Ahad, 25 September 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Bukan sekadar sebar dakwah

Posted:

Bukan sekadar sebar dakwah

Bukan sekadar sebar dakwah

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

DALAM negara seperti Malaysia yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, agensi agamanya mempunyai peranan yang amat penting.

Ia bukan sahaja menjadi tunggak utama rujukan umat Islam dalam bab hukum hakam tetapi juga seharusnya menjadi institusi yang disenangi dan sentiasa menerima 'tetamu' baik untuk mengadu masalah atau mendapatkan nasihat.

Kini, peranan institusi agama terutama Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menjadi semakin penting. Ia bukan sahaja penting dalam menyebarkan dakwah dan amal makruf nahi mungkar tetapi juga sebagai fire wall. Sebabnya, kita menghadapi pelbagai serangan terutamanya dalam dunia tanpa sempadan ini.

Justeru, adalah menjadi kewajipan jabatan berkenaan mempersiapkan diri menangani dakyah yang cuba dilemparkan golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Bersiap sedialah kamu bagi menghadapi musuh menurut kemampuan kamu dengan segala kekuatan dan barisan berkuda bagi menakutkan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu...(al-Anfal: 60)

Di negara kita, isu-isu agama amat sensitif. Sebab itu, cubaan menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hal-hal seperti murtad dan cubaan menyebar dakyah mereka kepada umat Islam perlu tegas dibendung.

Demikian juga dengan isu rosak akhlak dan moral melibatkan remaja Islam perlu ditangani secara hikmah agar mereka tidak terus jauh daripada Islam.

Hal-hal beginilah yang antara lain akan dibincangkan dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bermula hari ini.

Apa yang pasti, tujuan kongres bertemakan 'Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah' ini diadakan adalah memperkasa institusi Raja-Raja yang memayungi Islam dan masyarakat Islam di negeri-negeri.

Ia juga bertepatan dengan maksud hadis iaitu manusia itu atas agama pemimpin-pemimpin mereka. Maksudnya, jika pemimpin mereka itu orangnya kuat berpegang pada agama, demikianlah juga rakyat jelatanya. Begitulah sebaliknya.

Oleh itu, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin merasmikan kongres membuktikan keprihatinan baginda terhadap hal ehwal Islam dalam negara.

Begitu juga dengan keberangkatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyampaikan Titah Diraja bertajuk 'Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah'.

Baginda turut disokong oleh Sultan Kedah, Raja Perlis dan Sultan Kelantan yang turut berkenan berangkat ke kongres itu.

Pada masa sama, kongres juga bertujuan memperkasa imej Majlis Agama Islam Negeri yang memayungi pengurusan agama Islam sebagai agama negara serta memperhebat peranan Majlis sehingga berupaya mengatasi isu-isu masyarakat Islam yang kontemporari dan tidak hanya berkaitan dengan isu tradisional semata-mata.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, selain itu, kongres ini juga menjadi wadah interaksi dan perkongsian pintar antara Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Katanya, perkongsian pintar ini penting kerana MAIN adalah pembuat dasar berkaitan agama Islam yang kemudiannya akan diimplementasi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri.

"Dengan kata lain, sebenarnya kekuatan itu (merangka dasar Islam) ada pada MAIN kerana ia di bawah Sultan," katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Othman yang juga Setiausaha Kongres berkata, terdapat sembilan kertas kerja yang akan dibentangkan sepanjang majlis berlangsung.

Ia dibahagikan kepada tiga tajuk besar yang menyentuh soal ekonomi, pendidikan dan undang-undang.

Kertas kerja pertama bertajuk 'Peranan Majlis Agama Islam Negeri Dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah'.

Para pembentang terdiri daripada Datuk Nik Mustapha Nik Hassan (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia) dan Datuk Mustafa Abd. Rahman (Pengerusi Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan).

Kertas kerja kedua yang akan dibentangkan esok bertajuk 'Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah'.

Para pembentang terdiri daripada Prof. Ulung Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hasan (Profesor di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim (Penyandang Kerusi Abdullah Fahim Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman, (Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM).

Kertas kerja ketiga membicarakan 'Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah dan Kedaulatan Undang-Undang'. Pembentang kertas kerja ialah Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman (Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara), Prof. Dr. Najibah Mohd. Zin (pensyarah Kulliyah Undang-Undang, UIAM) dan Mahamad Naser Disa (Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara).

Pendek kata, MAIN perlu mempunyai kepakaran bukan sahaja dalam core business iaitu hal ehwal agama yang khusus tetapi juga mempunyai pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi makanan dan sebagainya.

Dalam dunia maklumat yang bergerak pantas, MAIN perlu sekurang-kurangnya mampu menyaingi kepantasan hujah-hujah yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertimbun-timbun di Internet.

Semoga kongres ini memperkukuh dan memantapkan lagi MAIN agar Islam di Malaysia terus cemerlang, disegani dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hudud: Pakatan di persimpangan

Posted:

Hudud: Pakatan di persimpangan

Hudud: Pakatan di persimpangan

OLEH TOK KI

AMAT menarik isu hudud dibangkitkan semula oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diberi pandangan balas oleh Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, reaksi penentangan oleh Karpal Singh, provokasi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sokongan Anwar Ibrahim secara peribadi terhadap pendirian Mursyidul Am Pas ini menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud di Kelantan.

Ia meletakkan pakatan pembangkang di suatu persimpangan bahawa muktamar Pas lalu seperti menunjukkan peralihan yang radikal daripada perjuangan negara Islam ke arah negara berkebajikan.

Sehingga kini tiada huraian jelas bahawa Negara Berkebajikan adalah Negara Islam yang menuntut pelaksanaan hudud.

Apakah ia suatu taktik menjinakkan kelompok bukan Islam bahawa Pas sedang mengambil pendekatan sederhana untuk menyesuaikan diri dengan kelompok-kelompok lain?

Umum mengetahui bahawa telah sekian lama Pas memperjuangkan Negara Islam. Adakah ia sungguh-sungguh atau lebih merupakan retorik politik semata-mata, ia memerlukan pemeriksaan dan penelitian.

Sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menjadi lebih liberal. Tidak nampak secara tegas memperjuangkan Melayu dan Islam. Pemimpinnya Anwar akhir-akhir ini semakin liberal kalau tidak pun sedang mengarah kepada faham pluralis.

DAP tetap dengan keazaman melaksanakan konsep Malaysian Malaysia ikut acuan Sosialis Demokratik. Sepatah kata Karpal Singh "langkah mayat saya dulu" sekiranya ingin melaksanakan Negara Islam. Secara jelas pakatan pembangkang berada di persimpangan ideologi dan fahaman yang amat tajam.

Walaupun Anwar menjadi penghubung utama pakatan pembangkang dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi ideologi dan fahaman komponen politik pakatan tidak sekata dan sehaluan

Bayangkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 semakin dekat, percanggahan mula timbul, apakah corak dasar dan manifesto yang bakal dirumus bagi meyakinkan rakyat bahawa ideologi dan fahaman yang berbeza boleh menghasilkan corak kerajaan yang kukuh dan teguh.

Pas dengan penguasaan kelompok Anwarinasnya sedang mengukuh pengaruh supaya ia selari dengan kehendak Anwar.

Kelompok ulama semakin menjadi tidak berpengaruh dan sering terpapar nada sumbang dari Ketua Ulamanya, Datuk Harun Taib dan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin Hassan terhadap isu pemurtadan dan menyebabkan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali semakin terpinggir.

Bila Anwar tidak bersetuju dengan usaha Hasan menubuhkan Unit Penyelarasan dalam portfolionya di Selangor, ia menunjukkan belang sebenar Anwar terhadap isu agama yang sangat sensitif.

Apakah kenyataan Anwar terhadap isu hudud Nik Aziz bakal memerangkap diri dan menyebabkan keretakan dan akhirnya perpecahan dalam pakatan?

Bagaimana komponen pakatan yang mempunyai ideologi dan fahaman yang berbeza ibarat langit dengan bumi ini boleh mencapai suatu rumusan dasar negara apa yang bakal dibangunkan nanti sekiranya mereka menang dalam pilihan raya.

Anwar pada hemat penulis tidak akan selesa dengan konsep Negara Islam Pas. Hairannya, bagaimana Pas boleh menerima faham liberal-pluralis yang dianut oleh Anwar sedangkan konsep Negara Islam Nik Aziz jauh lebih rigid.

Dalam masa sama, bagaimana Pas dapat bertolak ansur dengan DAP sedangkan DAP tidak pernah berkompromi dengan maksud Negara Islam yang dibawa oleh Pas.

Yang penulis amati adalah Pas memerlukan sokongan DAP supaya dapat memerintah Malaysia. Anwar dan PKR memerlukan Pas dan DAP supaya boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dan DAP memerlukan Pas dan Anwar supaya undi umat Melayu pecah.

Logik akal tidak mungkin tiga aliran fahaman ini boleh menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia.

Sering dihubungkan pakatan ini ibarat tidur sebantal mimpi lain-lain. Citarasa politik menjadi tidak sama. Lambat laun ia bakal bercanggah dan pastinya membawa perpecahan. Penyokong Pas tidak mahu Pas cair dengan perjuangan Negara Islamnya.

DAP sedang menjinakkan ramai professional Melayu untuk terlibat dalam kepimpinan partinya supaya apa-apa berlaku ia boleh menjawab keperluan perlembagaan Selangor atau Perak kalau berbangkit isu pucuk kepimpinan negeri nanti.

Anwar dengan isu mahkamahnya dan krisis dan kepimpinan Wan Azizah-Azminnya tidak mungkin melonjakkan PKR dalam keadaan lebih kuat seperti PRU Ke-12 dulu

Eksperimen kelainan ideologi dan fahaman ini adalah sesuatu yang berbahaya bagi Malaysia. Malaysia memerlukan asas kestabilan dan perpaduan yang tinggi kerana tidak mudah membangun Malaysia seperti yang kita lihat keadaannya hari ini.

Pendekatan sederhana dan tolak ansur amat perlu supaya maksud Islam dalam dasar membawa pendekatan ketamadunan bukannya retorik politik yang sifatnya memikat tetapi dari sudut program pembangunan Islami tidak berlaku.

Islam tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang rasis. Prinsip amanah, keadilan, keikhlasan, telus dan tulus sekiranya dapat dihayati oleh setiap tahap kepimpinan dan pengikutnya, ia mampu menjadi faktor penyatu masyarakat majmuk.

Ia boleh dibina sekiranya ada tekad politik yang tinggi untuk membawa Malaysia ke arah negara maju berasaskan acuan kita sendiri.

Oleh itu Malaysia memerlukan suatu pendekatan yang lebih serasi dengan sifat masyarakatnya yang berbilang.

Mengambil pendekatan rigid Nik Aziz tanpa berlakunya transformasi sosial, ekonomi, ilmu dan pendidikan dan budaya meletakkan suasana yang tidak kondusif dalam membangunkan syariah.

Kita tidak boleh berfikir simplistik bahawa laksanakan hudud akan selesai semua masalah yang berbangkit. Hudud adalah suatu kaedah hukuman Islamiah dari Allah. Kita wajib mengimaninya.

Bagaimana hudud dapat dilaksanakan dalam realiti yang serba bejat atau tidak seimbang memerlukan penelitian ulama dan ilmuwan supaya maqasid syariah berlaku dengan tekad dan persiapan yang terbaik.

Ini kerana keadilan tidak akan terjelma dan lahir sekiranya hudud hanya menjadi slogan politik untuk memikat dan mengekalkan pengaruh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan