin ada pihak melihat mahasiswa hanya sebagai sampingan dan mempunyai peranan yang terhad dalam menggerakkan GTP dan ETP, tetapi jika kita perhalusi, mereka adalah golongan penting sebagai agen perubahan yang mempunyai rantaian luas dan menyeluruh dalam negara. Oleh itu, golongan mahasiswa mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan program transformasi negara khususnya melalui pendekatan GTP dan ETP. Sehubungan itu, saya melihat mahasiswa-mahasiswa sekalian mempunyai cabaran untuk memikul tiga peranan besar di bawah tema Mahasiswa: Gerak untuk Malaysia iaitu: Pertama : Mahasiswa sebagai penyedar dan penyebar kesedaran Nasional. Kita sedia maklum bahawa GTP dan ETP adalah program transformasi terbaik untuk negara, akan tetapi masih ramai rakyat yang tidak memahaminya. Belum ada mana-mana pihak selain kerajaan yang mampu menghasilkan satu pelan menyeluruh sebegini untuk masa depan. Justeru, saya yakin golongan mahasiswa boleh memainkan peranan yang penting sebagai agen perubahan yang utama. Ini kerana mereka mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan memberi keyakinan orang ramai bersama-sama menyokong dan menyertai arus pembangunan negara melalui GTP dan ETP. Saya melihat kelab-kelab 1Malaysia yang ditubuhkan di IPTA boleh memainkan tanggungjawab penting ini menyebarluas maklumat dan kesedaran terhadap GTP dan ETP. Kedua : Membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan melalui program dan aktiviti yang menjadi tumpuan GTP dan ETP. Kita menyedari bahawa kekuatan menguasai keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan menjadikan golongan mahasiswa kita mempunyai matlamat, cita-cita dan tujuan kehidupan. Kekuatan tersebut tidak boleh dibina hanya melalui ilmu dan pengetahuan yang 'diturunkan' oleh para pensyarah dalam bilik-bilik kuliah, tetapi penglibatan aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawan yang akhirnya memberi kekuatan sahsiah kepada golongan mahasiswa kita. Saya percaya aktiviti-aktiviti tumpuan bagi menyokong GTP dan ETP boleh dijayakan oleh golongan mahasiswa ini sekali gus membangunkan kepemimpinan mereka bagi mendepani dan memikul tugas yang mencabar. Saya juga akan meminta pihak kementerian agar dapat mewujudkan satu mekanisme penilaian dalam memastikan bahawa keterlibatan mahasiswa menerusi aktiviti yang berasaskan kepada ETP & GTP ini dapat dinilai secara berkredit. Ketiga : Mahasiswa menjadi penyelesai kepada isu dan cabaran semasa dan masa hadapan. Mahasiswa perlu mencabar bakat dan potensi diri untuk bersedia menyumbang dalam memberikan jawapan terhadap isu dan cabaran bagi merancakkan usaha kita menjayakan GTP dan ETP sekali gus mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Program-program berbentuk keusahawanan sosial misalnya perlu digerakkan secara lebih meluas kerana ia merupakan satu nadi penting sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus. Penglibatan mahasiswa dalam merungkai permasalahan masyarakat bukan sahaja memperlihatkan nasib masyarakat itu dibela, tetapi yang lebih penting, mahasiswa didedahkan dengan nilai-nilai seperti kreativiti, berkolaborasi, memahami keutamaan, berfikir secara kritikal, berdaya tahan dan empati tinggi untuk menjawab persoalan-persoalan sosial dan masa kini. Nilai-nilai ini jugalah yang melayakkan mahasiswa kita memiliki keperibadian unggul yang sememangnya menjadi tuntutan majikan dan industri masa kini. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang dalam merangka beberapa aktiviti yang melibatkan penyertaan golongan mahasiswa secara aktif khususnya mengatasi masalah seperti gejala dadah, meningkatkan bilangan pelajar lelaki ke universiti dan menggalakkan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik. Sebagai sebuah negara yang membangun dan mempunyai program-program transformasinya tersendiri, peranan dan sumbangan golongan muda khususnya mahasiswa amatlah penting. Mahasiswa boleh menjadi penyelesai masalah kepada setiap permasalahan masyarakat dan negara. Peranan mereka penting bukan hanya menyedari kewujudan masalah, tetapi mampu menyediakan penyelesaian dan memberi cadangan bagi mengatasi masalah-masalah itu. PENULIS ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia |
Posted: Sandiwara pilihan raya?Oleh AZNAN BAKAR SELEPAS berakhirnya sambutan Hari Raya, tumpuan dan perhatian kini tentunya pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Rakyat di segenap peringkat kini mula membuat spekulasi bila ia akan diadakan. Tetapi bila ia akan muncul tiada siapa yang pasti. Yang pasti para pemimpin politik kini mula membuat persiapan rapi. Selain mahu menonjolkan diri, ada juga yang telah memulakan usaha 'menjual' parti supaya menjadi pilihan pada pilihan raya nanti. Sebab itu bukan sesuatu yang mustahil apabila timbul bermacam-macam sandiwara ketika ini dalam usaha meraih sokongan dan simpati pengundi. Yang paling ketara ialah sandiwara antara Pas dan rakan sepakatannya DAP mengenai isu hudud. Setelah sekian lama menyepi, termasuk menggugurkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan digantikan dengan negara kebajikan, Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat tiba-tiba muncul dengan kenyataan tegas bahawa partinya tetap akan melaksanakan hudud. Sudah tentu, kenyataan Nik Aziz itu disahut oleh Pengerusi Nasional DAP, Karpal Singh yang terkenal dengan kenyataan langkah mayatnya dulu jika mahu melaksanakan hudud. Pertelagahan terbaru pemimpin kedua-dua parti politik itu tentunya ada kena mengenai dengan PRU-13 yang semakin hampir. Kedua-dua parti itu mempunyai sasaran berbeza yang memerlukan strategi berbeza. Untuk menang Pas memerlukan undi daripada pengundi Islam. Sedangkan DAP sudah tentu bergantung kepada penyokong tradisinya - kaum Cina. Dengan pelbagai isu yang membelenggu parti terutama yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, Pas perlu mencari jalan untuk memastikan ia terus mendapat sokongan. Salah satu caranya, ia dengan penegasan terhadap pelaksanaan hukum hudud yang sudah tentu Nik Aziz cukup arif bahawa ia mustahil untuk dilaksanakan selagi mereka terpaksa berpakat dengan DAP dan PKR. Bagi, DAP pula, sejak kebelakangan ini mereka kelihatan bertolak ansur dengan perjuangan Pas yang mana ia sudah tentu akan menghakis sokongan pengundi Cina. Jadi, perlu diwujudkan satu sandiwara agar Pas kelihatan bermati-matian perjuangan melaksanakan hukum Islam, dan DAP pula bersungguh-sungguh mempertahankan sekularisme. Jika berdasarkan pengalaman lalu, kedua-dua parti itu akan kembali bertaut selepas pilihan raya untuk membentuk kerjaan negeri. Realitinya Pas tidak mungkin mampu membentuk kerajaan sendirian tanpa bersekongkol dengan DAP dan PKR. Apabila ia bersekongkol dengan kedua-dua parti itu adakah hudud dapat dilaksanakan? "Semua ini mengesahkan bahawa Pas dan rakan-rakan pakatannya, terutama DAP hanya tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Mohamad Rafii. Katanya, matlamat Pas dan DAP berbeza. Tetapi demi kemarukkan kuasa, kedua-duanya sanggup berpura-pura. Lagi pula kata Mohd. Razlan, kalau setakat bertanding di 60 kawasan Parlimen di seluruh negara, jika menang sekali pun Pas tidak mampu berbuat apa-apa. "Setakat bertanding di 60 kawasan (Parlimen), jika menang semua sekali pun, Pas tidak mampu membentuk kerajaan. "Untuk membentuk kerajaan Pas terpaksa bekerja sama dengan DAP dan PKR. Ketika itu, adakah DAP akan membenarkan Pas laksanakan hudud," katanya. Menurut Mohd. Razlan, angka itu akan kekal begitu kerana Pas tidak mungkin sanggup berbalah dengan rakan pakatannya bagi mendapatkan lebih kerusi. Jika Pas benar-benar ikhlas dalam perjuang untuk melaksanakan hudud, katanya, parti itu perlu meletakkan calon di sekurang-kurangnya 120 kawasan Parlimen. "Perkara ini tidak mungkin berlaku. Maknanya, Pas tidak mungkin memerintah negara ini. "Apabila Pas tidak mungkin memerintah, maknanya mustahil parti itu dapat melaksanakan hudud," ujarnya. Lagi pula tahun depan genap 22 tahun Pas memerintah Kelantan dan Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar. Tetapi, pelaksanaan hudud di Kelantan masih sekadar menjadi bunga-bunga percakapan ketika ceramah. Seperti kata Pengerusi Barisan Nasional Kuala Pilah, Datuk Hassan Malek, apa yang dibangkitkan Nik Abdul Aziz itu sekadar mainan politik bagi memancing undi pada pilihan raya akan datang. Idea itu muncul pada musim pilihan raya bagi mengabui mata para penyokong kedua-dua parti dan kembali senyap selepas itu. Lagi pula dengan pelbagai transformasi dilakukan oleh kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Pas dan sekutunya rapat yang juga penentang kuat idea penubuhan negara Islam, DAP sudah tidak ada isu untuk dimainkan. Disebabkan tidak ada pilihan lain Pas dan DAP memilih hudud sebagai topik untuk bersandiwara. Pas menggunakan hudud untuk meraih sokongan pengundi Islam dan DAP pula menggunakan penentangannya terhadap hudud bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina. Hakikatnya, kedua-dua parti itu adalah rakan yang berkongsi menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum lalu bersama-sama PKR di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Kalau Pas benar-benar ikhlas dalam isu hudud dan apa yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz itu bukan sekadar sandiwara menjelang pilihan raya, maka ia perlu bercerai dengan DAP. Selagi ia terus sebantal dengan DAP maka hudud itu kekal sebagai gula-gula yang digunakan oleh Pas untuk memancing undi ketika pilihan raya. Bolehkan itu Pas tinggalkan DAP? Rasanya ia mustahil berlaku kerana kedua-dua parti itu sering bergantung harap untuk membolehkan mereka berkuasa. Impian menakluk Putrajaya bersama-sama DAP dan PKR sebenarnya memerlukan Pas mengenepikan impian melaksanakan hudud dan menubuhkan negara Islam. Tetapi apa lagi idea yang ada pada Pas untuk berkempen pada pilihan raya umum akan datang jika tidak terus memainkan isu hudud dan negara Islam? Maknanya, pemimpin Pas dan DAP akan terus bersandiwara demi memancing undi dengan harapan dapat merealisasikan impian mereka menakluk Putrajaya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan