Jumaat, 30 September 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sita baju ‘bundle’ RM30,000

Posted: 29 Sep 2011 10:52 AM PDT

KLANG: Beberapa pekerja menjual pakaian terpakai lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Operasi Bundle di Jalan Sungai Udang, di sini, semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Kanan, Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPK, Mazlan Abdul Gany, berkata siasatan mendapati perniagaan menjual pakaian terpakai itu beroperasi secara haram sejak setahun lalu.


Menurutnya, lot itu sepatutnya menjadi tapak untuk bangunan balai polis baru.

"Kedai itu beroperasi tanpa lesen sejak setahun lalu. Sebelum operasi, kami memberi notis tujuh hari kepada pemilik kedai supaya memindahkan barangan perniagaan mereka.


"Namun, pemilik tidak mengambil peduli notis itu. Jadi, kami menyita semua barangan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja 2007, Seksyen 3, iaitu perniagaan tanpa lesen. "Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 dan penjara dua tahun," katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.


Katanya, operasi membabitkan 50 anggota penguat kuasa serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Daerah/Tanah Klang.

Mazlan berkata, semua nilai pakaian disita berjumlah lebih RM30,000 dan pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada pemilik untuk menuntut semula barangan. Katanya, jika pemilik tidak membuat tuntutan, barangan berkenaan akan dijadikan bukti untuk pendakwaan di mahkamah.


"Lot perniagaan yang beroperasi lebih setahun itu turut menerima banyak aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati kerana menghalang laluan," katanya.

118 pilih buku dalam kapal

Posted: 29 Sep 2011 10:45 AM PDT

KLANG: Seramai 118 pengunjung sekitar Pelabuhan Klang memeriahkan majlis pembukaan pesta buku terapung terbesar dunia anjuran kapal pelayaran dari Jerman, Logos Hope di Terminal Star Cruise Pulau Indah, di sini, semalam.

Pengarah Logos Hope, Gian Walser, berkata pesta buku itu diadakan selama 26 hari bermula semalam hingga 23 Oktober depan. Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pengunjung terutama dari Lembah Klang bagi memeriahkan pesta buku terapung terbesar di dunia itu sambil beramal. "Hampir 5,000 tajuk buku dipamerkan sempena pesta berkenaan dan saya menyeru orang ramai membeli sekurang-kurang sebuah buku untuk tujuan amal.


"Antara buku yang terdapat di Logos Hope seperti sains, sukan, bacaan berbentuk hobi dan kehidupan keluarga selain kamus serta teks akademik.

"Buku yang terdapat di sini juga dijual dengan harga berpatutan iaitu serendah RM2.


"Selain itu, pengunjung boleh membeli barangan cenderahati," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian, semalam.


Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie.

Walser berkata, organisasi itu sudah menerima 40 juta pengunjung dari 160 negara yang dilawati di seluruh dunia.


"Kami membuka pesta buku ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada Selasa hingga Sabtu.

"Pada Ahad pula, ia dibuka dari jam 1 tengah hari hingga 10 malam dan ditutup pada Jumaat," katanya.


Menurutnya, orang ramai dijemput datang bersama keluarga kerana tiada had usia kepada pengunjung melainkan harga tiket RM1 bagi dewasa dan percuma untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan