Ahad, 25 September 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Menara TNB patah

Posted:

Menara TNB patah

Menara TNB patah

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanktn@gmail.com


Sebahagian daripada menara talian elektrik TNB yang rosak teruk akibat di hempap pokok tumbang di kawasan hutan tebal Taman Negara, Kuala Tahan.


JERANTUT 25 Sept. – Penduduk di sekitar Taman Negara dan Kuala Tahan di sini yang terputus bekalan elektrik sejak Jumaat lalu dinasihatkan tidak menghampiri kawasan menara yang patah kerana berisiko mendapat renjatan elektrik.

Menurut Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Sharuddin Mohd. Simin, kawasan sekitar voltan berkenaan dipercayai bervoltan tinggi dan dikhuatiri boleh menyebabkan kematian.

"Menara berkenaan yang menyalurkan kira-kira 33,000 voltan tenaga elektrik kepada lebih 1,000 buah rumah di situ patah akibat dihempap pokok berhampiran hutan Taman Negara.

"Akibat kejadian itu, sistem kecemasan TNB terputus secara automatik ke semua kawasan yang berhampiran iaitu di pekan Kuala Tahan, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan segera yang dilakukan TNB ialah menempatkan beberapa unit janakuasa di beberapa kawasan penempatan penduduk kerana bimbang kerja baik pulih itu akan memakan masa agak lama.

"Kerja mencari lokasi serta membaiki kerosakan amat sukar kerana talian terlalu panjang iaitu sejauh 96 kilometer yang merentasi kawasan hutan tebal berbukit serta tiada akses jalan masuk," tambahnya.

Bagaimanapun katanya, TNB akan berusaha membaik pulih kerosakan itu secepat mungkin secara berperingkat dan dijangkakan kerosakan tersebut dapat dipulihkan pada hujung minggu ini.

"TNB juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi meminimumkan risiko pokok tumbang atau sebarang ancaman lain terhadap talian TNB di sepanjang hutan antara Jerantut-Kuala Tahan-Mat Daling," jelasnya.

Tingkatkan perpaduan menerusi sambutan perayaan pelbagai kaum

Posted:

Tingkatkan perpaduan menerusi sambutan perayaan pelbagai kaum

Tingkatkan perpaduan menerusi sambutan perayaan pelbagai kaum


Andrew Kam Tai Yeow (dua dari kanan), Ir. Azinudin Abdul Rahim (tiga dari kiri), Abdul Aziz Mat Kiram (empat dari kiri) dan Shahiruddin Moin (lima dari kanan) menyanyi bersama-sama sempena majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 1Malaysia-RAGM 2011 di Raub malam, semalam.


RAUB 25 Sept. - Masyarakat pelbagai kaum di daerah ini boleh meningkatkan lagi perpaduan mereka menerusi sambutan hari perayaan mengikut budaya masing-masing.

Pengarah Urusan Raub Australian Gold Mining (RAGM), Datuk Ir. Azinudin Abdul Rahim berkata, sebagai sebuah syarikat swasta yang bertanggungjawab pihaknya terpanggil untuk meraikan semua perayaan yang membabitkan semua kaum dan warga daerah ini.

Katanya, melalui sambutan perayaan seperti itu, penduduk berbilang kaum akan lebih memahami budaya rakan-rakan mereka dan memupuk semangat kekitaan walaupun berlainan agama dan budaya.

''Tahun lalu RAGM mengadakan sambutan Tahun Baru Cina dan tahun ini kita meraikan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri 1Malaysia.

''Kami berharap aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat mendokong cita-cita untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan progresif," katanya semasa berucap merasmikan majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 1Malaysia-RAGM 2011 di Dataran Raub di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif RAGM, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin; ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Ismail Mohd. Ali.

Seramai 10,000 warga Raub membanjiri Dataran Raub dengan dihiburkan beberapa penyanyi, antaranya Uji Rashid, Hail Amir, Sheqal, Hazama AF9, Haiza dan Eja.

Majlis tersebut bertambah meriah dengan kehadiran pelakon yang juga pengacara, Sharifah Shahira yang bertindak sebagai pengacara.

Menurut Azinuddin, selain operasi carigali emas, RAGM juga turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti memberikan bantuan kepada golongan miskin, kurang upaya dan pendidikan.

''Selain mewujudkan 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kehadiran kami di sini turut memberi impak dan merangsang pertumbuhan kitaran ekonomi yang berterusan kepada penduduk tempatan," kata beliau.

2,000 penduduk meriahkan pesta bakar lemang

Posted:

2,000 penduduk meriahkan pesta bakar lemang

2,000 penduduk meriahkan pesta bakar lemang


Abu Bakar Harun (tiga dari kiri ) turut bersama membakar lemang pada Pesta Lemang di Pekan, kelmarin.


PEKAN 25 Sept. - Pesta membakar lemang di Felda Chini 3 di sini semalam meriah dengan kehadiran kira-kira 2,000 penduduk dari sekitar Gugusan Felda Chini.

Acara yang kali keempat dianjurkan ini diilhamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang berusaha mengetengahkan kaedah berbeza bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di kawasannya.

Menurut Abu Bakar, pesta itu diadakan sehari sebelum majlis jamuan raya bagi membolehkan setiap pasukan itu menyiapkan makanan untuk dihidangkan kepada tetamu pada keesokannya.

"Sebanyak 10 pasukan memasuki pesta terbabit yang akan membakar 200 batang lemang. Acara tahun ini berbeza dengan tahun lalu kerana tahun ini tiada pertandingan tetapi hanyalah pesta sahaja," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah beliau lagi, tujuan pesta ini diadakan adalah ke arah pembentukan perpaduan dan mengukuhkan hubungan sedia ada yang terjalin sesama masyarakat di situ.

"Di sini kita dapat lihat bagaimana setiap peserta berganding bahu dan bekerjasama menyiapkan lemang mereka walaupun berdepan dengan suhu panas yang tinggi.

"Namun semua itu mereka tolak ketepi kerana selain membakar lemang, peserta seronok dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat," jelasnya.

Abu Bakar berkata, bukan sahaja golongan muda yang turut serta dalam pesta itu tetapi juga warga emas dan wanita tidak ketinggalan turut menjayakannya.

Selain itu katanya, pada pesta ini juga terdapat cabutan bertuah bagi untuk peserta dan disajikan juga dengan persembahan nyanyian kugiran dari Chini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan