Khamis, 29 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tiga pegawai SPRM dikaitkan kes samun dikena ikat jamin polis

Posted: 29 Sep 2011 04:20 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kes samun di KLIA pada 15 September lalu sudah dikenakan ikat jamin polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah, berkata mereka dibebaskan sehingga 4 Oktober kerana polis memerlukan masa untuk melengkapkan kertas siasatan.

Tiga pegawai itu, yang bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, ditahan berhubung kes menyamun seorang pengurup wang rakyat asing membabitkan wang berjumlah kira-kira RM900,000. Mereka terdiri daripada seorang Pemangku Penolong Pesuruhjaya, seorang Penolong Kanan Penguasa, dan seorang Penolong Penguasa.

SPRM, dalam satu kenyataan baru-baru ini, menyatakan tiga pegawai itu sudah dilucut daripada sebarang tugas sementara menunggu hasil siasatan polis. - BERNAMA


Gempa magnitud 5.6 gegar Jepun

Posted: 29 Sep 2011 04:05 AM PDT

Mutakhir

TOKYO: Gempa bumi bermagnitud 5.6 menggegarkan timur laut Jepun termasuk loji janakuasa nuklear Fukushima, hari ini, kata pihak berkuasa negara itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan kerosakan diterima terhadap loji berkenaan.

Agensi Meteorologikal Jepun, berkata gempa bumi sederhana di luar pesisir pantai Fukushima berlaku pada jam 7.05 petang tadi dan orang ramai tidak perlu berlakunya tsunami susulan kejadian itu. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan