Isnin, 19 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki Vietnam ditemui mati di belakang pusat beli-belah di Sungai Petani

Posted: 19 Sep 2011 02:16 AM PDT

SUNGAI PETANI: Orang awam yang menggunakan jalan berdekatan bangunan usang lapan tingkat di belakang sebuah pusat beli-belah di sini terkejut dengan penemuan mayat seorang lelaki warga asing dalam keadaan tertiarap dalam lubang lif di bangunan itu hari ini.

Berdasarkan slip pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin Jabatan Imigresen Malaysia yang ditemui, mangsa yang dikenali sebagai Truong Cong Yhanh, 26, dan berasal dari Vietnam sedang bekerja di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi berkata polis menerima aduan orang ramai berhubung penemuan mayat itu pada pukul 9 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata mangsa berkemungkinan tergelincir ketika berada dalam bangunan usang terbabit, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengumpul maklumat berhubung kes itu.


Seorang saksi yang enggan dikenali berkata mangsa mungkin berada dalam bangunan itu untuk mengambil sarang burung yang banyak terdapat di tingkat atas bangunan terbabit.


Katanya bangunan yang berhadapan tapak pembinaan projek landasan kereta api berkembar yang sedang dijalankan itu juga telah lama ditinggalkan dan tidak berpenghuni. -BERNAMA

Penebusan jalur lebar tanpa wayar di NS kini diperluas ke Rembau

Posted: 19 Sep 2011 02:07 AM PDT

SEREMBAN: Projek jalur lebar tanpa wayar di Negeri Sembilan yang dikenali sebagai 1NS Wireless City (1NSWC), kini memasuki fasa 2A yang diperluaskan ke daerah Rembau yang dilaksanakan pada 1 Sept lepas.

Pengurus Besar Telekom Malaysia Bhd (TM) Negeri Sembilan Salmah Mohd Taufek berkata kawasan di daerah Rembau meliputi Ibusawat TM Rembau, Balai Polis, Wisma Jemaah Ulu Gadong, perhentian bas dan teksi, perkarangan Sudut Korporat Majlis Daerah Rembau, Dataran Rembau, perkarangan Perpustakaan Daerah Rembau, gelanggang futsal, Masjid An-Nur, Aked Mara dan persekitaran stesen komuter.

"Ini bermakna orang awam yang berada di sekitar pekan Rembau boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar secara percuma di bawah inisiatif 1NSWC kerajaan Negeri Sembilan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya di bawah fasa 2, projek ini akan diperluaskan ke daerah lain seperti Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol.


"Kita mempunyai dua perancangan di bawah fasa 2 iaitu perluasan fasa 1 dan cadangan lokasi baru. Tempoh projek ini adalah selama tiga tahun iaitu sehingga 2013," katanya.


Menurut statistik Suruhanjaya komunikasi dan multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan jalur lebar di Negeri Sembilan sekarang ialah 73 peratus dan ia merupakan kadar kedua tertinggi di seluruh negara selepas Pulau Pinang.

Katanya fasa 1 projek 1NSWC yang lancarkan pada 5 Okt 2010, kini meliputi tujuh lokasi iaitu Seremban, Seremban 2, Senawang, Nilai, Port Dickson, Tampin dan Rantau.

"Pelaksanaan projek ini diharapkan dapat meningkatkan kadar penembusan jalur lebar di Negeri Sembilan di mana ia dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan turut menikmati perkhidmatan Internet secara percuma menggunakan jalur lebar tanpa wayar," katanya.

1NS Wireless City merupakan satu projek inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan dalam menyediakan platform capaian Internet dengan menggunakan teknologi jalur lebar tanpa wayar kepada orang ramai di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai seluruh Negeri Sembilan.

Ia dilaksanakan untuk menawarkan capaian Internet kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan secara tanpa wayar dengan teknologi jalur lebar berasaskan Streamyx.

Menerusi 1NSWC, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan persekitaran jalur lebar tanpa wayar yang memberikan capaian ke Internet pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai.

Pelanggan boleh mendaftar untuk menggunakan akses jalur lebar tanpa wayar melalui Landing Page yang yang boleh diakses secara automatik di lokasi 1NSWC.

Melalui Landing Page, pengguna hanya perlu mendaftarkan nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit bagi mendapatkan ID dan kata laluan dengan percuma.

ID dan kata laluan ini akan dihantar kepada pengguna menerusi telefon bimbit yang telah didaftarkan.

Seterusnya pengguna boleh login menggunakan ID dan kata laluan yang diperoleh secara percuma di mana-mana lokasi 1NSWC di seluruh Negeri Sembilan. -BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan