Isnin, 26 September 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


'Bukan kerajaan kebajikan'

Posted: 25 Sep 2011 03:03 PM PDT

Wilayah

Penduduk dakwa arahan musnah tanaman bermotif politik

PASIR PUTEH: Lebih 10 pemilik kebun yang mengusahakan tanaman getah sejak 20 tahun lalu kesal dengan tindakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, yang didakwa menghantar kakitangannya memusnahkan tanaman milik mereka di Kampung Chelah Chat di sini.

Berikutan tindakan itu, berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak apabila sebuah jentolak digunakan bagi memusnahkan sebahagian anak pokok getah milik mereka.

Pemilik kebun, Mohd Noor Deraman, 53, mendakwa dia menerima notis secara lisan daripada seorang kakitangan pejabat berkenaan untuk memusnahkan tanaman anak getahnya yang berusia tiga tahun dengan alasan meneroka tanah kerajaan negeri secara haram. Beliau yang tinggal di Kampung Batu Hitam dekat sini, turut mendakwa tindakan pejabat berkenaan dilihat bermotif politik apabila puluhan hektar tanah diusahakan dengan tanaman getah tidak jauh dari kebunnya tidak diambil tindakan kerana menjadi penyokong kuat kerajaan negeri.

"Saya sudah mengeluarkan belanja sehingga RM30,000 untuk mengusahakan kebun berkenaan bagi menyara keluarga dan amat kecewa dengan tindakan mereka yang tidak prihatin dengan nasib penduduk," katanya ketika ditemui.

Mohd Noor berkata, pertelagahan yang hampir tercetus membabitkan pemilik kebun dan pekerja Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh akhirnya dapat dikawal apabila mereka bersetuju berunding dengan wakil pejabat berkenaan.

"Hasil rundingan itu, kami diarah membuat permohonan secara bertulis, tetapi pihak pejabat tanah tidak memberi sebarang jaminan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau sebaliknya.
"Wakil pejabat tanah itu berkata ia bergantung kepada keputusan pihak atasan dan mereka hanya menjalankan tuga," katanya.

Bekas penghulu, Nik Soh Ismail, 53, berkata tindakan pihak berkuasa itu bercanggah hasrat kerajaan negeri mewujudkan sebuah kerajaan berkebajikan seperti dilaungkan pemimpin PAS di negeri itu.

Kehadiran 15 pegawai dan anggota penguat kuasa memusnahkan kebun milik penduduk itu tidak mencerminkan hasrat kerajaan PAS Kelantan untuk menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya ia menganiaya kami, katanya.

Sementara itu, Ketua Jajahan Pasir Puteh, Nazran Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya bertindak demikian kerana mendapat arahan kerajaan negeri supaya bertindak terhadap mereka yang menceroboh tanah secara haram.

"Pekebun sebelum ini tidak membuat surat permohonan untuk mengusahakan tanah itu," katanya.


Lot tingkat atas tiada pelanggan

Posted: 25 Sep 2011 03:02 PM PDT

Wilayah

PELABUHAN KLANG: Peniaga di Passenger Cruise Terminal kecewa kerana proses pemindahan ke Kompleks Terminal Harbour City yang dijanjikan tidak berjalan seperti diharapkan.

Pihak pengurusan kompleks terbabit dikatakan hanya menyediakan ruang berniaga di tingkat atas ditambah pula dengan bebanan sewa yang mahal dan risiko kerugian.

Peniaga restoran, Abdul Jalil Omar, 59, berkata peniaga terpaksa menanggung kerugian jika tiada pelanggan di tingkat terbabit kerana semua operasi berjalan di tingkat bawah bangunan. Katanya, sehingga itu, beliau yang sudah berniaga selama 16 tahun terpaksa meneruskan perniagaan di terminal itu di dalam gelap kerana bekalan elektrik diputuskan sejak 19 September lalu.

"Bagaimana kami mahu berniaga jika pelanggan tiada. Kami ada memohon agar dibenarkan berniaga di tingkat bawah kompleks terbabit tetapi tidak dilayan.

"Ketika bertemu pemilik kompleks berkenaan, saya sama sekali dilarang membuka gerai makanan dengan alasan ia akan mengotorkan kompleks sedangkan saya memang menjalankan perniagaan makanan," katanya ketika ditemui.

Abdul Jalil berkata, berikutan itu, beliau kini buntu memikirkan keadaan yang terpaksa dilalui kerana jualan semakin merosot.
Katanya, jika dulu beliau mampu menggaji 11 pekerja tetapi kini gaji tiga pekerja pun tidak mampu dibayar.

Masalah sama turut dialami peniaga kedai runcit, Syed Ali Abu Bakar, 34, yang sudah 16 tahun berniaga di kawasan itu.

"Saya kerugian hampir 85 peratus setiap hari berbanding pendapatan kasar yang diperoleh dulu.

"Kami peniaga lama di sini, sudah tentu kami tahu keadaan persekitaran tempat niaga sama ada memberi pulangan atau tidak," katanya yang tetap meneruskan operasi walaupun ketiadaan bekalan elektrik.

Bagi peniaga Penggurup Wang Berlesen, David Chu, 50, pula beliau tertekan memikirkan perniagaan yang dijalankan sejak 30 tahun lalu mengalami kerugian.

"Perjumpaan dengan pemilik kompleks juga sia-sia kerana beliau tetap bertegas sama ada kami terima tawaran berniaga di tingkat atas kompleks terbabit atau menghentikan perniagaan.

"Disebabkan keadaan ini, ada pelanggan yang menelefon saya bertanyakan perniagaan saya sama ada sudah muflis atau masih beroperasi.

"Secara tidak langsung, ia menjejaskan reputasi perniagaan saya dan pelanggan mungkin sudah hilang kepercayaan kepada peniaga seperti saya," katanya sambil berharap pihak bertanggungjawab dapat segera menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan