Jumaat, 30 September 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Tidur terus tak bangun

Posted: 29 Sep 2011 12:34 PM PDT

SUBANG JAYA: "Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan anak tunggal mengalami pendarahan dalam otak mungkin akibat hentakan atau gegaran kuat," kata bapa kepada seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak sedarkan diri, sejak Isnin lalu.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Megat, 29, berkata, bayi lelakinya yang diberi jolokan 'Beckham' oleh jururawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini, tidak sedarkan diri selepas ditidurkan pengasuhnya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Selepas Beckham gagal dikejutkan dari tidur, pengasuh menghubungi Megat di pejabatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira jam 4.30 petang, sebelum bayi itu dikejarkan ke hospital berhampiran.

Menceritakan kejadian itu, Megat berkata, pada pagi kejadian, dia menghantar anak lelakinya itu ke pusat asuhan itu seperti biasa.


Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 29 tahun kerap menghubungi pusat asuhan itu bagi mengetahui keadaan anak tunggal mereka dan membuat panggilan terakhir kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian sebelum diberitahu pengasuh sedang memberikannya susu untuk tidur.


"Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang, seorang pengasuh di pusat itu menghubungi saya dan memberitahu anak kami tidak bangun-bangun selepas ditidurkan," katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Wanita mati, inspektor parah

Posted: 29 Sep 2011 12:16 PM PDT

KENINGAU: Seorang wanita terbunuh akibat ditikam bertubi-tubi perompak yang memasuki rumahnya manakala rakan lelakinya, pegawai polis berpangkat inspektor yang cuba membantu parah juga akibat ditikam dalam kejadian di Taman Andika di sini, awal pagi semalam.

Pegawai polis berusia 29 tahun berkenaan dikatakan menerima panggilan daripada mangsa berusia 27 tahun yang meminta bantuan apabila mendapati pintu rumahnya diumpil seorang lelaki tidak dikenali pada kira-kira jam 4.40 pagi.


Anggota polis itu kemudian bergegas ke rumah wanita terbabit dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan.

Dalam keadaan kelam-kabut, suspek nekad menikam anggota polis terbabit di kaki, bahu dan belakang badan menyebabkannya berlumuran darah, sebelum menikam wanita terbabit berulang kali sehingga mati.


Pegawai polis yang parah itu kemudian mendapatkan bantuan dari Balai Polis Keningau, sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menghubungi inspektor polis itu melalui telefon bimbit untuk meminta bantuan selepas seorang lelaki tidak dikenali cuba membuka pintu rumahnya.

"Namun sebaik tiba, pegawai polis ini turut bergelut sebelum ditikam ketika cuba membantu mangsa," katanya, semalam.


Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah dan Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, selepas menikam inspektor polis terbabit, suspek kemudian turut menikam wanita berkenaan bertubi-tubi sehingga mati.


"Malah, sebelum melarikan diri, suspek turut sempat menikam wanita berkenaan walaupun wanita itu dilihat sudah tidak bergerak lagi.


"Tiada tangkapan dibuat pada masa ini dan polis sudah menggerakkan operasi bagi memburu suspek," katanya.


Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Keningau, Asisten Superintendan Lee Nyuk Kim di talian 016-862 5302 dengan segera.


"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394/302, Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan bunuh," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan