Selasa, 27 September 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Sejauh mana keberanian Pas?

Posted:

Sejauh mana keberanian Pas?

Sejauh mana keberanian Pas?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KELMARIN Utusan Malaysia menyiarkan gambar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tapak pameran sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Kota Bharu.

Gambar itu memaparkan Nik Abdul Aziz diberi penerangan mengenai buah-buahan yang dipamerkan antara yang kelihatan ialah nangka, limau bali, tembikai dan durian.

Jika buah-buahan itu mahu dilihat dari senario politik sekarang, begitulah juga perjalanan hubungan politik Pas dengan DAP terutamanya apabila tercetus isu hukum hudud.

Pas mula merasai 'getah buah nangka' akibat hubungan dengan DAP yang sebelum ini dianggap oleh mereka ibarat 'tembikai' yang manis dan 'limau bali' yang masam-masam manis,

Tetapi kini ia ibarat 'buah durian' penuh duri apabila DAP menentang keras rancangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Malahan DAP melalui Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Mungkin DAP begitu berani mengeluarkan peringatan kerana percaya bahawa Pas sekali lagi akan mengalah, apatah lagi DAP amat memahami sikap tidak konsisten Pas.

Ia memandangkan dalam tempoh beberapa hari ini sejak tercetus isu berkenaan, Pas seolah-olah ingin kembali semula mahu memperjuangkan hukum hudud.

Situasi ini menimbulkan persoalan ke mana sebenarnya hala tuju perjuangan Pas? Suatu ketika mereka bermati-matian mempertahankan perjuangan negara Islam tetapi kemudiannya bersedia menggugurkannya demi menjaga hubungan dengan DAP.

Lanjutan itu lahirlah kembali idea negara berkebajikan yang pernah dicetuskan pertama kali ketika Pas 'menghidangkan' manifesto pilihan raya umum 2008.

Malahan pada 10 September lalu, Pas mengadakan majlis khas di Taman Melewar, Gombak bagi memperjelaskan konsep negara berkebajikan dan langkah itu selari dengan resolusi yang dicapai dalam muktamar parti tersebut.

Tetapi secara tiba-tiba, ketika Pas diasak bertubi-tubi akibat isu tragedi Bukit Kepong yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, pelaksanaan hukum hudud dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz.

Berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan tersebut maka seperti diduga Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Mursyidul Am Pas itu.

Dalam soal ini, Nik Abdul Aziz atau mana-mana pemimpin Pas tidak harus marah kepada Karpal kerana Karpal sejak dulu lagi menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud yang cuba dilaksanakan oleh Pas.

Justeru sudah pastilah orang Melayu tidak akan mempersoalkan pendirian Karpal sebaliknya bertanya ke manakah sebenarnya hala tuju perjuangan Pas.

Apakah mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud atau ia sekadar halwa telinga menjelang pilihan raya dan sekali gus menarik kembali sokongan sebahagian orang Melayu yang semakin luntur kepada Pas kerana isu tragedi Bukit Kepong?.

Kalau Pas benar-benar konsisten hendak memperjuangkan hukum hudud, maka pemimpin-pemimpin parti tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.

Takkanlah dalam satu perjalanan politik Pas hendak membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan.

Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.

Hukum hudud adalah hukum Allah dan semua orang Islam pasti menyokongnya jika ia mahu dilaksanakan secara serius dan diperjuangkan secara konsisten.

Tetapi masalah yang berlaku ialah Pas tidak bersikap demikian, Pas hanya melaung-laungkan pelaksanaan hukum hudud tersebut menjelang pilihan raya atau bagi mengalih isu.

Kalau Pas benar-benar ikhlas dan mempunyai keazaman yang tinggi dalam soal berkenaan sudah pasti mereka akan bermati-matian memperjuangkan ia dilaksanakan biarpun menempuh pelbagai halangan dan tentangan.

Namun anehnya, Pas mudah mengalah dan lebih memikirkan soal hubungan politik dengan rakan pembangkang yang lain.

Pas sepatutnya bersungguh-sungguh pada setiap masa mendesak supaya hasrat mereka melaksanakan hukum hudud tercapai, tetapi ia tidak berlaku.

Parti itu bimbang jika perkara diuar-uarkan ia akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu.

Sebab itulah sejak sekian lama, Pas tidak lagi bercakap soal tersebut kecuali baru-baru ini apabila Pas semakin rimas dengan isu tragedi Bukit Kepong.

Oleh itu sebelum Nik Abdul Aziz dan Pas menuding jari mendakwa pihak itu dan pihak ini menghalang hasrat mereka melaksanakan hukum hudud, Pas sendiri patut bertanya apakah mereka benar-benar ikhlas dalam mencapai matlamat berkenaan atau ia sekadar laungan untuk meraih undi sahaja.

Jika mereka ikhlas, kita mahu melihat apa yang bakal mereka lakukan berikutan penentangan keras DAP ke atas hasrat Pas itu.

Apa yang mahu kita lihat ialah pemimpin dan ahli-ahli Pas menunjukkan ketegasan seperti mana mereka pernah menentang usaha untuk mewujudkan kerjasama dengan UMNO.

Semua orang masih ingat bagaimana kerasnya penentangan yang ditunjukkan oleh Nik Abdul Aziz dalam soal tersebut sehingga desakan dibuat supaya satu muktamar khas diadakan bagi membuat keputusan.

Ia kesudahannya menyaksikan Pas menolak kerjasama dengan UMNO dan berikrar setia dengan pakatan pembangkang.

Sekarang kita mahu melihat apakah pemimpin dan ahli Pas mempunyai keberanian dan ketegasan bagi mempertahankan usaha Nik Abdul Aziz melaksanakan hukum hudud.

Bukankah dulu kerjasama dengan UMNO ditolak kerana ketegasan Nik Abdul Aziz dan sekarang Menteri Besar Kelantan juga yang berkeras mahu melaksanakan hukum hudud sehingga mengeluarkan kenyataan, DAP boleh keluar pakatan jika tidak bersetuju dengan hasrat Pas tersebut.

Sudah pasti ramai yang mahu melihat adakah benar Pas hanya berani bertentangan politik dengan UMNO tetapi hanya 'pak turut' dalam pakatan pembangkang.

Percayalah Pas tidak seberani mana sebaliknya pada mesyuarat hari ini, rumusan yang akan dibuat, media dan Barisan Nasional (BN) akan dipersalahkan kerana didakwa cuba memecah-belahkan Pas.

Apatah lagi Pas pula sudah tentu tidak mahu 'disingkirkan' ketika mereka semakin dibuai dengan mimpi indah ke Putrajaya bersama PKR dan DAP.

Musang berbulu ayam dalam badan-badan strategik kerajaan?

Posted:

Musang berbulu ayam dalam badan-badan strategik kerajaan?

Musang berbulu ayam dalam badan-badan strategik kerajaan?

Oleh Zaini Hassan

APABILA saya diberitahu mengenai maklumat ini saya tidak tahu di mana hendak bermula. Apakah benar maklumat yang saya terima ini?

Jika benar apakah wajar saya dedahkan? Jika saya dedahkan apakah implikasinya? Namun saya tetap berdoa agar maklumat ini salah.

Jika salah, mungkin saya boleh tidur lena dan bersyukur keadaan itu tidak berlaku, walaupun saya mungkin dipersalahkan kerana menulis sesuatu yang tidak berlaku.

Tapi sebagai penulis, itulah risiko yang harus dihadapi.

Apa yang saya tulis ini mungkin sedikit memeranjatkan, tapi biarlah pihak-pihak tertentu yang menyiasat mengenai kebenarannya.

Saya menerima satu maklumat mengenai badan (atau mungkin lebih daripada satu badan) yang cukup strategik dalam kerajaan yang telah dan sedang diresapi oleh orang (atau dalam bahasa mulut orang-orang) Anwar Ibrahim.

Maklumat yang saya terima menggambarkan bahawa ia adalah suatu situasi yang real dan nyata.

Jika benar, ia adalah sesuatu yang cukup bahaya. Ia adalah satu perancangan yang halus, licik dan terancang yang boleh menjejaskan kerajaan semasa.

Sama ada ia berlaku secara kebetulan atau satu plot terancang tidak pula saya tahu. Jika benar, ternyatalah sistem imunisasi kerajaan ini lemah sehingga gagal untuk menentang elemen-elemen itu.

Seperti yang saya kata tadi, jika saya salah, maka saya bersyukur kerana ia tidak berlaku. Tetapi jika ia berlaku, maka sesuatu yang drastik harus dilakukan supaya pengkhianat-pengkhianat ini dibersihkan secepat mungkin daripada sistem kerajaan.

Dalam konteks kerajaan Malaysia kini, adalah sesuatu yang lazim dan biasa jika ada penjawatnya yang bersimpati dengan pihak-pihak musuh atau yang bertentangan dengan dasar yang dijunjung oleh organisasi itu. Malah ada juga kakitangan kerajaan yang secara terang-terangan menentang kerajaan atau bersikap anti kerajaan.

Bagi saya, itu masih lagi boleh diterima, tapi macam mana pula jika orang-orang yang berada di dalam sesebuah organisasi itu menjadi operator dan penggerak kepada musuh itu? Jika benar berlaku, maka ia adalah sesuatu yang luar biasa dan amat mendukacitakan.

Dalam peperangan saraf di Malaysia sekarang, tidak mustahil operator itu wujud, lagipun Anwar Ibrahim bukan calang-calang orang untuk menempatkan mereka di situ. Orang-orangnya masih ada dalam sistem, terutamanya di peringkat atasan.

Mungkin juga masih berlaku infiltrasi atau penyusupan masuk orang-orang ini untuk menjadi musuh dalam selimut, musang berbulu ayam, bagai menggunting dalam lipatan?

Ternyata bahasa Melayu cukup agung untuk menggambarkan apa yang cuba disampaikan di sini. Sekali lagi saya mahu nyatakan benarkah wujud elemen-elemen itu? Saya berharap ia tidak berlaku.

Apa akan terjadi sekiranya benar? Apakah langkah yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa jika ia benar-benar berlaku?

Apakah kita sedar bahawa ada antara badan strategik itu kini tiba-tiba menjadi tidak bermaya setelah 'kehadiran' elemen-elemen itu?

Maklumat itu memberitahu: ''Saya tidak hendak memberikan contoh yang lebih banyak, tetapi saudara perhatikanlah sendiri bagaimanakah ada agensi Kerajaan Persekutuan (dirahsiakan namanya) yang tugas pentingnya mempertahankan dasar-dasar kerajaan, memberi kefahaman kepada rakyat supaya akhirnya mereka memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, boleh pula menerapkan, menyerapkan malah menggunakan instrumen pembangkang yang berusaha mematikan Perdana Menteri."

Kata maklumat itu lagi: ''Inilah kemenangan Anwar Ibrahim yang dibawa oleh orang kuatnya di dalam organisasi itu, dan masih membawa masuk orang-orang Anwar secara perlahan. Permohonan membawa masuk pegawai baru masih di peringkat JPA dan SPA."

Saya tidak mahu menulis panjang lebar mengenai hal ini. Biarlah pihak berkenaan akhirnya sedar mengenai fenomena ini. Biarlah mereka yang mengambil tindakan, itupun jika mereka mampu melakukannya.

Elemen-elemen yang ada itu, jika benar, harus dihapuskan. Mereka harus dibersihkan daripada sistem kerajaan semasa, dalam sistem strategik negara dan politik.

Menurut maklumat itu lagi: ''Bagi kami yang kerdil ini, tidak sanggup melihat YAB Perdana Menteri menerima nasib seburuk Gaddafi. Sekuat Gaddafi pun akhirnya dijatuhkan dari dalam dengan bantuan musuh-musuh Islam di luar!''

Sebagai contohnya, kata maklumat itu lagi: ''...anda fikirkanlah bagaimanakah kos perbelanjaan lawatan rasmi luar negara YAB PM boleh diperolehi dengan begitu detail, cepat dan pantas oleh pihak pembangkang?

Bagaimanakah juga penerbangan percutian peribadi YAB PM juga boleh diperolehi dengan begitu detail dan cepat oleh pihak pembangkang? Dan banyak lagi contoh-contoh lain. Apakah ia diperolehi dengan mudah jika tidak kerana ada orang dalam yang membocorkan segala maklumat sulit itu?''

Buat sementara ini, biar saya berhenti di sini dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan