Selasa, 27 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Waspada sindiket penipuan bungkusan melalui internet

Posted: 27 Sep 2011 04:55 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket penipuan bungkusan yang semakin berleluasa melalui Internet.

PDRM dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini menjelaskan modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui laman sosial seperti Facebook, e-mel dan laman sembang dalam tempoh satu hingga empat bulan.

Selepas persahabatan terjalin, anggota sindiket kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa bungkusan telah dihantar kepadanya sebagai barangan hadiah. Bungkusan itu dikatakan mengandungi barang perhiasaan, wang, emas dan disusuli dengan kiriman resit penghantaran melalui e-mel kepada mangsa.

Menurut PDRM, mangsa kemudian akan dimaklumkan oleh sindiket bahawa bungkusan berkenaan ditahan oleh Kastam Malaysia.

"Mangsa diminta menjelaskan beberapa bayaran kepada Kastam dan syarikat ejen dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang akan diberikan oleh sindiket bagi tujuan menuntut bungkusan terbabit.

"Mangsa yang terpedaya hanya sedar ditipu selepas membuat beberapa bayaran sebagaimana yang diminta oleh sindiket tanpa mendapatkan bungkusan itu," kata PDRM.
Justeru itu PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kenalan melalui Internet dan mengelak daripada menjadi mangsa kepada penipuan jenayah siber itu. - BERNAMA


Khir Toyo lakukan terbaik dalam pembelian banglo beliau

Posted: 27 Sep 2011 04:34 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau melakukan yang terbaik dan termampu dalam pembelian sebuah banglo dan dua lot tanah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, di sini pada 2007.

Dr Mohamad Khir, saksi pertama pembelaan yang memberi keterangan dari kandang saksi, berkata beliau bergantung sepenuhnya pada nilai yang ditentukan oleh jurunilai yang dilantik Bank HSBC dan beranggapan harga itu adalah harga yang adil untuk hartanah berkenaan.

Beliau berkata, pembelian hartanah itu juga tidak akan berlaku sekiranya harga terbabit tidak dipersetujui oleh Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni selaku penjual. "Sebagai pembeli biasa, saya bergantung sepenuhnya pada laporan pakar penilai Rahim & Co yang mengatakan harga pasaran hartanah ialah RM3.5 juta.

"Sebab itulah saya rasakan apa yang saya buat adalah terbaik dan oleh itu, tak tahu kenapa saya dituduh di mahkamah.

"Saya tak nampak jalan lain kecuali laporan yang dibuat penilai profesional. Bagi saya RM3.5 juta adalah harga berpatutan," katanya semasa menjawab soalan peguam yang mewakilinya, M. Athimulan.

Dr Mohamad Khir berkata demikian ketika menyambung keterangannya membela diri atas pertuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai menteri besar Selangor ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Beliau mendakwa Shamsuddin dan pereka laman bebas, Nasir Ismail yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di rumahnya, ada mereka-reka keterangan yang diberikan mereka sebelum ini yang dilihat menjejaskan kedudukan beliau di mahkamah.

Beliau berkata, ini kerana Shamsuddin pernah dihadapkan ke mahkamah (pada 6 Disember 2010 atas tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir) dan dibebaskan pada 6 Jun lalu sebelum dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Selain itu, katanya, perselisihan faham pernah berlaku dengan Nasir apabila beliau enggan menjelaskan baki bayaran sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian rumah kerana Nasir tidak membuat kerja mengikut spesifikasi.

"Nasir ada berjumpa dengan saya sebanyak tiga atau empat kali, tetapi saya tetap bertegas tidak mahu membayar kerana kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Sementara itu, saksi kedua pembelaan, bekas pembantu khas Dr Mohamad Khir, Hasnah Abu Hassan, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengamalkan rasa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang ingin membuat temu janji dengan Dr Mohamad Khir ketika beliau menjadi Menteri Besar dari 2000 hingga 2008.

Ketika ditanya Athimulan sama ada Dr Mohamad Khir bersikap pilih kasih kepada sesiapa yang ingin berjumpanya di pejabat beliau sepanjang tempoh memegang jawatan itu, Hasnah berkata: "Saya tak kenal kawan baik Datuk dan beliau tidak ada memaklumkannya kepada saya."

Pihak pendakwaan diwakili Abdul Wahab Mohamad dan Masri Mohd Daud.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki disambung 31 Oktober ini. -BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan