Khamis, 29 September 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Bentuk tanglung ikut trend

Posted:

Bentuk tanglung ikut trend

Bentuk tanglung ikut trend

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Leong Seng Yoon menunjukkan tanglung Angry Bird pelbagai saiz yang mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli untuk Pesta Tanglung.


PULAU PINANG 28 Sept. – Pesta tanglung mempunyai sejarah tersendiri sejak ia disambut lebih 3,000 tahun lalu.

Perayaan ini diraikan oleh petani semasa musim menuai dengan menyediakan makanan yang paling popular di kalangan masyarakat Cina iaitu kuih bulan.

Kuih itu biasanya dibuat daripada biji tembikai, biji teratai, badam, daging cincang, kacang pes dan kulit oren dengan warna kuning keemasan serta dihiasi simbol-simbol perayaan.

Di Malaysia, perayaan itu disambut secara meluas di seluruh negara dengan ahli keluarga akan berkumpul melihat keindahan bulan sambil menikmati keenakan kuih bulan.

Tinjauan Utusan Malaysia di negeri ini mendapati kemeriahan perayaan begitu dirasai apabila kebanyakan kedai seperti berlumba antara satu sama lain memasang pelbagai bentuk tanglung.

Antara yang mencuri perhatian orang ramai adalah sebuah kedai kopi di Jalan Cintra di sini.

Mereka yang melalui jalan tersebut sudah pasti akan terpesona dengan pemandangan menarik serta unik yang disajikan oleh kedai yang telah beroperasi sejak 30 tahun lalu itu.

Malah, orang ramai juga boleh membeli tanglung pelbagai saiz dan corak mengikut pilihan dan cita rasa masing-masing.

Apatah lagi bentuk tanglung yang dijual di kedai itu adalah seiring dengan peredaran masa dan mengikut trend semasa.

Selain itu, populariti permainan video untuk aplikasi telefon pintar iaitu Angry Bird turut mempengaruhi pesta tanglung pada tahun ini.

Tanglung kepala burung itu dikatakan paling laris dijual memandangkan ia bukan sahaja dibeli oleh masyarakat Cina tetapi juga peminat kartun itu termasuk pelancong asing yang mahu menjadikannya sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke negara mereka.

Pemilik kedai, Leong Seng Yoon, 62, berkata, dia menjual tanglung Angry Bird kali ini berikutan permintaan tinggi daripada para pelanggan dan setakat ini dia telah menjual kira-kira 3,000 tanglung pelbagai saiz bagi karakter itu.

"Memang saya akui tanglung Angry Bird hanya dijual di sini dan mungkin kerana itu ia mendapat perhatian ramai," katanya ketika ditemui di kedainya di sini baru-baru ini.

Tanglung Angry Bird dijual mengikut saiz iaitu dari serendah RM15 hingga RM30 setiap satu.

Meskipun tanglung tersebut paling laris, tanglung-tanglung tradisional berbentuk haiwan seperti arnab, naga, ikan dan helang tetap menjadi pilihan ramai yang dijual berdasarkan saiz iaitu antara RM8 dan RM50.

"Biar apa bentuk sekali pun, yang penting saya rasa gembira kerana pesta tanglung tidak dilupakan begitu sahaja oleh generasi muda.

"Kita harap setiap tahun ia dapat memeriahkan perayaan ini dan juga menjadikan kediaman lebih indah serta bercahaya," ujarnya.

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

Posted:

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

1Pameran Kerja dan Kerjaya Perak tawar 10,000 pekerjaan

IPOH 28 Sept. - Lebih 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan di Pameran Kerja dan Kerjaya Perak Amanjaya 2011 anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Sabtu dan Ahad ini.

Setiausaha Pemuda BN negeri, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, hampir 100 syarikat swasta, badan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) akan menyertai pameran tersebut yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Katanya, antara syarikat terkemuka yang mengambil bahagian ialah Mydin, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kumpulan Kencana.

''Orang ramai yang mencari pekerjaan diharap hadir beramai-ramai kerana banyak peluang pekerjaan di negeri ini ditawarkan pada pameran itu. Ia terbuka kepada individu yang berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke atas," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengedarkan risalah mengenai pameran itu kepada orang ramai di sebuah pusat membeli- belah di sini, hari ini.

Sebelum itu, Syamsul bersama dengan Pemuda BN negeri dan kakitangan IDR mengedarkan pelekat kenderaan mempromosikan Pameran Kerja dan Kerjaya 2011 kepada pemandu-pemandu teksi di Medan Gopeng di sini.

Syamsul turut menasihatkan orang ramai supaya datang beramai-ramai pada hari pertama dan jangan menunggu pada hari kedua untuk merebut peluang kerja yang disediakan.

''Pameran ini akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang tetapi pelbagai acara lain disediakan sehingga pukul 9 malam termasuk ceramah kerjaya," katanya.

Mangsa kemalangan rayu bantuan

Posted:

Mangsa kemalangan rayu bantuan

Mangsa kemalangan rayu bantuan


M. Thuraisingam (kanan) menerangkan sesuatu kepada Mohd. Redzuan Abdullah semasa mengunjunginya di Kampung Keda Naga Lilit, Padang Serai, Kedah, kelmarin.


PADANG SERAI 28 Sept. - Seorang bapa tiga anak merayu bantuan orang ramai bagi membolehkan dia menjalani pembedahan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Mohd. Redzuan Abdullah, 51, dari Kampung Keda Naga Lilit berkata, dia telah kehilangan punca pendapatan akibat kemalangan yang berlaku pada hari raya kedua Aidilfitri baru-baru ini sehingga menyebabkan kakinya patah dan tidak boleh bergerak.

Dia yang tinggal bersama isteri, Sharifah Mohamed, 45, dan tiga anak berusia antara enam dan 16 tahun terpaksa bergantung kepada ihsan jiran serta wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Pungutan Zakat.

Lebih malang, dua daripada anaknya iaitu Mohamad Farahan, 11 dan Noor Farah Jasmin, 16, sudah hampir sebulan tidak ke sekolah kerana tiada orang dapat menghantar mereka.

"Dulu saya menghantar mereka berdua ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Hendreitta dan Sekolah Menengah Lunas. Namun, selepas kemalangan, saya tidak dapat bergerak, tambahan pula tiada wang untuk perbelanjaan harian," katanya ketika dikunjungi Penyelaras Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M. Thuraisingam semalam.

Mohd. Redzuan memberitahu, dia juga buntu kerana tidak mempunyai wang untuk menjalani pembedahan memasang besi pada kaki kanannya yang berharga kira-kira RM4,000.

"Saya terpaksa menangguhkan pembedahan sebanyak tiga kali. Namun, saya berharap dapat bergerak semula untuk membolehkan saya kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya.

Sementara itu, Thuraisingam berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga itu dalam kadar segera.

"Saya akan cuba mencari jalan penyelesaian untuk membantu keluarga terbabit terutama usaha membawa anak-anaknya ke sekolah, Kami akan menyediakan sebuah kenderaan bagi menghantar mereka sehinggalah Mohd. Redzuan pulih daripada kecederaan," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan