Khamis, 29 September 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


12 das tembak tauke tarik kereta

Posted: 28 Sep 2011 10:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: Angkara dendam, seorang pemilik syarikat tarik kereta cedera parah di perut dan tangan akibat ditembak secara rambang oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Prima 2, Taman Metro Prima, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang itu, mangsa yang berusia 43 tahun sedang minum bersendirian di sebuah restoran berhampiran syarikat miliknya apabila secara tiba-tiba muncul dua lelaki menunggang motosikal dan berpakaian serba hitam melepaskan tembakan secara rambang ke arahnya yang turut menyebabkan dua orang lain cedera.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata kedua-dua suspek melepaskan 12 das tembakan ke arah mangsa yang tidak menyedari kehadiran mereka.

"Suspek menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna biru menggunakan pistol jenis automatik dan melepaskan tembakan dari jarak 20 meter ke arah mangsa sebelum memecut laju.


"Akibat kejadian itu, mangsa cedera parah di perut dan tangan manakala seorang lelaki berusia 40-an yang minum di restoran sama dan seorang pekerja wanita warga Indonesia cedera di kaki," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Beliau berkata, mangsa bersama dua lagi orang awam berkenaan dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Hanya 10% ikut panduan

Posted: 28 Sep 2011 10:43 AM PDT

SUBANG JAYA: Kira-kira 90 peratus kediaman dan bangunan perniagaan yang dijadikan asrama pelajar dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, dikesan tidak mengikuti garis panduan.

Yang Dipertuanya, Datuk Asmawi Kasbi, berkata hanya 10 peratus pemilik yang menghantar permohonan untuk mendapatkan kelulusan MPSJ bagi menjadikan premis mereka asrama pelajar.


"Arahan itu sudah dikeluarkan dan masalah ini sudah dibincang Mei lalu bersama penduduk serta pihak berkuasa lain.

"Hal ini perlu diambil serius semua pihak kerana kami mahu memastikan asrama dalam keadaan selamat dan mematuhi syarat keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPSJ, di sini, semalam.


Menurutnya, beliau berharap pemilik premis memberi kerjasama dan mendapat kebenaran merancang perubahan material bangunan daripada MPSJ terlebih dulu sebelum mengemukakan pelan terperinci susun atur bagi mendapatkan lesen perniagaan itu.


"Bagaimanapun, pengusaha perlu mendapatkan persetujuan jiran bersebelahan bagi premis kediaman yang ingin dijadikan asrama bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

"Selain itu, pengusaha perlu memastikan beberapa aspek perlu dipatuhi seperti keadaan lokasi iaitu perlu berhampiran pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan di kawasan perumahan, kemudahan yang selesa, kapasiti penghuni asrama serta aspek keselamatan dan kebersihan," katanya.


Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas MPSJ menerima pelbagai aduan penduduk sejak tiga tahun lalu yang kurang selesa dengan kewujudan asrama terutama di kawasan perumahan teres.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan